Wednesday, May 06, 2015

SPR harus jawab status terkini kajian persempadanan semula kawasan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN)

Kenyataan Media oleh ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku Lau Weng San pada 6 Mei 2015 di Petaling Jaya:

Saya telah ditanya oleh media tentang pendangan saya terhadap cadangan sesetangah pihak untuk mewajibkan seseorang calon pilihanraya untuk memenuhi syarat mendapat Kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam peperiksaan SPM.

Selain bersetuju dengan pandangan rakan-rakan saya dalam Pakatan Rakyat, saya juga ingin menekankan bahawa syarat-syarat yang dikenakan ini sebenarnya bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. 

Syarat-syarat kelayakan seseorang Ahli Parlimen telah diterangkan dengan jelas dan lengkap dalam "Bab 4 Badan Perundangan Persekutuan", iaitu Perkara 44 hingga 65 dalam Perlembagaan Persekutuan. Isi kandungannya lebih kurang sama dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri masing-masing perihal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Maka jelas bahawa syarat ini tidak dinyata dalam Perlembagaan Persekutuan. Sekiranya ianya dijadikan undang-undang, maka besar kemungkinan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ini akan dicabar dan dianggap sebagai bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana SPR telah bertindak di luar bidang kuasa yang dibenarkan dan diperuntukan oleh Perlembagaan Persekutuan (ultra vires).


Maka untuk ini berlaku, Perkara-perkara yang disebut di atas dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda menurut Perkara 159(3) dalam Perlembagaan Persekutuan, di mana Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan Persekutuan perlu disokong lebih daripada dua pertiga Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Dalam keadaan di mana kerajaan persekutuan Barisan Nasional tidak mempunyai sokongan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, pindaan ini bakal menghadapi cabaran yang besar untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Pada pendapat saya, isu ini bukan isu utama bagi SPR. Selain daripada memastikan perjalanan pilihanraya dijalankan mengikut lunas-lunas demokrasi dan peruntukan undang-undang, satu lagi isu utama bagi SPR ialah persempadanan semula kawasan-kawasan pilihanraya yang perlu dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003. 

Persempadanan semula merupakan satu daripada tanggungjawab utama SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan pengundi mudah mendapat perkhidmatan wakil rakyat masing-masing apabila sesebuah kawasan pilihan raya yang terlampau besar dan luas dikecilkan atau dipecah dua, seperti kawasan yang mempunyai pengundi lebih daripada 100,000 orang.

Notis Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebenarnya perlu diwartakan pada Disember 2014 yang lalu tetapi telah ditangguhkan pada masa itu berikutan banjir yang melanda beberapa negeri pada masa itu.

Maka saya menyeru kepada SPR untuk fokus kepada isu yang ada di hadapannya dan tidak dipesong oleh perkara yang tidak diperuntukkan kuasa kepadanya oleh Perlembagaan Persekutuan

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: