Sunday, December 02, 2012

Ucapan perbahasan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Usul No. 25 Tahun 2012 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam


“Bahawasanya mengikut Perenggan (5) dalam Peraturan Tetap 76 bagi Dewan Negeri Selangor, Dewan yang bersidang pada hari ini membuat ketetapan supaya Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas  Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Bagi Dewan Negeri Selangor Mengenai Siasatan Ke Atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) yang dibentangkan sebagai Kertas Mesyuarat Bilangan 28 Tahun 2012 diterima.”

Tuan Speaker,

Salam Selangorku dan Salam Reformasi,

1.      Pertama sekali, Kampung Tunku mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban Dan Ketelusan Bagi Dewan Negeri Selangor (SELCAT) Mengenai Siasatan Ke Atas Urusniaga Perlombongan Pasir Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

2.      Isu berkenaan dengan KSSB telah lama mendapat perhatian masyarakat umum dan adalah wajar untuk SELCAT menjalankan siasatan dan pendengaran awam tentang pelbagai persoalan yang tertimbul berkenaan dengan syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor ini, apatah lagi aktiviti utama syarikat ini adalah berkenaan dengan industri perlombongan pasir di mana industri ini merupakan isu hangat masyarakat.

3.      Kedua, Kampung Tunku meminta kerajaan untuk memastikan cadangan-cadangan daripada Jawatankuasa Selcat ini kerana ianya adalah sangat padat dan harus diambil oleh kerajaan untuk melicinkan dan mempertingkatkan pengurusan syarikat-syarikat milik Kerajaan Negeri Selangor yang lain pada masa depan.

Permohonan kebenaran melombong

4.      Penyata telah memaklumkan bahawa kenyataan kerajaan sebelum ini bahawa kerajaan akan memperolehi pendapatan lombong pasir sebanyak RM120 juta adalah tidak berasaskan kepada maklumat yang lengkap.

5.      Penyata juga memaklumkan bahawa kuasa untuk menentukan kesesuaian atau kebolehlaksanaan sesebuah permohonan untuk melombong di tanah persendirian ini berkemungkinan boleh disalahgunakan tanpa pemantauan yang lebih ketat dan sistematik.

6.      Kerajaan Negeri seharusnya membenarkan permohonan untuk melombong pasir di tanah persendirian dijalan serentak apabila permohonan untuk melombong pasir di tanah Kerajaan dibenarkan. Alasan bahawa Kerajaan memerlukan masa untuk memahami proses pentadbiran sebelum membenarkan permohonan tanah persendirian tidak meyakinkan memandangkan piawai yang terpakai adalah sama.

7.      Oleh yang demikian, Jawatankuasa SELCAT menyarankan bahawa memandangkan KSSB mempunyai kuasa menentukan kesesuaian atau kebolehlaksanaan sesebuah permohonan untuk melombong di tanah persendirian tanpa perlu memaklumkan mana-mana pihaksecara rasmi, di mana ia berpotensi disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, maka satu tatacara perlu digubal untuk menentukan kuasa yang diberikan kepada KSSB ini dilaksanakan dengan baik tanpa disalahgunakan.

Pengurusan KSSB dan bayaran bonus

8.      Adalah tidak wajar dan tidak munasabah bagi Lembaga Pengarah KSSB memberi bonus interim sejumlah yang bersamaan 2 bulan gaji selepas hanya 4 bulan beroperasi berdasarkan kepada unjuran bahawa KSSB akan memperolehi keuntungan pada akhir tahun perakaunan KSSB.

9.      Dalam pemberian bonus, kelihatan juga tiada garis panduan berkenaan peratusan bonus yang harus diberikan kepada Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan atasan dan pekerja biasa.

10. Kerajaan Negeri harus menggubalkan satu garis panduan pemberian bonus untuk diguna pakai di semua anak syarikat dan badan berkanun Kerajaan Negeri bagi memastikan semua keputusan dalam pemberian bonus kepada mereka yang berkhidmat dalam anak syarikat dan badan berkanun terikat kepada satu garis panduan yang menggariskan prinsip dan piawai yang adil dan munasabah.

11. Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat dan badan berkanun juga tidak harus diberi bayaran bonus yang terlalu tinggi kerana mereka sendiri bukanlah pelabur atau pemegang saham yang mempunyai risiko kerugian.

Aduan terhadap pengurusan KSSB dan dua orang Ahli Dewan Negeri Selangor

12. Jawatankuasa SELCAT merumuskan aduan mereka adalah di luar bidangkuasa dan skop siasatan melalui pendengaran awam yang harus dijalankan oleh sebuah Jawatankuasa Badan Perundangan.

13. Adalah dirumuskan juga oleh Jawatankuasa SELCAT bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa dua orang Ahli Dewan Negeri Selangor, iaitu Ahli Yang Berhormat Seri Muda dan Ahli Yang Berhormat Batu Caves telah membantu syarikat-syarikat mereka untuk mendapatkan kontrak KSSB.

Saranan Jawatankuasa SELCAT

14. Jawatankuasa SELCAT berpendapat bahawa terdapat kekurangan pemahaman awam terhadap peranan KSSB pada permulaan operasinya pada tahun 2008 memandangkan ianya adalah satu entiti baru dan permohonan untuk permit melombong pasir telah buat kali pertamanya disatukan di bawah satu syarikat yang menguruskan syarat-syarat dan ulasan-ulasan daripada 8 jabatan teknikal sebelum ianya dimajukan kepada PTG dan seterusnya kepada MMKN.

15. Mekanisma baru tidak diterangkan dengan jelas pada peringkat awal. Pengusaha dan peniaga dalam bidang perlombongan pasir kelihatan tidak memahami dengan mendalam mekanisma yang baru.

16. Pihak PTG dan Pejabat Tanah hendaklah mempertingkatkan kecekapan dalam penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah kerajaan dan kecurian pasir kerana kuasa penguatkuasaan masih di dalam tangan mereka.

17. Pihak KSSB sebagai syarikat terlibat dalam urusniaga pasaran terbuka hendaklah memastikan tatacara urusniaganya selaras dan sepadan dengan tatacara urusniaga pasaran terbuka.

18. Kampung Tunku menyokong cadangan-cadangan di dalam Penyata ini dan bercadang supaya Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor mengambil tindakan susulan seperti berikut:

a.      Mengarah KSSB untuk menyediakan satu garis panduan untuk diikuti KSSB dalam menilai kesesuaian dan kebolehlaksanaan permohonan melombong pasir di atas tanah persendirian supaya semua pihak akan tertakluk kepada satu garis panduan yang telus dan saksama.

b.      Membentang garis panduan ini kepada badan-badan pengawal kerajaan yang lain dan JP-ABAS untuk komen dan cadangan-cadangan tambahan.

c.      Merangka satu garis penduan tentang pembayaran bonus kepada kakitangan dan ahli lembaga semua syarikat-syarikat kerajaan dan ianya harus dirujuk kepada JP-ABAS untuk komen dan cadangan-cadangan tambahan.

Dengan itu, Kampung Tunku memohon untuk mencadang.

Lau Weng San

No comments: