Sunday, August 04, 2013

Kepincangan Peperiksaan Pra-Universiti di Malaysia

Isu kegagalan pelajar-pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) diserap ke dalam kursus pilihan masing-masing menjadi isu hangat media baru-baru ini selepas keputusan diumumkan beberapa hari yang lalu.

Terbaru ialah beberapa orang pelajar yang mendapat mata 4.0 (A untuk semua mata pelajaran) tidak dapat belajar kursus Ijazaha Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) Universiti Malaya (UM).

Terdapat juga pelajar-pelajar yang mengemukakan permohonan untuk mengikuti kursus perubatan, farmasi, pergigian malahan kursus veterinar di beberapa buah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan lain-lain tetapi tidak juga tidak diterima.

Ramai di kalangan mereka ini bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi cemerlang di dalam prestasi ko-kurikulum mereka. Terdapat juga mereka yang langsung tidak diterima dalam mana-mana jurusan lalu mereka tiada tempat dalam IPTA.

Statistik yang diumumkan oleh kerajaan persekutuan menunjukkan bahawa seramai 68,702 pemohon yang mempunyai kelulusan STPM, Matrikulasi dan Asasi telah memohon menuntut di IPTA untuk sessi 2013/2014 Angka ini merupakan peningkatan sebanyak 7.6% berbanding dengan permohonan sessi 2012/2013.

Ini menunjukkan bahawa persaingan untuk diterima ke dalam IPTA adalah semakin sengit, apatah lagi persaingan untuk diterima ke dalam kursus idaman pemohon.

Persaingan ini bertambah sengit apabila bukan sahaja bilangan pelajar yang mendapat “A” semakin meningkat, malahan bilangan pelajar yang mendapat A dalam semua mata pelajaran juga semakin meningkat.

Soalannya ialah betulkah pelajar-pelajar yang mendapat full A atau CGPA four flat dalam peperiksaan betul-betul cemerlang dalam pretasi akademik mereka? Adakah benar prestasi pelajar meningkat ataupun kayu pengukur prestasi akademik pelajar sengaja direndahkan?

Soalan-soalan ini seringkali tertimbul tetapi selalunya tiada jawapan daripada pihak kerajaan. Baru-baru ini, sebuah laporan antarabangsa telah membuat satu kajian dengan membandingkan prestasi pelajar-pelajar setiap negara dalam mata pelajaran Sains dan Matematik dengan mata purata.

Kajian yang dinamakan sebagai “2011 Trends in International Math and Science Study” atau TIMSS ini telah menunjukkan bahawa kedudukan Malaysia dalam Matematik telah merosot dari tempat ke-20 pada tahun 2007 ke tempat ke-26 pada tahun 2011. Kedudukan Malaysia dalam Sains telah merosot dari tempat ke-21 pada tahun 2007 ke tempat ke-32 pada tahun 2011.

Dari segi mata mutlak pula, skor purata Malaysia dalam Matematik telah merosot daripada 519 mata pada tahun 1999 ke 440 mata pada tahun 2011, manakala skor purata Malaysia dalam Sains juga merosot 66 mata, iaitu daripada 492 mata pada tahun 1999 ke 440 mata pada tahun 2011.

Walaupun hasil kajian ini telah dilapor dalam media dan dibahas dalam sidang Dewan Rakyat di Parlimen, tetapi kerajaan masih belum mengeluarkan jawapan yang menyakinkan untuk menyangkal dakwaan-dakwaan yang dikemukakan dalam kajian ini.

Justeru itu, satu soalan telah tertimbul berikutan kajian ini: Adakah kerajaan Malaysia sengaja untuk mengurangkan standard peperiksaan awam kita semata-mata untuk mencipta lebih ramai pelajar yang mendapati lebih banyak A dalam peperiksaan?

