Monday, January 24, 2011

UMNO Sah Penderhaka!

1.1. Dewan pada hari ini akan mencipta dua sejarah. Sejarah yang pertama ialah Pakatan Rakyat (PR) berjaya membawa satu pindaan yang merupakan satu perubahan struktur dengan tujuan untuk memperbetulkan kesilapan masa silam. Sejarah yang kedua ialah jikalau UMNO dan BN menyokong pindaan ini, makan sejarah akan tercipta di mana politik partisan yang usang sudah tiada tempatnya lagi. Walaupun UMNO atau BN tidak menyokong, ianya juga merupakan sejarah di mana senarai panjang kebiadaban UMNO terhadap Sultan-Sultan Melayu akan berpanjangan lagi dengan bertambahnya satu lagi contoh pada hari ini. Tujuan sidang khas Dewan diadakan adalah untuk menggantikan Fasal (1) Perkara 52 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 dengan fasal baru yang berbunyi seperti berikut:

“(1) Duli Yang Maha Mulia hendaklah atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan dengan suratcara di bawah Tandatangan baginda dan Mohor Kerajaan melantik seorang yang memegang jawatan sepenuh masa di dalam perkhidmatan awam masing-masingnya untuk menjadi Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri:
Dengan syarat sebelum bertindak di atas cadangan Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan, Duli Yang Maha Mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat Menteri Besar dan boleh sekali merujuk balik cadangan tersebut kepada Suruhanjaya Perkhidmatan supaya ia boleh dipertimbangkan semula.”
2. Kampung Tunku berdiri menyokong sepenuhnya pindaan terhadap Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 yang dibawa oleh Menteri Besar pada hari ini atas sebab-sebab berikut:

i. Pindaan yang sejajar dengan semangat persekutuan (federalism) akan mengurangkan pemusatan kuasa di peringkat pusat di mana kuasa pelantikan ketiga-tiga orang ex-officio ini akan dilakukan dengan melibatkan Menteri Besar dan Tuanku Sultan Selangor.
ii. Ianya sejajar dengan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarch) yang diamalkan di negara ini sekian lama tetapi telah dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Semangat Persekutuan

3. Justeru itu, dakwaan sesetengah pihak bahawa pindaan ini akan “mengurangkan lagi kuasa sultan dan meluaskan kuasa menteri besar” adalah tidak berasas sama sekali.

4. Pertama, pindaan yang dicadangkan ini sejajar dengan semangat persekutuan. Fasal (1) Perkara 52 yang sedia ada merupakan pindaan pada tahun 1993. Peranan yang sepatutnya dimainkan oleh Menteri Besar dan Tuanku Sultan Selangor sebelum tahun 1993 telah dilucutkan dengan pindaan pada tahun itu di mana pelantikan ketiga-tiga jawatan ex-officio itu, yakni Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri, dilantik secara terus menerus oleh Suruhanjaya Perkhidmatan yang berkenaan.

5. Walaupun kata nama khas Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak disebut dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan, tetapi saya dimaklumkan bahawa secara konvensyennya, pelantikan untuk ketiga-tiga jawatan ini biasanya dilakukan oleh SPA, hasil daripada pemusatan kuasa yang terlampau oleh kerajaan BN.

6. Berbeza dengan apa yang dipratikkan sebelum ini, saya percaya bahawa perkataan “Suruhanjaya Perkhidmatan” yang dimaksudkan di sini tidak semestinya merujuk kepada SPA. Cuma calon-calon daripada SPA dipilih mungkin kerana SPA mempunyai pool kakitangan awam kanan yang paling ramai untuk dipilih menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri.

7. Oleh kerana “Suruhanjaya Perkhidmatan” yang dimaksudkan di sini tidak semestinya bermaksud SPA, maka saya menggesa kerajaan supaya segera memperkasakan struktur fungsi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri (SPAN) supaya SPAN juga boleh mencadangkan calon-calon yang bersesuaian untuk menyandang jawatan yang begitu penting ini.

8. Pindaan yang dibawa oleh kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pada tahun 2011 ini pula bertujuan untuk memulihkan isi kandungan asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 berkenaan dengan pelantikan ketiga-tiga.

9. Jikalau pindaan yang dicadangkan hanya memulihkan rupa bentuk asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959, maka dakwaan bahawa kuasa Sultan dihakis dan kuasa Menteri Besar dikembang tidak tertimbul sama sekali.

