Wednesday, October 15, 2008

Apakah agenda tersembunyi UMNO Cheras?

Tindakan UMNO Bahagian Cheras melancarkan Tabung Azan sekali lagi menunjukkan UMNO masih tidak berputus asa untuk memainkan sentimen perkauman dan agama sehingga sanggup menjadikan tabung ini sebagai satu alat permainan (gimmick).

Tindakan ini juga merupakan bukti bahawa terdapat segelintir anasir-anasir negatif dalam UMNO yang masih ingin menwujudkan sesuatu yang telah terbukti tidak pernah berlaku.

Lebih-lebih lagi, adakah tindakan mereka ini lebih menunjukkan bahawa UMNO merupakan petualang di belakang seluruh sandiwara ini yang bukan sahaja menyebabkan Ahli Parlimen DAP kawasan Seputeh ditahan selama tujuh hari di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), tetapi juga menyebabkan keselamatan nyawa ahli keluarganya terancam?

Kebebasan bersuara dan kebebasan akhbar merupakan hak asasi manusia dalam dunia moden dan ianya harus dipraktis dengan bertanggungjawab iaitu kenyataan seseorang itu harus berpandukan kepada kebenaran dan kenyataan.

Hal ini juga demikian khususnya untuk ahli politik dan para wartawan. Seseorang wartawan atau media yang melaporkan sesuatu yang tidak benar, berunsurkan fitnah harus ditegur, apatah lagi laporan itu langsung tidak berasas dan merupakan cerita rekaan semata-mata.

Mangsa-mangsa kepada laporan-laporan yang tidak benar ini mempunyai hak untuk menuntut keadilan melalui mahkamah. Biarpun begitu, kesilapan itu harus diperbetulkan terlebih dahulu tanpa sebarang tindakan perundangan diambil terhadapnya jikalau ianya adalah tidak disengajakan.

Hak untuk menegur juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hak bersuara. Lebih-lebih dalam kes ini, pelbagai peluang telah diberi untuk Utusan memberi penjelasan tetapi media aliran utama terus membisu, menyebabkan Teresa Kok yang menjadi mangsa pemfitnahan Utusan Malaysia terpaksa menuntut keadilan melalui mahkamah.

Ini pun belum tentu dapat menentukan Utusan Malaysia telah membuat keselahan kerana Utusan Malaysia masih dikira sebagai tidak bersalah sehingga terbukti bersalah di hadapan mahkamah.

Jikalau UMNO Cheras percaya kepada kebebasan media dan kebebasan bersuara, mengapa tabung itu tidak dinamakan sebagai “Tabung Utusan Malaysia” tetapi diberi nama “Tabung Azan”?

Apakah agenda tersembunyi UMNO Cheras?

No comments: