[Ucapan perbahasan (4) Halatuju Perancangan Pembangunan Selangor 2025 oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Oktober 2008 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam:]
Masalah yang selalu dihadapi oleh penduduk dan perancang bandar ialah pembangunan dijalankan tanpa mengikuti rancangan yang telah ditetapkan.
Rakyat di Petaling Jaya amat prihatin terhadap rancangan tempatan mereka. Biarpun RTPJ 1 (Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1) telahpun diwartakan tetapi rakyat masih bertanya tentang RTPJ 2 yang masih belum diumumkan keputusannya biarpun beberapa siri bantahan awam telah diadakan.
RTPJ 2 meliputi kawasan yang lebih luas di Petaling Jaya dan dijangka akan menetapkan perancangan pembangunan untuk seluruh kawasan di Petaling Jaya.
Saya ingin bertanya apakah bentuk kajian dan aktiviti yang ingin dijalankan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa and bagaimana konsep-konsep baru yang akan diterap ke dalam dasar perancangan bandar dan desa di Selangor, seperti Dasar “Green and Clean” dan Transit-Oriented Development (TOD).
Seterusnya, saya juga ingin menyentuh tentang peruntukan tempat letak kereta untuk bangunan perumahan bertingkat di bawah garis panduan dan piawaian perumahan negeri Selangor.
Di bawah garis panduan sedia ada, untuk perumahan bertingkat kos rendah, hanya satu tempat letak kereta (TLK) disediakan untuk setiap unit kediaman dan tambahan 20% untuk pelawat. Apa yang menghairankan ialah hanya 1 petak motosikal untuk 2 unit kediaman.
Saya berpendapat ini adalah tidak mencukupi untuk penghuni rumah kos rendah. Di bawah dasar automobil yang ada sekarang, kerajaan secara tidak langsung menggalakkan rakyat untuk memiliki kenderaan bermotor sendiri tanpa membangunkan satu sistem pengangkutan awam yang cekap. Hakikatnya, ini mengakibatkan pemilikan kenderaan bermotor yang meningkat di kalangan rakyat berpendapatan rendah yang menyebabkan kekurangan tempat letak kereta di pangsapuri rumah kos rendah.
Keadaan yang sama turut berlaku di perumahan bertingkat kos tinggi di mana dua tempat letak kereta (TLK) disediakan untuk setiap unit kediaman. Biarpun begitu, selalunya penghuni-penghuni rumah perlu membeli TLK yang kedua. Ini bermakna kedua-dua TLK ini tidak disediakan percuma kepada pembeli-pembeli rumah.
Kekurangan tempat letak kereta turut menjadi satu masalah yang rumit apabila kebanyakkan pembeli-pembeli rumah kondominium memberli rumah-rumah ini bukan untuk kegunaan kediaman sendiri tetapi disewa kepada orang luar dan ini secara tidak langsung telah menyebabkan kekurangan TLK kerana setiap unit kediaman itu boleh disewa kepada lebih kurang tiga hingga empat penyewa yang masing-masing membawa kereta sendiri.
Peruntukan TLK yang disediakan di bawah garis panduan ini agak konservatif dan wajar dinilai kembali.
No comments:
Post a Comment