Jika ini benar, maka ini ialah tragedi yang sangat malang buat anak-anak kita. Tragedi pertama ialah masa depan mereka telah dirompak oleh sistem pendidikan dan peperiksaan yang tidak berkualiti. Tragedi kedua ialah kerajaan tidak dapat menyediakan tempat yang mencukupi untuk menampung permintaan pelajar-pelajar “cemerlang” ini khususnya dalam kursus-kursus professional seperti perubatan, kejuruteraan dan sebagainya.

Apakah cara untuk mengatasi masalah-masalah ini?

Cadangan saya ialah kerajaan mesti menyelaras semua peperiksaan pra-universiti di Malaysia. IPTA-IPTA sebagai institusi yang menjana ilmu pengetahuan tidak perlu menawarkan kursus-kursus matrikulasi atau asasi kerana ini ialah tanggungjawab sekolah dan kolej luar.

Selepas itu, kerajaan seboleh-bolehnya menyatukan STPM, matrikulasi dan kursus-kursus asasi supaya penilaian yang serata dapat dijalankan terhadap pelajar. Dalam perkara ini, saya berpendapat kerajaan harus menggunakan model STPM sebagai asas penyatuan disebabkan ujian STPM ini jauh lebih menyeluruh dan mendalam terhadap seseorang pelajar dan ianya mampu memberi asas yang lebih kukuh kepada pelajar sebelum mereka melangkah ke menara gading.

Malahan kerajaan harus bercita-cita besar untuk “memasarkan” peperiksaan STPM di seluruh dunia ini supaya ianya setanding dengan peperiksaan “A-level”. Untuk melakukan ini, barangkali kerajaan harus mengkaji kemungkinan untuk menjalankan peperiksaan ini dalam bahasa asing, khususnya Bahasa Inggeris selain daripada Bahasa Malaysia.

Dengan peperiksaan pra-universiti yang seragam, maka penilaian yang lebih menyeluruh dan sekata dapat dijalankan terhadap setiap permohonan. Prinsip ketelusan amat penting dalam hal ini kerana setiap pemohon wajar diberitahu sebab-sebab beliau tidak diterima masuk ke dalam sesuatu kursus yang dipohonnya. Ini termasuk jikalau kegagalan sesuatu permohonan itu disebabkan oleh kuota.

Kegagalan pelajar yang mendapat full A untuk diserap masuk ke dalam kursus-kursus professional seringkali kedengaran. Salah satu cara penyelesaian yang pernah dibangkitkan beberapa tahun yang lalu ialah kerajaan akan menerima semua permohonan daripada pelajar-pelajar mendapat full A yang memohon menuntut kursus perubatan.

Saya kurang pasti dasar ini boleh dilaksana atau tidak kerana kursus-kursus professional yang ditawarkan oleh IPTA, khususnya kursus perubatan selalu menghadapi masalah kekurangan tempat. Walaupun begitu, kerajaan harus berusaha bersungguh-sungguh menambah bilangan tempat untuk kursus perubatan di semua IPTA. Ini boleh dilakukan dengan memberi peruntukan yang lebih banyak kepada setiap IPTA bagi menambah bilangan tempat.

Peruntukan tambahan ini tidak harus dilihat sebagai peruntukan tambahan semata-mata tetapi ianya harus dilihat sebagai satu pelaburan jangka panjang. Negara kita tidak akan maju jikalau kita tidak mempunyai bilangan pakar dan professional yang mencukupi.

Daripada membelanjakan wang berbilion-bilion ringgit untuk membeli senjata api setiap tahun, bukankah lebih berbaloi jikalau sebahagian daripada wang ini digunakan untuk kegunaan IPTA kita?

Lau Weng San

ADUN Kampung Tunku, Selangor.

Lau Weng San ialah seorang pelajar yang mempunyai kelulusan STPM. Pernah ditawarkan kursus perubatan di Universiti Malaya (UM) tetapi memilih jurusan Kejuruteraan Kimia. Beliau kini merupakan seorang wakil rakyat sepenuh masa.

No comments: