Wednesday, May 20, 2015

Saya tidak bermaksud pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap

Kenyataan Media oleh ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku Lau Weng San pada 20 Mei 2015 di Petaling Jaya:

Saya terkejut dengan laporan Free Malaysia Today (FMT) bertajuk “DAP akui pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap” yang disiarkan pada 19 Mei 2015 di mana telah dilaporkan bahawa “DAP mengakui pentadbiran Selangor di bawah mantan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap.”

Pertama sekali, laporan ini adalah tidak tepat kerana isu yang dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan dengan parti DAP. 

Kedua, saya mengatakan dalam sidang media berkenaan ialah saya pernah membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang DUN pada Mac 2012 dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap. Namun begitu, perkataan “lengkap” tidak boleh disama-ertikan dengan maksud atau perkataan “cekap”. Lebih-lebih lagi, saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim (TSKI) lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.


Saya juga menerima panggilan telefon daripada YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Setiausaha Politik beliau pada petang 18 Mei dan 19 Mei 2015 berkenaan dengan jawapan yang diterima saya terhadap soalan saya semasa sidang Dewan Negeri (DUN) Selangor tentang senarai nama, jawatan, gaji, bonus dan elaun yang dibayar kepada ahli Lembaga Pengarah dan kakitangan kanan peringkat pengurusan di beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor. 

YAB Dato’ Menteri Besar telah memaklumkan bahawa beliau telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.

Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada YAB Dato’ Menteri Besar  dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangktikan saya. Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran Pakatan Rakyat merupakan mercu tanda atau “hallmark” yang perlu dipertahankan pada setiap masa.

Dalam jawapan bertulis yang diterima saya terhadap soalan bertulis saya ini, saya telah diminta untuk menulis kepada Pejabat Menteri Besar untuk mendapatkan jawapan tersebut. 

Saya telah berbuat seperti apa yang diminta dan saya ingin menekankan sekali lagi bahawa memang Pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor memang ada menjawab surat saya di mana perkara itu telah diajukan kepada Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk tindakan selanjutnya. Maka saya akan menunggu jawapan daripada pegawai-pegawai yang berkenaan. 

Saya memohon maaf jikalau kesilapan ini telah menyebabkan perselisihan faham yang tidak diperlukan. Saya juga berasa kesal dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak yang berkenaan untuk memperbetulkan kesilapan ini secepat mungkin. 

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: