Monday, October 20, 2008

Cerpen “Politik Baru YB J” mendedahkan lebaran hitam kewartawanan dan kesasteraan tanahair


Saya bukan seorang karyawan. Saya bukan seorang wartawan. Tetapi apabila sesebuah karya atau laporan berita itu penuh dengan serangan peribadi dan cerita-cerita rekaan, hanya untuk menghangatkan sentimen perkauman dan keagamaan, ataupun semata-mata untuk melariskan jualan akhbar, maka ianya sesuatu yang tidak wajar. Apatah lagi jikalau tulisan itu membawa-bawa unsur keganasan atau terrorisme.

Inilah tulisan yang dihasilkan oleh Datuk Chamil Wariya yang bertajuk “Politik baru YB J” yang diterbitkan dalam akhbar harian aliran utama berbahasa Malaysia semasa akhbar tersebut dikritik hebat kerana cuba mengapi-apikan sentimen perkauman sebelum dan selepas penahanan YB Teresa Kok.

Ramai yang terkejut bukan kerana Utusan Malaysia menyiarkan cerpen tersebut tetapi cerpen tersebut ditulis oleh Datuk Chamil Wariya, CEO Institut Akhbar Malaysia atau Malaysia Press Institute (MPI). Saya sendiri tidak hairan kerana memang Chamil Wariya seorang sasterawan yang melaksanakan agenda perkauman UMNO dengan bertopengkan sastera.

Di sini saya ingin membawa sebuah buku berjudul “Dari Sungai Burung Ke Bukit Megawati” yang juga itulis oleh Chamil Wariya yang mengisahkan perjalanan politik Dr. Mohamad Khir Toyo, ADUN Sungai Panjang yang juga merupakan bekas Menteri Besar Selangor.

Apa yang menarik ialah kenyataan-kenyataan palsu dan fitnah Dr. Mohamad Khir Toyo adalah antara sebab utama YB Teresa Kok ditahan di bawah ISA selama tujuh hari. Isu-isu seperti azan ialah apa yang dibangkitkan oleh Dr. Mohamad Khir Toyo dalam laman blognya. Kebetulannya, penulis yang mengagung-agungkan Dr. Mohamad Khir Toyo ini juga merupakan penulis kepada cerpen “Politik baru YB J”. Apakah agenda tersembunyi Chamil Wariya dan Utusan Malaysia? Adakah kesemua ini juga berkaitan dengan Dr. Mohamad Khir Toyo?

Seimbas lalu mengenai biodata Datuk Chamil Wariya daripada laman webnya http://chamilwariya.com/ dan bukunya ini yang banyak mengisahkan penglibatannya dalam media aliran utama seperti RTM, TV3, Utusan Malaysia dan banyak lagi, maka tidak sukar untuk kita mengetahui latar belakang beliau yang banyak menulis tentang pemimpim-pemimpim UMNO. Malahan biodata beliau dalam buku “Dari Sungai Burung Ke Bukit Megawati” turut mengatakan bahawa beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Strategik Penerangan UMNO.

Saya tidak menghalang mana-mana sasterawan, wartawan atau karyawan mengambil pendirian yang memihak mana-mana parti politik tetapi rakyat Malaysia tidak boleh mendiamkan diri dengan corak penulisan yang berunsurkan keganasan.

Rakyat Malaysia harus bersatu-padu menolak agenda perkauman UMNO yang dibawa-bawa oleh Utusan Malaysia. Kempen boikot Utusan Malaysia akan dilancarkan di DUN Kampung Tunku di mana kami meminta rakyat untuk tidak membaca dan tidak membeli suratkhabar ini. Kami juga menyeru penjual-penjual dan pengedar-pengedar suratkhabar turut bersama menyertai kempen kami untuk tidak menjual dan mengedar Utusan Malaysia. Kempen ini akan berterusan sehingga Utusan Malaysia memberi laporan yang seimbang dan adil terhadap Pakatan Rakyat.

1 comment:

Awang Kata said...

Siapa pencetus sebenar yang mengakibatkan cerpen tersebut terhasil. Kalau tidak ada angin masakan pokok bergoyang-goyang. Kalau tidak ada bahan resipi masakan masakan terjadi dengan enak sekali rasanya.