[Ucapan perbahasan (1) Halatuju Perancangan Pembangunan Selangor 2025 oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 28 Oktober 2008 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam:]
Peruntukan untuk Kampung Baru ialah RM5.46 juta pada tahun 2009. Kampung Baru telah banyak menyumbang kepada pembangunan di Selangor.
Sejak awal pembangunan negara dan negeri kita pada tahun 1960-an, penduduk-penduduk kampung baru merupakan sumber tenaga buruh kos rendah kepada pembangunan perindustrian negara kita. Salah satu contoh klasik ialah Kampung Baru Seri Setia, atau namanya yang lebih dikenali ramai, Kampung Baru Sungai Way.
Bermula dengan pembinaan lebuhraya persekutuan, diikuti dengan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang, Zon Perindustrian Bebas (FIZ) Sungai Way, kemudian diikuti dengan pembinaan Sunway, Subang Jaya dan township berdekatan seperti SEA Park, Taman Paramount dan sebagainya, penduduk-penduduk Kampung Baru Sungai Way menyumbangkan tenaga buruh kos rendah yang penting untuk menyuburkan projek-projek pembangunan besar yang mengambil tempat di sekelilingnya. Kini tempat-tempat ini mempunyai nilai hartanah yang naik melampung tinggi, apa pula dengan Kampung Baru Sungai Way?
Sebab mengapa Kampung Baru Sungai Way disebut-sebutkan di sini ialah ianya merupakan satu kampung baru yang dikelilingi oleh begitu banyak pembangunan. Selama ini, biarpun kampung baru banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Selangor dan Malaysia, kampung baru ini masih menghadapi banyak masalah infrastruktur, termasuk kehilangan sebuah klinik kerajaan yang sekarang dijadikan tempat letak kereta. Biarpun dengan tempat letak kereta ini, Kampung Baru Sungai Way masih menghadapi kekurangan tempat letak kereta.
Kini Pasar Seri Setia dan kedai-kedai berdekatan yang terletak di tengah-tengah Kampung Baru Sungai Way merupakan satu pusat perdagangan untuk menjada keperluan barang harian penduduk-penduduk berpendapatan rendah di sekitarnya seperti Pangsapuri Kos Rendah Impian Baiduri, Desa Mentari, Taman Desa Ria dan sebagainya. Biarpun begitu, Pasar Seri Setia kini amat memerlukan sebuah tempat letak kereta untuk menampung bilangan pelanggan yang besar.
Kampung Baru Sungai Way hanya merupakan salah satu contoh yang baik. Di seluruh Malaysia, terdapat banyak lagi kampung-kampung baru sebegini dan sekarang sudah tiba masanya untuk Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat melakukan sesuatu dengan memasukkan kampung-kampung baru dan kampung-kampung tradisi ke dalam arus pembangunan perdana dengan sepenuhnya.
No comments:
Post a Comment