10. Jika isu ini tertimbul, maka adakah mereka yang membuat dakwaan ini turut mengaku bahawa Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 asal yang dirangka oleh kerajaan BN dan Perikatan mencabuli hak dan kuasa Raja Melayu? Sudah tentu tidak sama sekali!

11. Pindaan perlu dilakukan sejajar dengan semangat federalisme dan prinsip Raja Berperlembagaan. Kuasa pelantikan ketiga-tiga jawatan ini perlu dikembalikan kepada pihak negeri, iaitu Sultan sebagai Ketua Negeri dan Menteri Besar sebagai Ketua Kerajaan Negeri.

12. Dengan adanya pindaan yang terbaru ini, SPA boleh mencadangkan nama-nama mereka yang bersesuaian kepada Tuanku Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor yang diketuai oleh Menteri Besar. Kemudian Tuanku perlu membuat keputusan selepas dinasihati oleh Menteri Besar. Malahan Tuanku boleh merujuk balik kepada SPA jikalau calon-calon yang dicadangkan didapati tidak sesuai.

Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan

13. Pindaan ini juga sejajar dengan sistem Demokrasi Berparlimen (Parliamentary Democracy) dan Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarch) yang diamalkan di negara ini sekian lama tetapi telah dirosakkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN).

14. Mengikut pakar undang-undang perlembagaan, Profesor Shad Saleem Faruqi, sehingga tahun 2005 Perlembagaan Persekutuan telah dipinda sebanyak 42 kali. Oleh kerana setiap kali Perlembagaan Persekutuan dipinda, ianya melibatkan beberapa pindaan individu, maka beliau menjangka bahawa jumlah pindaan yang sebenar adalah sebanyak 650 kali. Ramai pakar undang-undang termasuk beliau percaya bahawa semangat asal yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan telah terkakis dengan serious.

15. Perkara yang sama juga berlaku pada Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ini dimana terdapat sebanyak 109 pindaan. Walaupun sesetengah pindaan yang dilakukan adalah bersifat teknikal ataupun dari segi pentadbiran, tetapi terdapat banyak juga pindaan mempunyai motif politik.

16. Oleh itu, kerajaan Pakatan Rakyat sebagai sebuah kerajaan yang mendukung cita-cita rakyat untuk membawa perubahan, perlulah tabah dalam memulihkan rupa bentuk asal Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 ini, khususnya beberapa prinsip-prinsip penting berkenaan dengan Demokrasi Berparlimen, sistem Raja Berperlembagaan dan prinsip pengasingan kuasa.

17. Bahagian-bahagian dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor yang dipinda semasa zaman Barisan Nasional dan perlu dipertimbangkan untuk pindaan pada masa depan adalah seperti berikut:
i. Fasal (1)(e) Perkara 64 di mana seseorang Ahli Dewan Negeri disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah dalam Persekutuan dan dijatuhi hukuman pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia belum mendapat pengampunan penuh.

ii. Fasal (5) Perkara 64 di mana seseorang yang meletakkan keahliannya dalam Dewan Undangan bagi Negeri ini atau mana-mana Negeri lain hendaklah, selama tempoh lima tahun bermula dari tarikh peletakan keahliannya mula berkuatkuasa, hilangan kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Undangan bagi Negeri ini.

iii. Fasal (2B) Perkara 78 berkenaan dengan perkanan Tuanku Sultan Selangor yang menyebut jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia dalam masa yang dinyatakan dalam Fasal (2A), ia hendaklah menjadi undang-undang apabila habis tempoh yang dinyatakan dalam Fasal itu mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.
18. Fasal-fasal dan perkara-perkara yang saya sebut di atas merupakan pindaan yang dilakukan oleh kerajaan BN yang lalu dan mempunyai motif politik sama ada untuk melemahkan suara pembangkang atau untuk memperkembangkan kuasa eksekutif sehingga perkenan Tuanku yang diperlukan untuk mengesahkan sesuatu undang-undang pun dimansuhkan, walaupun Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1955 mengatakan bahawa ianya merupakan satu proses perundangan penting yang tidak boleh dipisahkan.

19. Ini hanya sebahagian kecil daripada pindaan yang perlu diberi perhatian. Ada yang boleh dipulihkan oleh Dewan Yang Mulia ini dengan undi majoriti dua pertiga tetapi ada juga yang perlu diteliti supaya ianya tidak bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan. Jikalau terdapat percanggahan, maka pindaan pada Perlembagaan Persekutuan perlu dijalankan serentak untuk mengelakkan sebarang percanggahan antara negeri dengan persekutuan. Sama ini boleh berlaku atau tidak, marilah kita berusaha menumpangkan kerajaan persekutuan yang diterajui BN dalam pilihanraya umum yang akan datang.

Pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri

20. Ucapan Menteri Besar tadi menyebut bagaimana beliau dipintas (by-passed) dalam kes pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru. Menteri Besar juga mengatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan tentang keputusan tentang pelantikan ini, malahan ianya tidak mendapat persetujuan daripada Kerajaan Negeri Selangor.

21. Saya telah membaca dengan teliti laporan akhbar serta kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan kelmarin berkenaan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru.

22. Seribu satu tanda soal tertimbul di fikiran saya apabila saya mendapati komunikasi surat-menyurat di antara Jabatan Perkhidmatan Awam serta Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Awam dengan Kerajaan Selangor tidak terletak di bawah pengetahuan YAB Dato’ Menteri Besar Selangor. Lebih-lebih lagi perkara yang dibincangkan ialah perkara yang sangat penting iaitu pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru. Sebaliknya, Tan Sri Sidek Hassan berkata bahawa beliau berurusan dengan Setiausaha Kerajaan Selangor sebelum ini berkenaan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Selangor yang baru. Mengapa Menteri Besar tidak dimaklumkan tentang perkara ini?

23. Saya berpendapat bahawa sekurang-kurang Dato’ Menteri Besar selaku Ketua Kerajaan Negeri perlu dimaklumkan tentang isi kandungan surat-menyurat antara Setiausaha Kerajaan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kerana Dato’ Menteri Besar dan berisan EXCO yang dipimpin beliaulah yang mewakili cabang eksekutif kerajaan Selangor, bukan Setiausaha Kerajaan Negeri.

24. Lebih-lebih lagi, Setiausaha Kerajaan Selangor tidak boleh berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan dengan perlantikan Setiausaha Kerajaan negeri yang baru bagi pihak Kerajaan Selangor tanpa penurunan kuasa daripada Menteri Besar dan EXCO.

25. Kita tidak harus lupa bahawa Setiausaha Kerajaan Selangor sekarang merupakan kakitangan awam kanan yang berasal daripada Jabatan Perkhidmatan Awam. Dari segi hierakinya jawatan beliau terletak di bawah Ketua Setiausaha Negara (KSN). Bagaimana seorang yang berpangkat lebih rendah berunding dengan seorang yang berpangkat lebih tinggi dalam organisasi yang sama? Ini adalah tidak masuk akal sama sekali.

26. Sudah tentu bahawa apa yang berlaku sekarang adalah sesuatu yang amat malang sekali di mana Dato’ Menteri Besar Selangor tidak dimaklumkan langsung tentang apa keputusan akhir JPA.

Fitnah Utusan Malaysia dan UMNO

27. Dalam membahas pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor ini, satu-satu isu yang tidak boleh saya lupakan ialah peranan yang dimainkan oleh suratkhabar Utusan Malaysia.

28. Sepanjang 34 bulan Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan Selangor, selama itulah Utusan Malaysia memainkan sentimen perkauman, agama dan Raja-raja Melayu dengan hanya satu tujuan, iaitu menabur fitnah terhadap kerajaan PR Selangor.

29. UMNO dan Utusan Malaysia memfitnah Pakatan Rakyat sebagai penderhaka kepada Raja Melayu. DAP pula dituduh mempunyai muslihat tersembunyi untuk menukar Malaysia kepada sebuah negara republik. PAS pula dituduh sebagai budak suruhan DAP. Anehnya, MCA pula menuduh DAP dimanipulasi oleh PAS. MIC pula kata DAP dan PAS rosak kerana PKR. Inilah politik songsang yang diamalkan oleh UMNO, MCA dan MIC kerana mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mereka kata.

30. Saya dengan tegas ingin menyatakan di sini, pindaan yang dibawa oleh Pakatan Rakyat pada hari ini merupakan komitmen PR terhadap institusi Raja Berperlembagaan yang juga didukung oleh DAP. Contohnya, DAP mempertikaikan pindaan perlembagaan yang dibawa oleh Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1983 terhadap Perkara 66 yang menyebut jika sesuatu Rang Undang-Undang tidak diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia dalam masa 15 hari, ia hendaklah menjadi undang-undang apabila habis tempoh 15 hari mengikut cara yang sama seolah-olah baginda telah memperkenankannya.

31. Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1983 itu juga meminda Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan di mana Perdana Menteri perlu menasihat Yang Di-Pertuan Agong jikalau beliau berpuas hati terhadap perlunya untuk mengiystikarkan darurat di mana-mana bahagian di dalam Persekutuan. Sebelum pindaan ini, fungsi ini dipegang oleh YDPA. DAP juga mempertikaikan pindaan ini.

32. Saya memetik satu petikan yang diterbitkan oleh suratkhabar Roket pada Oktober 1983 yang berbunyi seperti berikut:
“Lim Kit Siang argued that the proposed 15-Day Deemed Assent Rule was a seditious proposal as it involved a derogation of sovereignty of the Rulers, which is prohibited by the 1971 Constitution Amendment Bill which entrenched the position of Rulers together with three other subjects beyond the pale of questioning on pain of sedition….the Royal Assent, which could not not be withheld by the Yang di-Pertuan Agong, or the Sultan, is needed to perfect a Bill to become law, and it was ridiculous on the Prime Minister, Dr Mahathir Mohamad’s part ot argue that the Bill was merely seeking to clarify what the position all along was.”

“Clearly, the intriduction of the 15-Day Deemed Royal Assent amendment in Parliament without first getting approval of the Conference of Rulers has made the amendments unconstitutional.”
33. Oleh itu, pendirian DAP adalah jelas dari awal lagi, bahawa sistem Raja Berperlembagaan yang diwarisi sejak zaman merdeka perlu dipertahankan. Pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan mana-mana negeri yang melibatkan peranan Raja-Raja Melayu perlu sebaik-baiknya dibincang dan diluluskan oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

34. Malangnya, UMNO dan BN terus mencari segala kesempatan untuk memusatkan kuasa di badan eksekutif dan menjadikan institusi raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen, perkhidmatan awam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kebebasan kehakiman sebagai rubber-stamp bagi memanjangkan hayat politik mereka.

Politik “Sapu Malaysia” UMNO dan BN

35. Slogan BN terbaru ialah “Satu Malaysia” tetapi apa yang dipraktik ialah “Sapu Malaysia” kerana BN hendak “sapu” semua yang ada, bukan sahaja kontrak dan projek tetapi kuasa. Itulah sebabnya mengapa mereka selalu berkata “Salam Satu Malaysia” sesama mereka sendiri.

36. Bagaimana mereka “sapu”? Mereka melakukan ini melalui pelbagai pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan di peringkat negeri, sama ada pindaan besar ataupun kecil. Semua ini dapat dilakukan pada masa lalu kerana BN dan UMNO mempunyai majoriti dua pertiga yang tidak pernah dinafikan oleh pembangkang selama ini. Ego mereka terlalu besar sehinggalah mereka jatuh pada tahun 2008. Adakah mereka telah insaf? Mungkin ya mungkin tidak, tetapi setakat melihat bagaimana BN sanggup menggelar isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor sebagai “first lady” di mana gelaran ini sepatutnya untuk DYMM Permaisuri Agong, saya khuatir mereka masih jauh daripada menemui keinsafan mereka.

37. Pindaan yang dibawa oleh PR pada hari ini biarpun satu pindaan yang kecil tetapi ianya memulakan satu langkah positif ke arah memulihkan fungsi institusi-institusi yang begitu penting bagi negeri kita. Malangnya kita tidak dapat melakukan ini tanpa sokongan daripada Ahli Dewan Negeri UMNO dan BN.

38. Keengganan mereka untuk menyokong pindaan ini terus mendedahkan sikap hipokrit dan perangai “sapu” mereka. Kalau mereka benar-benar ingin memperjuangkan institusi Raja Berperlembagaan, maka mereka perlu menyokong pindaan ini. Jika tidak, mereka harus menghentikan fitnah-fitnah mereka terhadap PR.

39. Siapakah penderhaka yang sebenarnya? Siapakah penderhaka terhadap sistem raja berperlembagaan? Hari ini, rakyat Malaysia amnya dan Selangor khasnya akan mendapat jawapannya. Pakatan Rakyat menyokong pindaan ini, adakah UMNO dan BN akan menyokong pindaan ini? Ataupun mereka hanya berminat untuk memainkan isu ini demi kepentingan politik mereka?

Sekian ucapan saya, terima kasih.

[Kenyataan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 24 Januari 2011 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam]

No comments: