Monday, December 28, 2020

Adakah Menteri Kewangan sekarang juga akan mencontohi YB Lim Guan Eng untuk memberi lebih peruntukan penyelenggaraan kepada JKR Kuala Langat dan KKR?


Kenyataan Media ADN Banting (DAP) Lau Weng San pada 28 Disember 2020 di Banting, Kuala Langat:

Saya terkejut dengan berita bahawa YB Khairy Jamaluddin jatuh basikal akibat terlanggar lubang jalan di B60 Jalan Sri Cheeding, DUN Sijangkang, Daerah Kuala Langat.

Jalan ini merupakan antara jalan negeri yang tersibuk kerana ianya bukan sahaja menghubungi Sri Cheeding dengan Banting tetapi merupakan jalan pintas menghubungi Banting dengan Bandar Rimbayu serta Kota Kemuning.

Jalan ini juga merupakan laluan kesukaan ramai pengayuh basikal pada hujung minggu dan cuti awam kerana kedudukannya yang strategik dan berdekatan dengan Lembah Klang dan Shah Alam.

Buat masa sekarang, jalan ini diselenggara oleh Jabatan Kerja Raya Kuala Langat. Selepas kemalangan YB Khairy Jamaluddin, JKR Kuala Langat melalui akaun Twitternya telah memohon maaf kepada YB Khairy Jamaluddin dan ini mengundang kritikan.

Rata-ratanya mereka bertanya apakah JKR Kuala Langat berat sebelah kerana hanya memohon maaf kepada YB Menteri sahaja sedangkan ramai lagi rakyat biasa yang menjadi mangsa kemalangan akibat keadaan jalan yang tidak mengizinkan.

Saya dan rakan-rakan sudah banyak kali membangkitkan isu kerosakan jalan dan perabot-perabot jalan, baik di dalam sidang Dewan Negeri Selangor ataupun dalam mesyuarat Jawatankuasa Infrastruktur Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Secara rasmi dan tidak rasmipun, saya dan rakan-rakan banyak membangkitkan isu ini dengan dua orang Jurutera Daerah dan dua orang Jurutera Jalan di yang pernah dan sedang berkhidmat JKR Kuala Langat.

Kerajaan Selangor juga bertindak proaktif dengan menjalankan menggunakan teknologi untuk memudahkan pengguna jalan raya untuk melaporkan kerosakan jalan melalui Waze.

Apapun sekali, JKR Kuala Langat masih menghadapi masalah kekangan kewangan kerana banyak peruntukan yang diperlukan perlu mendapat kelulusan Kementerian Kewangan, khususnya penyelenggaraan jalan persekutuan.

Justeru itu saya tidak bercadang mengkritik JKR Kuala Langat kerana tangan mereka terikat dengan kesuntukan peruntukan. Kementerian Kewangan sebenarnya harus memikul sebahagian besar tanggungjawab kerana mereka yang membuat keputusan akhir.

Sebagai contoh, saya telah membangkitkan basalah lampu jalan yang rosak di sepanjang Jalan Klang – Banting sejak tahun 2018. Maklum balas yang diperolehi saya ialah ianya memerlukan peruntukan khusus daripada Kementerian Kewangan dan bukan Kementerian Kerja Raya.

Saya berbesar hati apabila mantan Menteri Kewangan YB Lim Guan Eng telah meluluskan sejumlah peruntukan sebanyak RM1.63juta untuk menyelenggara lampu-lampu jalan yang rosak sepanjang Jalan Persekutuan ini. Walaupun kelulusan ini merupakan satu stop-gate measure yang hanya membantu mengatasi masalah ini buat sementara waktu, tetapi ianya tetap membantu.

Saya faham kerosakan yang ada pada Jalan Persekutuan ini bukan setakat kerosakan lampu jalan sahaja, malahan bukan sahaja jalan-jalan persekutuan yang perlu diselenggara kerana jalan-jalan negeri juga memerlukan perhatian dan peruntukan yang sama banyak kalau bukan lebih banyak. Adakah Menteri Kewangan sekarang juga akan mencontohi YB Lim Guan Eng untuk memberi lebih peruntukan penyelenggaraan kepada JKR Kuala Langat dan KKR?

Tanggungjawab ini bukan hanya dipikul oleh Kementerian Kerja Raya tetapi Kementerian Kewangan. Kerajaan Perikatan Nasional perlu proaktif, kerana JKR Selangor dan Kuala Langat memerlukan peruntukan untuk menyelenggara jalan-jalan persekutuan dan negeri di seluruh Malaysia, apatah lagi negeri Selangor mempunyai jaringan jalan raya yang terbanyak di Malaysia dan kadar kegunaan dan kerosakan jalan raya antara yang tertinggi di Malaysia.

Lau Weng San





No comments: