Sunday, June 09, 2013

Pilihanraya Kerajaan Tempatan – Abdul Rahman Dahlan jangan bertolak dalih

Kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Abdul Rahman Dahlan bahawa pelaksanaan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan bukan satu-satunya jalan penyelesaian untuk meningkatkan prestasi pihak berkuasa kerajaan tempatan merupakan satu kenyataan regresif yang mencerminkan kekurangan komitment kerajaan BN pimpinan Najib Razak untuk melaksanakan transformasi. 

Abdul Rahman Dahlan gagal memahami konsep “tiada percukaian tanpa perwakilan” atau “no taxation without representation” dalam sebuah masyarakat yang mengamal prinsip demokrasi. 

Memang saya mengakui pilihanraya kerajaan tempatan tidak akan menyelesaikan masalah kerajaan tempatan dalam masa sekelip mata. Walaupun begitu, ianya ialah satu proses pendemokrasian yang sangat penting buat rakyat Malaysia di mana rakyat akan diberi peluang untuk memillih wakil rakyat mereka di peringkat kerajaan tempatan. 

Kenyataan Abdul Rahman Dahlan seolah-olah menunjukan bahawa beliau masih percaya “kerajaan mengetahui segala-galanya” atau “government knows all” biarpun ianya sudah ketinggalan zaman pada masa sekarang. 

Kerajaan boleh menetapkan syarat-syarat yang lebih ketat supaya ahli majlis atau YDP kerajaan tempatan mempunyai kelayakan yang lebih tinggi tetapi akhirnya rakyat yang akan menentukan siapa yang lebih layak untuk mewakili mereka di peringkat kerajaan tempatan dan bukannya ketua-ketua politik. 

Lebih-lebih lagi, pilihanraya kerajaan tempatan merupakan sesuatu yang pernah berjalan di Malaysia dan ianya merupakan salah satu asas kepada kemerdekaan Malaya pada tahun 1957. 

Suruhanjaya Siasatan DiRaja Mengenai Perjalanan Kerajaan-kerajaan Tempatan pada tahun 1970 yang diketuai mendiang Tan Sri Athi Nahappan telah mencadangkan agar kerajaan memulihkan pemilihan ahli-ahli majlis kerajaan tempatan melalui pilihanraya dan bukan melalui perlantikan. 

Suruhanjaya tersebut juga mengatakan bahawa “democracy with efficiency is always more desirable and better than efficiency without democracy”. Ini bermaksud Suruhanjaya ini seawal tahun 1970 telahpun menjangkakan terdapat pihak yang akan membantah pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan dengan alasan yang dibentangkan oleh Abdul Rahman Dahlan, lalu Suruhanjaya ini menegaskan bahawa demokrasi dengan kecekapan selalunya lebih baik daripada kecekapan yang tiada demokrasi, sekaligus menggariskan kepentingan demokrasi dalam perjalanan kerajaan tempatan. 

Lagipun, rakyat Malaysia sudah semakin matang dari segi politik di mana mereka tidak lagi memilih wakil rakyat mengikut kaum dan agama. Hakikat ini jelas dalam PRU13 ini di mana terdapat calon DAP berketurunan India mendapat sokongan daripada masyarakat Cina dan calon berketurunan Cina mendapat sokongan di kawasan Melayu. 

Begitu juga dengan calon berketurunan Melayu dari Pas menang di kawasan masyarakat bukan Melayu. Kita juga tidak harus lupa fakta bahawa terdapat ramai pengundi bukan Cina yang mengundi di kawasan bandar manakala terdapat juga kawasan kaum India dan Cina di luar bandar. Demografi penduduk-penduduk sekarang telah menjadi semakin homogenius. 

Abdul Rahman Dahlan juga mengambil peratusan mengundi yang rendah di luar Negara sebagai alasan bahawa pilihanraya kerajaan tempatan tidak semestinya melibatkan seluruh rakyat. Perbandingan ini tidak dibuat atas tolok yang seimbang kerana negara-negara yang diambil beliau sebagai contoh ini seperti United Kingdom, New Zealand dan Belanda merupakan negara-negara yang mempunyai tahap kematangan demokrasi yang tinggi dan rakyat negara-negara ini sudah kehilangan keyakinan terhadap politik partisan. Bukan sahaja peratusan mengundi untuk pilihanraya kerajaan tempatannya rendah, malahan peratusan mengundi untuk pilihanraya umum di negara-negara ini tidak begitu memberangsangkan. 

Justeru itu, saya berharap Abdul Rahman Dahlan berhenti memberi alasan yang tidak munasabah dalam soal ini. Semakin banyak beliau bertolak dalih, semakin ramai pengundi yang berasa BN kurang ikhlas dalam program transformasinya.

No comments: