Wednesday, August 11, 2010

MENTERI BESAR TEMUI KAMERA YANG TERSEMBUNYI DALAM BILIKNYA




KENYATAAN AKHBAR
11 OGOS 2010
MENTERI BESAR TEMUI KAMERA YANG TERSEMBUNYI DALAM BILIKNYA

SHAH ALAM: Pejabat Menteri Besar akan menjalankan siasatan dalaman berhubung penemuan kamera dan beberapa peralatan lain termasuk monitor yang disembunyikan dalam bilik Menteri Besar, YAB Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di tingkat 21, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS).
Kamera mikro yang disembunyikan di belakang langsir tempat duduk Menteri Besar itu dijumpai oleh Menteri Besar sendiri pada jam 6 petang semalam.
Menteri Besar berkata, beliau secara tidak sengaja terjumpa kamera mikro dan peralatan lain yang disembunyikan itu apabila ia berbunyi kerana kehabisan bateri.
“Setelah disiasat, saya menemui kamera dan monitor yang disembunyikan di belakang langsir. Kita akan meneliti semula rakaman dan juga melihat video rakaman kamera litar tertutup (CCTV),” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.
Susulan kejadian itu, Abdul Khalid akan meminta Jabatan Keselamatan meningkatkan sistem kawalan kerana Bangunan SSAS menempatkan ibu pejabat jabatan kerajaan negeri dan pejabat-pejabat EXCO serta ketua jabatan.
“Kita akan melihat dahulu rakaman supaya menyenangkan kerja Polis. Jika kita dapati ada keperluan, barulah kita akan membuat laporan polis,” katanya.
SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: