Thursday, August 22, 2013

Adakah pengambil-alihan operasi dan penguatkuasaan AES untuk menyelamat syarikat-syarikat kroni?

Kenyataan pemangku Menteri Pengangkutan Dato' Seri Hishammuddin Hussein Onn bahawa kerajaan persekutuan akan mengambilalih operasi dan penguatkuasaan Automated Enforcement System (AES) perlu diberi penjelasan yang lebih mendalam lagi, iaitu sama ada pengambilalihan ini satu bentuk bail-out bagi menolong syarikat-syarikat kroni yang tenat dari segi kewangan?

Soalan ini munasabah kerana pernah dilaporkan dalam media tidak lama dahulu bahawa kedua-dua syarikat pengendali AES, iaitu Beta Tegap Sdn Bhd dan Automated Traffic Enforcement System (ATES) Sdn Bhd. didesak oleh bank-bank kerana gagal membuat bayaran balik pinjaman mengikut jadual akibat ditimpa masalah aliran tunai berjumlah jutaan ringgit.

Rakyat sebelum ini diberitahu bahawa mengikut kontrak yang ditandatangani dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kedua-dua syarikat ini harus menyediakan perkhidmatan kepada unit penguatkuasaan JPJ secara berterusan tanpa gangguan sejak bulan September tahun 2012 sehingga tamat tempoh lima tahun kontrak di mana penyerahan peralatan akan dilakukan.

Laporan daripada Free Malaysia Today memaparkan bahawa sebuah bank komersial terkemuka telah mengambil tindakan membeku akaun salah sebuah syarikat itu apabila gagal membuat bayaran balik pinjaman. Juga dilaporkan bahawa Beta Tegah dan ATES telah berusaha untuk mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan dan JPJ tentang masa depan projek itu berikutan masalah kekangan aliran tunai.

Selain itu, juga dilaporkan bahawa carian di laman sesawang Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Beta Tegap sedang menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM7.62 juta pada tahun kewangan berakhir 30 Jun 2012.

Ini telah menimbulkan banyak tanda soal, sama ada pengambilalihan kedua-dua buah syarikat pengendali AES ini bertujuaan untuk menyelematkan mereka akibat terdesak oleh bank untuk membayar balik pinjaman? Lebih-lebih lagi, apabila kerajaan persekutuan berkali-kali telah mengatakan seketika dahulu bahawa pelaksanaan sistem AES ini langsung tidak melibatkan wang kerajaan, kami bimbang kerajaan persekutuan sekarang perlu mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES ini dengan kos. Justeru itu, Hishammuddin Hussein Onn mempunyai tanggungjawab untuk memberitahu rakyat Malaysia jangkaan kos yang terlibat untuk mengambil alih operasi dan penguatkuasaan AES.

No comments: