Thursday, July 12, 2012

Sistem pengurusan hartanah Bumiputera yang telus dan cekap

Saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini menyampaikan satu pemberitahu untuk memohon kebenaran ucapan penangguhan mesyuarat akhir persidangan di bawah Peraturan Tetap 16(2) pada 12 Julai 2012, di mana isi kandungan ucapan adalah seperti yang berikut:
“Kerajaan Selangor harus menetapkan satu sistem pemindahan hartanah lot Bumiputera yang telus dan efektif supaya pembeli rumah Bumiputera tidak terlalu dikongkong dengan peraturan-peraturan yang terlalu tegas di samping mengelak sebarang manipulasi.
“Contoh yang paling baik untuk menggambarkan situasi ini ialah dua aduan yang diterima berkenaan Kondominium Kelana D’Putera yang dibangunkan oleh Syarikat Perantara Properties Sdn. Bhd.

“Dalam kes pertama, seorang pemilik rumah Bumiputera yang juga seorang warga emas ingin melepaskan rumahnya kepada seorang kawan karibnya sejak zaman persekolahan lagi tetapi tidak berjaya kerana rumah beliau itu ialah unit kuota Bumiputera dan tidak boleh dipindah milik kepada pembeli bukan Bumputera.

“Dalam kes kedua, seorang pemilik rumah bukan Bumiputera telah dipesong oleh pemaju dan terbeli sebuah rumah kuota Bumiputera. Beliau ingin menjual rumah ini kepada seorang pembeli bukan Bumiputera tetapi tidak berjaya.

“Dalam kedua-dua kes ini, pembeli asal rumah berkenaan dilarang daripada menjual rumah kuota Bumiputeranya kecuali mendapat kebenaran daripada kerajaan Selangor. Proses ini memakan masa dan ini tidak mendatangkan apa-apa kebaikan baik kepada pemilik ataupun kepada pembeli.

“Apa yang jelas, memang terdapat ketirisan dalam system yang sedia ada sehingga terdapat pihak-pihak tidak bertanggungjawab mampu memanipulasi peraturan-peraturan yang ada untuk kepentingan mereka. Kerajaan Selangor harus berikhtiar untuk menyelesaikan masalah ini.

“Contohnya, pembeli Bumiputera harus diberi kebebasan untuk menjual rumah tersebut kepada bukan Bumiputera dengan syarat pembeli berkenaan perlu membayar caruman kepada satu tabung yang dikhususkan untuk membantu golongan miskin untuk memilik rumah pertama mereka.

“Pemaju yang menjual hartanah lot Bumiputera kepada bukan Bumiputera tanpa kebenaran perlu dihukum dengan membuat caruman yang sama kepada tabung yang dimaksudkan di atas.

“Selain itu, untuk memastikan golongan miskin Bumiputera terbela, kerajaan juga tidak perlu menetapkan kuota dan diskaun harga Bumiputera untuk hartanah mewah yang melebihi RM1 juta ke atas memandangkan pembeli-pembeli Bumiputera sudah tentu mampu membeli hartanah-hartanah ini atas kemampuan mereka sendiri tanpa bantuan kerajaan.

“Dengan ini, para pemaju tidak perlu menanggung subsidi yang terlalu tinggi dan keuntungan yang diperolehi boleh disalurkan ke dalam tabung yang dimaksudkan tadi untuk membantu lebih ramai orang miskin, khususnya golongan Bumiputera untuk memiliki rumah mereka yang pertama."

Sekian, terima kasih.

No comments: