Thursday, October 23, 2008

Pemeliharaan alam sekitar sebagai prinsip pembangunan mampan di negeri Selangor

Ucapan Bajet (7)

Saya mengalu-alukan ucapan YAB Menteri Besar yang menyentuh tentang penjagaan alam sekitar .

Sememangnya kita tidak ingin melihat apa pembangunan lereng dan cerun bukit seperti di Medan Damansara Kuala Lumpur yang ditadbir oleh DBKL Kerajaan Persekutuan yang begitu dahsyat.

Apa yang perlu diingatkan ialah klausa 3.5.6(ii) dan 3.5.7(i) Pelan Struktur Selangor yang diwartakan pada 14 Jun 2008 antara lain telah menggariskan pembangunan-pembangunan tertentu yang boleh dijalankan.

Di kawasan berbukit dan tanah tinggi di bahagian timur Negeri Selangor iaitu di dalam Daerah-Daerah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat, aktiviti pembangunan di zon ini perlu dikawalselia kerana kawasan ini mempunyai kepentingan dari aspek pemeliharaan dan pemuliharaan di mana ia meliputi kawasan berbukit yanq mempunyai ketinggian melebihi 150m.

Di Daerah-daerah Gombak dan Hulu Langat, zon pembangunan terhad meliputi kawasan pembangunan perumahan di lereng-lereng bukit. Di Daerah Hulu Langat, ia juga meliputi kawasan pertanian dan petempatan desa. Pengawalan pembangunan di dalam zon ini adalah untuk memastikan aktiviti pembangunannya dikawalselia bagi mengelakkan masalah hakisan dan tanah runtuh. Ia juga untuk memastikan corak pembangunan pada masa hadapan tidak akan mendatangkan masalah alam sekitar.

Kawasan Hutan dan Tanah Tinggi pula meliputi pemuliharaan hutan-hutan simpan sedia ada yang terdiri daripada hutan tanah tinggi di bahagian Timur Negeri Selangor. Kawasan hutan simpan ini kebanyakannya adalah kawasan berkecerunan melebihi 25 darjah. 

Pemuliharaan kawasan hutan juga meliputi kawasan hutan paya gambut di Daerah-daerah Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Langat serta hutan paya bakau di kawasan Klang. 

Pelan Struktur ini juga menyatakan bahawa Hutan Simpan Kekal (HSK) yang terletak di dalam Zon Wilayah Lembah Klang dan Pinggiran Wilayah Lembah Klang juga akan terus dipulihara. Pemuliharaan ini adalah selaras dengan kepentingan hutan ini sebagai kawasan tadahan air, hutan perlindungan hidupan liar, perlindungan biodiversiti dan juga untuk keseimbangan persekitaran.

No comments: