Friday, January 27, 2006

Rakaman kenyataan saya di IPD Petaling Jaya – Menyanggal segala tuduhan liar yang berniat jahat

Saya telah diminta pada 26hb Januari 2006 pukul 12:30 petang di IPD Petaling Jaya untuk merakamkan kenyataan saya dengan ASP Shahrizal Ishak berhubung dengan laporan polis saya yang dibuat di IPD Sentul, Kuala Lumpur pada 25hb Januari 2006 yang menyatakan bahawa laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli Kelab Alumni UMNO Luar Negera yang bernama Abdul Razak bin Mohd Ghazali yang melamparkan tuduhan-tuduhan yang palsu dan silap terhadap Ahli Parlimen Seputeh, YB Teresa Kok.

Berikut adalah sinopsis kenyataan saya:


Soalan pertama saya ialah mengapakah saya kata klip video itu bukan merupakan satu bahan lucah seperti yang dinyatakan dalam laporan polis saya?

Saya mengatakan bahawa video klip itu membayangkan kesengsaraan dan kepahitan seorang tahanan wanita yang dipaksa untuk berbogel membuat ketuk-ketampi di hadapan seorang polis wanita. Perbuatan polis yang tidak perikemanusiaan dan bercanggahan dengan prinsip hak asasi manusia ini telah mengejutkan kerajaan dan masyarakat umum sehingga kerajaan menubuhkan Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat dan mengkaji prosedur semak tubuh PDRM.

Selain itu, saya juga menyatakan bahawa jikalau video klip itu tidak didedahkan, maka ini akan menimbulkan tanda soal daripada orang ramai terhadap kesahihan tuduhan yang dibuat oleh YB Teresa Kok kerana tuduhan-tuduhannya hanya tinggal sebagai tuduhan yang tidak dapat disahkan. Dengan adanya klip video ini, maka Ahli-ahli Parlimen, khususnya Menteri-menteri Kabinet dapat melihat dengan mata mereka sendiri bagaimana seriousnya pencabulan hak asasi yang sedang berleluasa di kalangan pegawai PDRM.

Malahan, saya juga bertambah bahawa sama ada klip video itu bahan lucah atau tidak langsung tidak pernah dimasukkan dalam terma-terma rujukan Suruhanjaya Diraja kerana apa yang melibatkan kepentingan orang ramai dalam isu ini ialah pencabulan hak asasi manusia dengan arahan ketuk-ketampi bogel dan bukannya soal klip video itu bahan lucha atau tidak.

Saya kemudian ditanya mengapakah saya mengatakan tindakan polis yang mengarahkan wanita itu ketuk-ketampi secara berbogel adalah tidak berperi-kemanusiaan dan mencabuli hak asasi manusia.

Saya telah menjawab bahawa ini telah dijawab dalam laporan Suruhanjaya Di-Raja yang diketuai oleh Tun Dzaiddin baru-baru ini. Laporan itu telah menyatakan dalam muka surat 23 bahawa Suruhanjaya Di-Raja mencadangkan supaya tindakan mengarahkan tahanan untuk berketuk-ketampi berbogel harus diperhentikan serta-merta.

Laporan Suruhanjaya Di-Raja juga menyimpulkan bahawa PDRM masih degil untuk berubah dan insensiif terhadap hak asasi dan maruah manusia walaupun Suruhanjaya Di-Raja pertama telah memberi banyak pandangan yang bernas dan konstruktif untuk penambahbaikan jalan kerja PDRM. Suruhanjaya Di-Raja ini juga menggesa kerajaan menubuhan Jawatankuasa Bebas Siasatan Terhadap Salahlaku dan Aduan Polis (IPCMC – Independent Police Complaints and Misconducts Commission).

Kesemua ini telah menunjukkan bahawa PDRM memang mempunyai kelemahan dalam penghormatan terhadap hak asasi manusia. Kita menginginkan satu pasukan polis bertaraf dunia yang disegani dan dihormati.

Seterusnya, saya ditanya mengapakah saya mengatakan tindakan Abdul Razak Mohd Ghazali itu satu penghinaan terhadap YAB Perdana Menteri?

Saya terus ditanya mengapa saya menyatakan tindakan Abdul Razak Mohd Ghazali itu juga satu penghinaan terhadap Suruhanjaya Di-Raja?

Kedua-dua soalan ini ditanya secara berasingan tetapi jawapan saya adalah sama iaitu penubuhan Suruhanjaya Di-Raja yang ditauliahkan oleh DYMM Yang Di-Pertuan Agong adalah untuk mengaji prosidur kerja berkenaan dengan proses semak tubuh dan memberi cadangan-cadangan untuk pembaikannya. Penubuhannya jelas memperlihatkan komitmen kerajaan untuk menangani masalah pencabulan hak asasi yang berlaku di dalam PDRM. Ianya juga menunjukkan betapa seriousnya kerajaan dalam menangani isu ini.

Tindakan Abdul Razak bin Mohd Ghazali yang membuat laporan polis berdasarkan fakta silap telah dipersoalkan oleh saya di mana saya berpendapat laporan polis itu mungkin bertujuan untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap isu pokok yang sedang berlaku ini.

Mengapakah YB Teresa Kok akan dilihat gagal dari segi menjalankan tugasnya sekiranya beliau tidak mendedahkan kelip video berkenaan kepada media dan Ahli Parlimen, termasuk Menteri di kabinet di Bangunan Parlimen?

Parlimen merupakan platform terbaik untuk Ahli-ahli Parlimen menyuarakan pandangan, hasrat, masalah dan kepincangan rakyat yang diwakilinya. Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berparlimen yang mengamalkan doktrin pengasingan kuasa di antara perundangan, kehakiman dan juga eksekutif. Parlimen merupakan institusi perundangan tertinggi di negara kita mengikut Perlembagaan Persekutuan. Di manakah kita boleh memperbahaskan dan membincangkan perkara pokok yang mempunyai hubungan rapat dengan hak asasi 26 juta rakyata Malaysia kalau bukan di Parlimen? Jikalau kita menginginkan satu pasukan polis yang bertaraf dunia dan disegani, saya berpendapat bahawa Parlimen merupakan tempat yang paling sesuai agar semua wakil dapat berkongsi idea bagaimana untuk memajukan prestasi PDRM.

Saya juga menambah bahawa memang Parlimen telah dijadikan tempat hangat perbincangan dan perbahasan Ahli-ahli Parlimen dalam isu ini dimana dalam Perbahasan Bajet 2006 Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Peringkat Dasar dan Peringkat Jawatankuasa, isu prestasi polis ini begitu hangat diperbahaskan. Malahan YB Ketua Pembangkang dan YB Teresa Kok masing-masing telah membawa usul potong gaji RM10.00 terhadap Timbalan Menteri keselamatan Dalam Negeri Dato’ Noh Omar dan Ketua Polis Negara Tan Sri Bakri Omar.

Oleh itu, saya tidak menampak apa-apa sebab mengapa ianya tidak harus dibawa ke Parlimen.

Soalan saya yang terakhir ialah sama ada saya tahu bagaimana YB Teresa Kok mendapat laporan polis Abdul Razak Mohd Ghazali.

Saya menjawab bahawa soalan ini wajar ditujukan kepada YB Teresa Kok dengan mana saya tidak diberitahu bagaimana beliau memperolehi laporan polis itu.

Sessi rakaman kenyataan ini berakhir pada pukul 3:00 petang dan saya diberitahu bahawa laporan polis saya ini akan dihantar ke IPD Sentul untuk siasatan lanjutan supaya Pegawai Penyiasat (Investigating Officer) di sana dapat menjalankan perbandingan keterangan.

No comments: