Wednesday, October 29, 2008

Usul memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan

Pilihanraya kerajaan tempatan merupakan manifestasi demokrasi yang paling asas dan kerajaan tempatan merupakan unit pentadbiran yang paling penting untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri. Adalah amat penting untuk kerajaan tempatan dipilih rakyat melalui pilihanraya demi membantu kerajaan negeri Selangor memulihkan keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan di negeri Selangor.

Malangnya pilihanraya ini telah dimansuhkan pada 1 Mac 1965. Perdana Menteri pada masa itu, iaitu Allahyarham Tunku Abdul Rahman pernah berjanji di Dewan Rakyat bahawa pilihanraya kerajaan tempatan akan dipulihkan sebaik sahaja keamanan dipulihkan selepas Konfrontasi.

Malahan Suruhanjaya Diraja yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan pada masa itu untuk memperbaiki pentadbiran kerajaan tempatan juga mengesyorkan untuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan.

Malangnya sehingga sekarang, pilihanraya kerajaan tempatan tidak pernah dipulihkan. Hakikatnya, pentadbiran kerajaan tempatan semakin merosot sehingga rakyat kehilangan keyakinan terhadap kerajaan tempatan. 

Oleh itu, kerajaan PR yang ada sekarang memikul tugas berat untuk memulakan lebaran baru untuk kerajaan tempatan, sekurang-kurangnya kita bermula di Selangor, iaitu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap kerajaan tempatan di Selangor dengan memberi kuasa kepada rakyat untuk memilih ahli-ahli majlis.

Saya telah difahamkan terdapat halangan perundangan seperti Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, iaitu walau apa juga yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang bertulis, semua udang-undang berhubung dengan pilihan raya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuat kuasa atau mempunyai kesan.

Saya ingin menerangkan bahawa Seksyen 4(a) Senarai Negeri Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan telah menerangkan bahawa bidang kuasa pentadbiran tempatan; termasuk pilihanraya kerajaan tempatan merupakan bidang kuasa negeri. 

Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan telah menerangkan bahawa Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu. 

Maka tertimbul persoalan sama ada peruntukan Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976 ini sah atau tidak kerana ianya bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan?

Tambahan lagi, Perkara 76(1)(a) dan (b) Perlembagaan Persekutuan juga tidak boleh diguna kerana tidak berkaitan dengan perbincangan ini. Apa yang tinggal hanya peruntukan Perkara 76(1)(c) di mana Parlimen hanya boleh membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang disebut satu persatu dalam Senarai Negeri jika diminta sedemikian oleh Dewan Undangan mana-mana Negeri. 

Adakah Dewan Undangan mana-mana Negeri telah bersidang dan meminta Parlimen untuk meminda Senarai Negeri semasa pilihanraya kerajaan tempatan dimansuhkan melalui peruntukan Seksyen 15(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976? 

Jawapannya tidak dan saya berharap kerajaan negeri dapat meneliti perkara ini secara spesifik dan menetapkan agenda untuk mengolak langkah memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan kerana Perlembagaan telah memperuntukkannya sebagai bidang kuasa negeri dan bukan Persekutuan. 

Kita tidak boleh buta sejarah. Kemerdekaan Malaysia bermula dengan Sistem Ahli atau Member System yang diperkenalkan oleh British, kemudian pilihanraya tempatan diperkenalkan di Georgetown, Ipoh, Kuala Lumpur dan sebagainya. Dengan cara-cara berperingkat seperti ini, Malaya pada pertengahan 1950-an mampu membina lapisan pemimpim tempatan yang mampu membawa Malaya ke arah self-governance. Selama ini, pilihanraya kerajaan tempatan merupakan implementasi prinsip demokrasi di peringkat akar umbi.

Kini, rakyat telah kehilangan hak berdemokrasi yang paling asas ini. Kesan-kesan buruknya amat ketara kerana rakyat amat bergantung kepada ahli-ahli majlis untuk menguruskan masalah tempatan. Malangnya, ahli-ahli majlis kita tidak memegang sebarang mandat daripada rakyat padahalnya kedudukan dan tanggungjawab mereka adalah penting.

Hakikatnya, kita telah menwujudkan satu golongan ADUN dan Ahli Parlimen “longkang” yang perlu mengambil alih tugas ahli-ahli Majlis untuk 40 tahun yang lalu apabila Selangor diletakkan di bawah BN. Ahli-ahli Majlis semasa zaman BN hanya mengambil gaji buta dan kerja-kerja dibuat oleh ADUN dan MP yang 

Pepatah Inggeris ada menyebut “No Taxation Without Representation” atau terjemahannya dalam Bahasa Malaysia ialah “Tiada Percukaian Tanpa Perwakilan”, saya raya saya tidak perlu menerangkan secara terperinci apa maksud pepatah ini tetapi prinsip inilah yang kebetulan kehilangan di Malaysia. 

Rakyat menaruh harapan menggunung tinggi kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk menjadikan PBT di Selangor lebih berdaya maju dan responsif terhadap keluhan dan masalah rakyat. Pilihanraya tempatan kebetulannya memberi peluang kepada kita untuk membantu melicinkan pentadbiran kerajaan tempatan.

Kini, ahli-ahli Majlis telah dilantik dan kebanyakkannya telah bekerja tekun di peingkat akar umbi. Saya juga mendapati tanggungjawab dan tugas mereka adalah sangat berat dan saya bersimpati dengan mereka ini kerana elaun yang mereka terima tidak setimpal dengan tugas yang disandang mereka. 

Pada masa yang sama, saya mendapati untuk PBT-PBT tertentu, adalah amat sukar untuk menaikkan elaun ahli-ahli majlis bukan sahaja PBT-PBT kekurangan sumber kewangan tetapi ahli-ahli majlis tidak memegang mandat daripada rakyat.

Dilema ini hanya boleh diselesaikan dengan adanya pilihanraya kerajaan tempatan, di mana ahli-ahli majlis dipilih melalui pilihanraya seperti kita dan oleh kerana mereka memegang mandat, maka mereka wajar diberi elaun yang lebih tinggi, mudah-mudahan membolehkan mereka bekerja sepenuh masa.

Saya memohon kerajaan dapat meneliti perkara ini dan kajian harus dibuat, khususnya kajian-kajian terhadap halangan undang-undang yang saya sebutkan tadi, strategi-strategi perlu dirancang dan perbincangan harus diadakan dengan ketua-ketua kerajaan negeri yang lain untuk memulihkan pilihanraya kerajaan tempatan.

1 comment:

Anonymous said...

yep.. you guys better work hard at this one. this is one of the most important point in DAP's GE manifesto. I will personally see to it that this will be either an achievement or a failure in your party's record card come next GE.

Don't promise what you cannot deliver. Deliver what you promised.