Monday, June 17, 2013

Speaker dan Demokrasi Berparlimen ala Westminster

Sidang Dewan Rakyat ke-13 yang akan bermula bersidang pada 24 Jun 2013 nanti bakal menyaksi pertarungan pertama antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat (PR) sebulat suara bersetuju menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurut Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim, penamaan Abdul Kadir itu telah dikemukakan atas nama Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Menteri Besar Negeri Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai mewakili pendirian PR pada 10 Jun lalu.

Katanya, satu pemberitahu bersurat mengenai penamaan itu telah dikemukakan kepada Setiausaha Dewan Rakyat mengikut kehendak Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 4(1).

Beliau dalam kenyataan menyatakan, PR bertegas bahawa Yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik daripada kalangan mereka yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

Manakala calon BN dijangka ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia, iaitu Speaker Dewan Rakyat Parlimen Ke-12. Beliau pernah menyandang jawatan Speaker untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada tahun 1986 hingga 1988. Sebelum dipilih menjadi Speaker Dewan Rakyat, beliau merupakan Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu.

Disebabkan beliau dipilih menjadi Speaker Dewan Rakyat pada tahun 2008, beliau meletakkan jawatannya sebagai Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu dan hanya mengekalkan jawatannya sebagai ahli biasa UMNO.

Perkara ini dilihat sebagai sesuatu yang perlu kerana tradisi demokrasi berparlimen ala Westminster yang diwarisi daripada British selalu menyaksikan jawatan ini perlu dipegang oleh seorang yang betul-betul bebas daripada pengaruh parti politik.

Biarpun begitu, apa yang dilakukan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebenarnya masih tidak mencukupi untuk membuktikan kebebasannya kerana jika ini dibandingkan dengan praktis negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster, mereka yang dipilih menjadi Speaker sebenarnya perlu meletakkan jawatan dan berundur daripada parti politik masing-masing.

Contohnya Speaker untuk House of Commons, Parlimen British, John Bercow. Beliau sebelum ini merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan Buckingham dan pernah memegang jawatan penting di dalam Parti Konservatif.

Apabila Speaker sebelumnya, Michael John Martin (seorang Ahli Parlimen dari Parti Buruh sebelum dipilih menjadi Speaker) meletakkan jawatannya pada tahun 2009, John Bercow bertanding sebagai calon dan menang dalam pertandingan ini. Beliau seterusnya berundur daripada Parti Konservatif dan menjadi Speaker House of Commons sehingga sekarang.

Ini mungkin aneh bagi rakyat Malaysia kerana apabila John Bercow, seorang Ahli Parlimen Parti Konservatif mula-mula dipilih menjadi Speaker pada tahun 2009, kerajaan yang memerintah pada masa itu ialah Parti Buruh. Ini menunjukkan kematangan politik yang tinggi di kalangan Ahli Parlimen British di mana mereka memilih mereka yang betul-betul layak untuk menyandang jawatan ini.

Berbalik kepada Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sebab saya mengatakan kebebasan beliau masih belum terbukti jelas ialah beliau masih mengekalkan keahliannya dalam parti UMNO. Ini sedikit sebanyak mengugat kewibawaannya dalam mempengerusi persidangan Dewan Rakyat.

Bukan sahaja Tan Sri Pandikar Amin Mulia tidak berundur daripada parti politiknya, malahan belum ada lagi Speaker di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mengisytiharkan perundurannya daripada parti politiknya.

Ini menunjukkan bahawa bahawa iklim politik di Malaysia masih dibelenggu elemen kepartian yang kental. Melepaskan jawatan dan kedudukan masing-masing dalam parti politik dilihat sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana Speaker perlu bergantung kepada sumber-sumber parti untuk mengekalkan kedudukannya sebagai wakil rakyat dan memberi perkhidmatan kepada pengundi di kawasannya.

Tradisi Westminster pula selalu memperlihatkan kawasan Speaker tidak akan dipertandingkan oleh mana-mana parti politik utama sebagai satu penghormatan kepada Speaker. Misalnya bagi kawasan John Bercow, iaitu Buckingham, dalam pilihanraya umum British pada tahun 2010, Parti Buruh, Parti Liberal Demokratik dan Parti Konservatif masing-masing tidak menghantar calon untuk bertanding di kawasan ini atas semangat “The Speaker seeking re-election”, di mana ayat ini akan dicetak dalam kertas undi untuk pengundi di kawasan yang dipertandingi Speaker. Selalunya Speaker akan menang tanpa bertanding tetapi beliau juga mungkin menghadapi cabaran daripada calon-calon parti kecil dan calon bebas.

Tradisi ini bertujuan memastikan Speaker dapat menjalankan tugasnya dengan adil, saksama dan bebas daripada mana-mana pengaruh politik. Justeru itu, cadangan Pakatan Rakyat untuk mencalonkan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat harus dilihat sebagai satu usaha murni ke arah mencapai Parlimen Dunia Pertama di mana Speakernya betul-betul bebas dan adil dalam mempengerusi persidangan Dewan.

Peluang Datuk Abdul Kadir Sulaiman menang dalam pertarungan jawatan Speaker Dewan Rakyat memang tipis kerana dijangkakan beliau tidak akan mendapat undi daripada Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional. Biarpun begitu, pencalonan beliau sudah pasti akan membuka minda rakyat terhadap kepentingan jawatan ini.

Rekod cemerlang Speaker Dewan Negeri Selangor sebelum ini, Dato’ Teng Chang Khim telah membuktikan kepada rakyat bahawa jawatan ini tidak boleh dipandang remeh seperti pada zaman dahulu lagi. Jikalau Speaker Dewan kuat, maka perjalanan, prestasi malahan martabat Dewan keseluruhannya juga akan dipertingkatkan. Dewan tidak akan dilihat sebagai rubber stamp semata-mata dan pihak Eksekutif perlu sentiasa menjawab kepada Dewan.

Bukankah ini lebih menguntungkan rakyat jelata?

No comments: