Wednesday, October 29, 2008

Usaha jangka panjang untuk menarik pelabur asing

[Ucapan perbahasan (5) Halatuju Perancangan Pembangunan Selangor 2025 oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Oktober 2008 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Shah Alam:]

Semasa perbahasan bajet perngkat dasar, saya pernah membangkitkan persoalan tentang bekalan tenaga elektrik yang tidak stabil oleh TNB dan ketiadaan bekalan gas ke Pulau Indah oleh Gas Malaysia semasa perbahasan di peringkat dasar.

Dalam usaha kita untuk menarik lebih banyak lagi pelabur-pelabur dari luar genara, apakah usaha jangka panjang kita sehingga tahun 2025 untuk memastikan kualiti perkhidmatan syarikat-syarikat kemudahan awam seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Syabas, Gas Malaysia, Telekom Malaysia sentiasa memenuhi permintaaan daripada para pengguna dan pelabur?

Kerajaan negeri juga harus memastikan pemilihan CEO atau pegawai-pegawai kanan dalam syarikat-syarikat kepunyaan kerajaan negeri dijalankan dengan memilih mereka yang berkemampuan dan berkaliber untuk menyandang jawatan ini.

Oleh itu, saya juga ingin mencadangkan supaya satu jawatankuasa pemilihan ditubuhkan untuk membuat pemilihan ini dan kita jangan menjadikan warna kulit sebagai syarat pertimbangan kita kerana apa yang penting ialah orang yang kita pilih ini mestilah seorang yang dapat menjaga kepentingan rakyat semua kaum di negeri Selangor.

Dengan itu, adalah amat penting untuk kita memilih “the best brain” untuk memimpim syarikat-syarikat ini. Ini disebabkan jatuh atau bangunnya Pakatan Rakyat bergantung kepada syarikat-syarikat ini, sama ada syarikat-syarikat ini mampu memberi pulangan yang besar kepada kerajaan negeri dan mampu menjaga kebajikan rakyat Selangor. Naik turun kerajaan Pakatan Rakyat bergantung kepada prestasi GLC-GLC ini kerana kami perlu memastikan GLC-GLC ini dapat menjana sumber kewangan kepada kerajaan negeri dan bukannya menjadi tanggungan dan beban kerajaan negeri.

Lebih-lebih lagi, saya amat tertarik dengan kenyataan YAB Dato’ Menteri Besar semalam yang menerangkan bahawa hampir 75% daripada projek-projek PKNS diberi kepada syarikat Melayu dan bukan Melayu secara tidak langsung untuk 44 tahun yang lalu.

Ini telah secara langsung membantutkan peluang syarikat Melayu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan syarikat lain. Apa telah jadi pada PKNS? Sepatutnya PKNS harus menjaga hak rakyat Selangor pelbagai kaum dengan membekalkan rumah yang mampu dimiliki kepada mereka.

Baru-baru saya sempat melawat ke kawasan-kawasan seperti Bangi dan Kajang dan saya kagum bahawa terdapat beberapa projek usahasama PKNS yang sedang dijalankan di sana. Apa yang memilukan ialah kebanyakkan projek ini adalah untuk membina rumah kos tinggi seperti kondominium dan banglo. PKNS memainkan peranan penting untuk membekalkan rumah kepada rakyat dan ini merupakan misi PKNS yang tidak berubah sejak penubuhannya. Apa yang diinginkan ialah rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat jelata dan saya tidak faham mengapa PKNS perlu memberi tanah-tanah kerajaan kepada syarikat-syarikat pemaju swasta untuk didirikan rumah-rumah mewah.

Jadi itu adalah harapan saya dan saya berharap PKNS boleh menjadi pendahulu dalam hal membekalkan rumah yang mencukupi kepada rakyat dan adalah wajar supaya PKNS dipimpin oleh individu yang berkemampuan. Jangan kita menilai seseorang itu berdasarkan warna kulit dan agama.

No comments: