Monday, March 07, 2016

Pertanyaan-pertanyaan untuk Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor yang ke-13

Berikut ialah pertanyaan-pertanyaan saya untuk Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Negeri Selangor yang ke-13 yang bakal diadakan di Shah Alam pada akhir bulan Mac 2016 ini.

Pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan lisan:

1. Apakah perubahan dasar dan tindakan yang telah diambil oleh kerajaan Selangor untuk melindungi golongan wanita daripada jenayah rogol memandangkan Selangor mencatat rekod rogol antara yang tertinggi pada tahun lalu?

2. Bilik laktasi penting bagi wanita berumahtangga untuk kembali ke alam pekerjaan. Apakah peruntukan undang-undang yang sedia ada yang mewajibkan penyediaan kemudahan ini oleh pemaju dan majikan? Berapa banyak bilik laktasi telah diwujudkan di Selangor sekarang?

3. Pekeliling bil. 04/2007 dan 13/2008 berkenaan pemberian subsidi yuran Taska telah diganti dengan Pekeliling bil. 38/2013. Adakah kerajaan Selangor bersedia melakukan sesuatu yang melebihi apa yang diperuntukkan dalam surat pekeliling ini sebagai penghargaan kepada sumbangan kakitangan awam wanita?


4. Apakah tindakan pembetulan (termasuk bayaran gantirugi) yang telah diambil oleh Majlis Perbandaran Klang terhadap kecederaan seorang pelajar sekolah menengah yang cedera parah akibat terjatuh ke dalam longkang tanpa penutup di Bukit Tinggi baru-baru ini?

5. Bilakah biasiswa MBI untuk calon PhD dalam penyelidikan bidang strategik dan kritikal akan ditawarkan, di mana biasiswa ini sepatutnya ditawarkan pada tahun 2015 dan telahpun diluluskan semasa perbahasan belanjawan 2015 pada tahun 2014?

6. Penyakit denggi dan zika semakin mengancam kesihatan penduduk Selangor. Mengapakah Kerajaan Selangor masih belum menetapkan satu pelan tindakan induk bagi menghapuskan atau mengurangkan kes denggi dan hotspot secara drastik?

7. Perkhidmatan WiFi Selangorku seringkali terputus akibat pertukaran syarikat pembekal perkhidmatan Internet (ISP). Apakah punca masalah ini dan bagaimana masalah ini boleh diatasi?

8. Adakah kerajaan juga merangka satu Pelan Induk Pengangkutan yang bukan sahaja merangkumi pengangkutan awam tetapi juga meliputi pembinaan lebih banyak jambatan sepanjang Sungai Klang sebagai contoh bagi meleraikan kesesakan trafik di jalan-jalan utama di Selangor?

9. Apakah strategi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dalam masa tiga tahun yang akan datang memandangkan syarikat milik kerajaan Selangor ini telah mengambil alih tugas bekelan air daripada Syabas dan Puncak Niaga?

10. Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd telah memohon kelulusan daripada PAAB terhadap Pelan Perniagaanya yang terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Capex, Opex dan tariff air. Apakah perkembangan terkini? Bagaimana tariff air akan diselaraskan sehingga tidak membebankan pengguna berpendapatan rendah?

Pertanyaan-pertanyaan untuk jawapan bertulis:

11. Adakah Kolej Inpens mempunyai kursus latihan semula kepada pekerja tidak mahir dan separuh mahir untuk mempertingkatkan kemahiran mereka dan seterusnya mempertingkatkan pendapatan mereka? Sekiranya ada, apakah insentif yang telah disediakan kepada golongan ini dan berapa ramai pekerja yang telah mengambil bahagian dalam latihan ini?

12. Berapa banyakkah peruntukan kepada YDP dan Datuk Bandar untuk melaksanakan kerja-kerja inden di setiap kerajaan tempatan setiap tahun? Senaraikan kegunaan peruntukan ini bagi tahun 2015 untuk setiap PBT.

13. Berapa banyak peruntukan keseluruhan yang diperlukan untuk membiayai pendidikan agama Islam di Selangor pada tahun 2015 dan berapa banyak lagi dijangka diperlukan setahun sekiranya ianya ditawarkan secara percuma?

14. Apakah langkah-langkah pembetulan yang telah diambil oleh PKNS berkaitan dengan dasar perolehannya setelah perkara ini telah diaudit, ditegur dan dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Siri Tiga 2014 terhadap PKNS?

15. Senaraikan jumlah hutang tertunggak kerajaan Selangor terhadap kerajaan Persekutuan setiap tahun bermula tahun 2011. Senaraikan juga bayaran balik yang dibuat oleh Selangor setiap tahun serta bayaran dan kadar faedahnya. Nyatakan baki tunggakan yang masih ada setiap tahun.

16. Senaraikan semua pertikaian yang telah, masih belum dan sedang diselesaikan oleh Pesuruhjaya Bangunan Petaling Jaya pada tahun 2015? Bagaimana jawatan Pesuruhjaya Bangunan dilantik di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757)?

17. Senaraikan senarai kesemua 48 kontraktor yang telah dilantik untuk menyelenggara jalan-jalan JKR di Selangor untuk lima tahun yang akan datang serta peruntukan yang diberi kepada setiap kontraktor ini.

18. Senaraikan semua projek pembangunan kerajaan Persekutuan di Selangor yang menghadapi masalah atau kelewatan, contohnya pembinaan sekolah, hospital, bangunan kerajaan dan sebagainya. Sertakan kos setiap satu projek tersebut.

19. Senaraikan semua kontrak yang telah ditandatangani oleh DEIG seperti yang diterangkan dalam Seksyen 35 Akta Syarikat, termasuk jenis kontrak dan pihak satu lagi yang menandatangani kontrak, sebelum dan selepas penubuhan syarikat. Lampirkan Memorandum dan Article of Association DEIG.

20. Memohon kerajaan Selangor menyenaraikan kontraktor-kontraktor yang gagal menyelesaikan kerja setiap tahun bermula 2013 sehingga sekarang dan tindakan-tindakan yang telah diambil terhadap mereka.

No comments: