Monday, March 21, 2016

Memohon kerajaan Selangor terlibat dalam urus niaga tanah Syarikat BAT di Petaling Jaya untuk membina rumah mampu milik

Kenyataan Media ADUN DAP untuk kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 21 Mac 2016 di Petaling Jaya:
  
Saya terkejut dengan keputusan Syarikat British American Tobacco (BAT) untuk menutup kilangnya di Virginia Park, berdekatan dengan Jalan Universiti dan Jalan 19/1, Petaling Jaya. Orang ramai juga difahamkan bahawa BAT telah melantik sebuah agen hartanah yang bebas untuk menguruskan jual beli tanah seluas 500,000 kaki persegi ini melalui tender terbuka, yang dijangka akan disiapkan pada bulan Mei tahun ini.

Tanah yang begitu luas ini memang mempunyai potensi pembangunan semula yang sangat besar. Saya memohon kepada kerajaan Selangor untuk mengambil peluang keemasan ini bagi meninjau sama ada mungkin kerajaan turut terlibat bersama melalui mana-mana anak syarikatnya seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Sekiranya cadangan untuk membeli balik tanah ini dilaksanakan, maka ianya sekaligus memperkayakan bank tanah kepunyaan kerajaan. Kita harus mengambil iktibar bahawa salah satu faktor kejayaan kerajaan Singapura membina rumah mampu milik yang begitu banyak kepada rakyatnya ialah lebih daripada 75% tanah di republik itu adalah milik kerajaan.

Maka dasar perumahan Kerajaan Selangor harus juga mengambil kira peluang untuk membina rumah mampu milik di kawasan bandar yang sudah matang seperti Petaling Jaya, selain daripada pembangunan township baru seperti di Bernam Jaya, Antara Gapi dan sebagainya.

Mengikut kajian yang dibuat oleh CIMB Investment Bank Research, harga keseluruhan tanah ini dijangka antara RM 252 juta hingga RM277 juta. Kedua, sekiranya kerajaan tidak dapat memiliki tanah yang mahal ini, kerajaan masih boleh berbincang dengan pemilik tanah yang baru untuk menjalankan projek usahasama untuk memastikan kerajaan masih boleh memainkan peranannya untuk membekalkan rumah mampun milik kepada rakyat Selangor di Bandar Petaling Jaya.



Tanah ini memang berpotensi besar untuk apa jua pembangunan, termasuk pembangunan rumah mampu milik. Disebabkan keluasan tanahnya yang sangat besar, maka pembangunan rumah mampu milik dalam apa jua peratusan dan nisbahnya pasti akan memanfaat golongan kelas pertengahan dan kaum belia yang ingin mendirikan rumahtangga di Petaling Jaya.

Saya menjangka terdapat kemusykilan samada mungkin projek perumahan rumah mampu milik boleh dilaksanakan di tanah yang begitu mahal ini, di mana lazimnya 15% hingga 25% daripada kos pembangunan keseluruhan adalah kos tanah seperti bayaran premium dan sebagainya.

Pada masa sekarang, kerajaan Selangor sudah menetapkan akan memberi kelulusan cepat dan insentif-insentif yang lain seperti pengurangan premium, cukai tanah serta pengecualian cai pembangunan untuk mengurangkan kos pembangunan rumah mampu milik. Saya menjangka, sekiranya tanah ini dapat dimanfaat untuk perumahan mampu milik, kerajaan sewajarnya perlu memberi lebih banyak insentif.

Untuk jangka masa panjang, pembinaan rumah mampu milik di bandar Petaling Jaya akan mempertingkatkan produktiviti kerana tanah ini terletak di tengah-tengah bandar dan laluan pengangkutan awam. Pembangunan infrastruktur di sekelilingnya adalah amat pesar dan ianya akan mengurangkan lagi sebahagian kos pembangunan. Malahan infrastruktur-infrastruktur sediaada di kawasan itu sudah matang dan ini diharap dapat mengurangkan kos pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

Natijahnya, kerajaan Selangor perlu bertindak proaktif. Kerajaan Selangor tidak boleh terlepas pandang dan perlu senantiasa mengintai mana-mana peluang pembangunan semua di seluruh Selangor amnya dan Petaling Jaya khasnya.

Lau Weng San

ADUN Kampung Tunku

No comments: