Tuesday, March 29, 2011

PKNS perlu menerima pakai urus tadbir korporat baik

[Ucapan (5) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Saya difahamkan bahawa salah seorang pegawai kanan dalam PKNS masih merupakan pemilik kepada sebuah syarikat swasta SJ Pest Control Konsortium yang masih berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Saya kurang pasti sama ada kod etika pegawai kanan GLC membenarkan ini atau tidak tetapi ini menimbulkan kesangsian terhadap integriti pegawai berkenaan mengapa beliau masih memegang kepentingan komersial di luar walaupun beliau sudah menjadi pegawai kanan di sesebuah GLC kerajaan negeri. Justeru itu saya meminta kerajaan negeri untuk menyiasat perkara ini

Buat makluman Dewan, saya pernah membangkitkan isu pemberian kontrak kawalan makhluk perosak kepada sebuah syarikat baru yang bernama SJ Konsortium oleh MPSJ pada tahun 2006 di mana syarikat ini telah diberi kontrak monopoli.

Arahan MPSJ pada masa ini menetapkan semua pemilik kedai komersial di bawah MPSJ perlu menjalankan kerja-kerja kawalan mahkluk perosak dengan SJ Pest Control Konsortium secara wajib. Jika tidak lesen perniagaan mereka tidak akan diperbaharui.

Kemampuan syarikat ini yang tidak mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Kawalan Makhluk Perosak Malaysia atau Pest Control Association Malaysia (PCAM) telah menimbulkan bantahan secara besar-besaran daripada para peniaga pada masa itu.

Sehingga sekarang, syarikat berkenaan masih merupakan salah sebuah syarikat yang mendapat kontrak kawalan makhluk perosak daripada MPSJ, walaupun syarikat-syarikat yang lain turut dilantik.

Walaupun ini merupakan cerita lama, tetapi saya hairan kerana mengikut laman web MPSJ, syarikat ini masih diterajui oleh pegawai kanan PKNS berkenaan.

Saya juga ingin menyentuh urus tadbir korporat PKNS sendiri dimana ianya seolah-olah menjadi satu kelaziman untuk Pengurus Besar PKNS untuk menyandang jawatan tinggi dalam anak-anak syarikat PKNS. Cara ini tidak berapa betul kerana ianya kekurangan semak dan imbang (check and balance). Soalannya ialah bagaimana seseorang pegawai kanan dan ibu syarikat menjadi pegawai kanan dalam anak syarikat? Apabila prestasi anak syarikat dipersoalkan, kepada siapa pula anak syarikat perlu melaporkan? Kalau kedua-dua orang ini merupakan orang yang sama, bagaimana pemantauan dilakukan?

Saya juga meminta kerajaan negeri menyiasat satu perkara yang dimaklumkan kepada saya seperti berikut.

Pada 28 Julai 2010, PKNS melalui mesyuarat pengurusan PKNS ke 19 pada tahun ini melantik People Source Sdn Bhd untuk mengurus telemarketing PKNS dengan bayaran sebanyak RM1.3juta bagi tempoh setahun.

Namun dalam mesyuarat sebutharga PKNS pada 17 Ogos 2010, PKNS telah memecah kontrak ini kepada tiga bahagian kecil dan memberi kontrak-kontrak kecil ini kepada tiga buah syarikat yang dikatakan saling berkaitan. Nilai kontrak setiap satu syarikat ini adalah kurang daripada RM500,000 supaya ianya tidak perlu dilaporkan kepada jawatankuasa tender PKNS. Walaupun begitu, untuk memastikan ketiga-tiga syarikat ini mendapat amaun kontrak yang besar, maka tempoh kontrak dilanjutkan daripada setahun ke dua tahun.

Saya meminta kerajaan negeri memeriksa perkara ini dengan teliti dan sama ada tuduhan ini benar atau tidak dan sekiranya benar apakah tindakan susulan daripada kerajaan negeri.

No comments: