Thursday, October 23, 2008

Petaling Jaya memerlukan sebuah hospital kerajaan

Ucapan Bajet (6)

Walaupun Petaling Jaya merupakan sebuah bandaraya yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan awam, salah satu kemudahan awam yang sehingga sekarang masih belum disediakan oleh sebuah hospital kerajaan.

Di sekitar Petaling Jaya, terdapat banyak hospital swasta yang sedang beroperasi. Antara yang terkenal adalah seperti Hospital Assunta. Sementara itu, Hospital Universiti atau Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), yang merupakan sebuah hospital separa kerajaan juga telah banyak menyumbang kepada warga Petaling Jaya.

Petaling Jaya ialah antara bandaraya yang mempunyai bilangan warga emas yang paling tinggi di seluruh Selangor.

Daripada kesemua 56 kerusi DUN yang ada di Selangor, kepadatan warga emas di PJ adalah paling tinggi di DUN Damansara Utama, iaitu lebih kurang 10,000 orang, diikuti dengan DUN Bukit Gasing dengan anggaran 9,000 orang warga emas dan kemudian DUN Kampung Tunku dengan lebih kurang 8,000 orang warga emas. Bilangan ini adalah amat ketara jika dibanding dengan kepadatan bilangan warga emas DUN yang lain yang berkisar di antara 3,000 orang ke 5,000 orang.

Oleh itu, saya berpendapat adalah amat penting supaya sebuah hospital kerajaan penuh didirikan di Petaling Jaya, dan saya ingin cadangkan kerajaan negeri untuk memperuntukkan sebidang tanah di Petaling Jaya untuk kegunaan membina sebuah hospital kerajaan yang khusus untuk rawatan penyakit warga emas.

Sementara itu, saya juga berharap Kerajaan Negeri dapat berbincang dengan Kementerian Pusat untuk membina hospital ini di Petaling Jaya. Hakikatnya ialah, ramai orang yang ingat warga Petaling Jaya ini semuanya kaya-raya belaka, tetapi mereka sebenarnya telah melupakan bahawa masih terdapat golongan yang miskin di Petaling Jaya. 

Kalaulah warga Petaling Jaya ini betul-betul kaya-raya belaka, mengapa masih ada rumah pangsa kos rendah yang didirikan di tengah-tengah Petaling Jaya, seperti di DUN Taman Medan, DUN Kota Damansara (Lembah Subang), DUN Bukit Lanjan, DUN Kampung Tunku dan DUN Damansara Utama. Hampir setiap kerusi DUN di Petaling Jaya mempunyai sekurang-kurangnya satu penempatan rumah pangsapuri kos rendah dan ini juga menjelaskan bilangan peneroka bandar yang masih padat menghuni di Petaling Jaya. 

Justeru itu, saya menyeru Kerajaan Selangor dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa untuk mengkaji sedalam-dalamnya kemungkinan untuk memperuntukkan sebidang tanah di Petaling Jaya, khususnya di sekitar DUN Taman Medan atau DUN Seri Setia untuk membina sebuah hospital kerajaan. Kalau peruntukan mengizinkan, saya bercadang supaya kerajaan negeri menanngung sebahagian daripada kos pembinaan hospital ini, ataupun kerajaan negeri boleh menjadikan hospital ini hospital pakar merawat penyakit orang tua dan memberi subsidi yuran perubatan. Barangkali ini lebih bermakna daripada hanya memberi bantuan kewangan dan insuran takaful kepada warga tua.

Saya juga memohon daripada ADUN Bukit Lanjan sama ada mungkin kita boleh membina hospital ini di kawasan beliau memandangkan baru-baru ini kita dimaklumkan tentang tanah-tanah kerajaan untuk kemudahan awam ini diambil oleh parti-parti komponen BN yang lalu.

Saya juga ingin menyentuh tentang borang Program Mesra Usia Emas dan terdapat aduan daripada rakyat tentang borang-borang yang perlu diisi. Aduan juga diterima berkenaan dengan ruangan kaum dan agama yang perlu diisi oleh pemohon di mana cadangannya ialah supaya ruangan ini dihapuskan. Memandangkan borang Mesra Usia Emas ini telah dicetakkan bahawa program ini dibuka kepada sesiapa tanpa mengira kaum dan agama, malahan fahaman politik juga diketepikan, maka saya tidak melihat logiknya untuk mewujudkan ruangan ini.

Juga saya ingin melaporkan tentang kelewatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam menjalankan siasatan dan meluluskan permohonan bantuan kemasyarakatan. Saya ada kes-kes yang mana surat telah ditulis kepada JKM tetapi JKM mengambil masa lebih daripada dua bulan untuk menjalankan siasatan, kemudian dua bulan lagi untuk membuat keputusan. Ada kes yang telah lebih enam bulan belum dimaklumkan tentang keputusan permohonan sehingga kita perlu menggunakan wang peruntukan kita untuk menolong mereka yang dalam kecemasan.

No comments: