Tuesday, March 26, 2013

Penggantian paip air baru di Sungai Way akhirnya berjalan

Satu taklimat akan diadakan pada pukul 8 malam di Dewan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Kampung Baru Seri Setia (Sungai Way) pada 27 Mac 2013 di mana Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan memberi taklimat kepada penduduk-penduduk kampung tentang program penggantian paip air baru di kampung berkenaan.

Kampung Baru Seri Setia atau Kampung Baru Sungai Way merupakan sebuah kampung yang seringkali menghadapi masalah tekanan air yang sangat rendah disebabkan paip-paip airnya yang telah uzur dan tidak pernah ditukarganti sebelum ini. Rekod Syabas menunjukkan kesemua paip air di kampung berkenaan ialah paip asbestos simen yang telah menjangkau usia 30 tahun. Kebanyakkannya berada dalam keadaan tenat dan perlu ditukarganti dengan segera.

Cadangan ini telahpun dibangkitkan sejak tahun 2006. Malangnya ianya tidak dapat berjalan selama ini. Di bawah permintaan dan desakan saya, akhirnya Syabas telah bersetuju untuk menjalankan projek penggantian paip air lama ini.

Untuk memastikan projek ini dapat berjalan dengan lancar, satu taklimat seperti yang diterangkan sebelum ini perlu diadakan supaya penduduk-penduduk kampung faham tentang kerja ini.

Maklumat awal yang diperolehi saya daripada Syabas ialah bahawa projek ini telahpun bermula pada 15 Februari dan dijangkan akan dihabiskan pada 14 November 2013, iaitu tempoh kerja ialah selama sembilan bulan. Ianya akan memakan belanja sebanyak RM1.54 juta dan jumlah kepanjangan paip air yang akan dutukarganti ialah sebanyak 2.145km.

Kontraktor yang dilantik ialah Lian Air Plumbing & Construction Sdn. Bhd (No. Tel: 03-62803289) di mana syarikat ini akan menukarganti paip air lama di Jalan SS 9A/12, SS 9A/1, SS 9A/7, SS 9A/8, SS 9A/9, SS 9A/13, SS 9A/14, SS 9A/18, SS 9A/19. Tempat-tempat ini kebanyakkannya ialah tempat rendah di Kampung Baru Sungai Way yang juga merupakan tempat-tempat yang kritikal.

Pihak saya dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Seri Setia amat mengalu-alukan kedatangan seluruh warga kampung untuk menghadiri taklimat ini dan mendapat maklumat yang selanjutnya daripada pihak Syabas dan kontraktor.

No comments: