Saturday, March 02, 2024

Ahli Dewan Negeri harus pandai urus masa ketika berbahas di Dewan


Saya merujuk kepada keadaan di mana Ahli Dewan Negeri bagi Kawasan Taman Medan Yang Berhormat Afif Bahardin yang enggan duduk berikutan masa persidangan Dewan Negeri Selangor pada 1 Mac 2024 telah tamat pada 6:45 petang.

Dalam situasi tersebut, beliau telah bermula berucap pada pukul 6:42 petang di mana saya telah meminta beliau untuk berhenti pada pukul 6:46 petang supaya Dewan dapat ditangguhkan. Sidang Dewan kemudian ditangguhkan pada sekitar 6:51 petang.

Beliau enggan akur kepada arahan ini kononnya beliau memerlukan masa yang panjang untuk berucap. Beliau dan beberapa Ahli Dewan Negeri parti Perikatan Nasional mengatakan tindakan saya selaku Speaker Dewan Negeri tidak adil.

Ingin diperjelaskan bahawa permintaan beliau tidak dibenarkan atas sebab-sebab berikut:

1. Dewan perlu ditangguhkan pada 6:45 petang kerana pemanjangan masa persidangan pada 1 Mac 2024 adalah melalui usul yang telah diluluskan oleh Dewan pada pukul 5:15 petang hari yang sama.

2. Kebanyakan Ahli Dewan Negeri Perikatan Nasional telah diberi masa selama 10 minit seorang pada 1 Mac 2024 untuk berucap, malahan ramai daripada mereka telah menggunakan masa melebihi 10 minit untuk berucap. Mereka juga diberi masa 15 minit untuk berucap pada 28 dan 29 Februari 2024. Untuk ADN Kerajaan daripada PH dan BN, ada di kalangan mereka telah mengoptimakan masa perbahasan mereka dan mampu menyampaikan ucapan mereka dalam masa yang ditetapkan.

3. Selain itu, Yang Berhormat Ketua Pembangkang telah diberi masa berucap melebihi 110 minit. Sementara itu, pada 29 Februari 2024, Yang Berhormat Afif Bahardin sendiri telah banyak kali berdiri dan mencelah perbahasan ADN Kerajaan dalam banyak perkara yang melibatkan tadbir urus kerajaan negeri. Ini berlaku dengan mengambil masa perbahasan ADN Kerajaan yang sedang berucap pada masa itu.

4. Pada pukul 4 petang, sesudah Yang Berhormat Dr Quah Perng Fei menyudahi ucapannya, Yang Berhormat Afif Bahardin pernah berdiri di atas Peraturan Mesyuarat 15(1) untuk bertanyakan waktu perbahasan. Pada masa itu, saya telah memaklumkan bahawa sama ada tempoh perbahasan akan dilanjutkan akan diputuskan kemudian. Saya pada waktu itu ada bertanyakan beliau sama ada dia hendak membahas. Beliau menjawab saya “Wajib”. Saya kemudian terus men-jemput beliau untuk berucap tetapi beliau serah kepada orang lain. Selepas itu be-liau terus duduk dan pernah meninggalkan Dewan dan hanya berdiri sekitar pukul 6:30 petang minta membahas.

5. Sekiranya Yang Berhormat Afif Bahardin merasakan dirinya mempunyai banyak isu dan perkara yang perlu dibangkitkan, maka seharusnya beliau berdiri pada hari pertama atau kedua untuk berucap dan bukannya membazirkan masa dan menunggu sehingga saat-saat terakhir.

6. Sebagai seorang doktor perubatan yang pernah berkhidmat di hospital awam, sewajarnya beliau faham bagaimana untuk menguruskan masanya. Sebagai seorang wakil rakyat yang pernah memegang jawatan EXCO di Pulau Pinang selama dua penggal antara tahun 2013 hingga 2023 dan sekarang menjadi wakil rakyat di Selangor, seharusnya beliau mempunyai pengalaman bagaimana untuk menguruskan masa perbahasannya. Semua orang mempunyai 24 jam sehari, tiada seorang pun yang berhutang masa dengannya. Sekiranya beliau memerlukan masa tambahan, ianya merupakan masa yang diambil daripada orang lain.

Justeru itu, tuduhan beliau terhadap saya adalah tidak tepat dan tidak berlandaskan fakta sepenuhnya. Saya juga ingin mengingatkan beliau bahawa beliau perlu menjaga imej dan sikap beliau sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor memandangkan pada sidang ini, terdapat satu soalan bertulis beliau tentang KSSB telah ditolak kerana seratus peratus sama dengan soalan daripada Ahli Yang Berhormat Sabak.

Pun begitu, sebelum saya menangguhkan sidang Dewan Negeri Selangor pada 1 Mac 2024, saya telah menggunakan kuasa budi bicara saya untuk membenarkan beliau mengambil bahagian dalam sesi penggulungan EXCO bermula pukul 11:30 pagi pada 4 Mac 2024 dengan mencelah atau bertanyakan soalan tentang perkara-perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli-ahli Dewan Negeri yang lain sepanjang sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor dengan tidak dibangkitkan perkara baru lagi.


Sekian, terima kasih.


YB Lau Weng San

Speaker Dewan Negeri Selangor,

Shah Alam, Selangor.

2 Mac 2024

No comments: