Tuesday, June 21, 2016

BN Selangor harus menjadi pembangkang yang cekap sebelum beridaman untuk mengambil alih kerajaan Selangor

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 21 Jun 2016 di Petaling Jaya:
  
Sejurus selepas keputusan Pilihanraya Kecil (PRK) untuk kawasan Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar, banyak spekulasi dan kenyataan daripada kem dan jentera Barisan Nasional (BN) Selangor bahawa mereka yakin dan mampu untuk mengambil alih kerajaan Selangor pada Pilihanraya Umum (PRU) yang akan dating.

Sebelum BN Selangor beridam untuk mengalahkan Pakatan Harapan dalam PRU yang akan dating, BN Selangor perlu membuktikan terlebih dahulu kepada rakyat dan pengundi di Selangor bahawa BN Selangor merupakan pembangkang yang berkredibel dan berkesan serta efektif.

Maka untuk menjadi pembangkang yang berkesan, BN Selangor perlu melakukan perkara-perkara seperti berikut:

1.    Mengisi segera jawatan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor yang sekian lama dikosongkan akibat perletakan jawatan penyandangnya yang terdahulu, Datuk Mohd Shamsudin Lias, ADUN Sungai Burung.

2.    Menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) DUN Selangor sekaligus memenuhi keperluan Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor dan tradisi Komanwel.

3.    Menerimapakai peruntukan kawasan sebanyak RM200,000 setahun yang ditawarkan oleh kerajaan Selangor sejak tahun 2015. RM200,000 ini merupakan satu permulaan ke arah mengiktiraf sumbangan wakil rakyat pembangkang terhadap pembangunan negeri.



Adalah diketahui umum bahawa pembangkang di DUN Selangor yang diterajui oleh UMNO Selangor telah menolak ketiga-tiga tawaran di atas kerana budaya politik UMNO yang masih ketinggalan zaman.


Pembangkang BN Selangor tidak ingin menerima tawaran ini kerana dipercayai ianya akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan BN kerana kerajaan BN tidak memperuntukkan jawatan pengerusi PAC Parlimen untuk dipegang oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat biarpun ianya jawatan yang diiktiraf Dewan Rakyat.

Selain itu, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang juga tidak diberi apa-apa peruntukan kawasan kerana kerajaan persekutuan selama ini khuatir bahawa peruntukan itu akan menyebabkan pembangkang menjadi semakin kuat di kawasannya.

Ahli Parlimen Sungai Besar yang baru, YB Budiman Mohd Zohdi pernah didatangi dengan permintaan peruntukan daripada pengundi semasa kempen pilihanraya. Beliau telah menangguhkan permohonan itu dengan alasan “tunggu saya menang dahulu”.

Saya menganggap jawapan ini sesuatu yang sangat tiak bertanggungjawab kerana sama ada YB Budiman Mohd Zohdi menang atau kalah dalam PRK, beliau tetap ADUN Sungai Panjang dan layak untuk menggunakan peruntukan RM200,000 yang ditawarkan kepada beliau oleh Kerajaan Selangor.

Bukankah baik kalau beliau menerima tawaran ini dan membantu rakyat di kawasannya yang memerlukan bantuan? Atau beliau lebih rela mengambil arahan daripada pimpinan parti sehingga sanggup menggadaikan kepentingan pengundi-pengundinya?

Apapun sekali, saya amat berharap pihak pembangkang dapat mengikis budaya politik dendam dan sikap hasad dengki ini kerana ianya tidak akan memberi kebaikan untuk mereka dan rakyat.

Sekiranya mereka masih gagal mengisi kekosongan tersebut, maka ini hanya sekali lagi membuktikan bahawa BN dan UMNO masih belum bersedia mengambil alih kerajaan Selangor dan segala hujah berkaitan dengan perkara ini hanya omong-omong kosong semata-mata.

Lau Weng San

ADUN Kampung Tunku

No comments: