Tuesday, March 29, 2011

RM2juta untuk penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah bukti kerpihatinan kerajaan Pakatan Rakyat

[Ucapan (2) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Saya mengalu-alukan keputusan kerajaan Selangor yang akan memperuntukkan RM2 juta untuk membantu membiayai 50% kos penyelenggaraan rumah pangsa di seluruh Selangor. Kos 50% yang selebihnya akan dibiayai oleh penduduk sendiri yakni melalui kutipan kos penyelenggaraan yang dibayar setiap bulan kepada MC atau JMB.

Harga jualan rumah ini perlu diselaras dari semasa ke semasa mengikut peningkatan kualiti. Bagi tujuan penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah, saya mencadangkan supaya satu caj tambahan ditetapkan terhadap pembeli rumah mengikut keluasan unit rumah yang dibeli bagi tujuan penyelenggaraan bangunan. Caj tambahan ini dijadikan sebagai sebahagian daripada harga jualan dan ditetapkan di dalam perjanjian jual beli. Setelah ianya diterima oleh pemaju, wang ini perlu disimpan di dalam sebuah tabung yang akan diuruskan oleh Kerajaan Negeri .

Dengan itu, pembeli rumah tidak perlu menjelaskan caj penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan kerana wang ini telahpun dibayar oleh pembeli rumah semasa pada awal lagi.

Contohnya, kalau seorang pembeli rumah kos rendah perlu membayar lebih kurang RM80 sebulan untuk kos penyelenggaraan dan sinking fund, maka jumlah yang perlu dibayar ialah RM960 setahun. Kalau ianya dibina atas tanah pajakan sementara 99 tahun atau leasehold, maka jumlah yang dibayar dalam masa 99 tahun ini ialah lebih kurang RM95,000. Kiraan ini tidak mengambil kira inflasi.

Memang kiraan terperinci diperlukan untuk menetapkan jumlah caj tambahan yang perlu dibayar kerana amaun ini mestilah berada pada paras yang adil. Walaupun begitu, kerajaan perlu mengambil inisistif untuk cuba menyelesaikan masalah ini.

Masalah sekarang ialah pihak pengurusan secara purata hanya mampu mengutip lebih kurang 20% daripada caj penyelenggaraan dan sinking fund yang sepatutnya mereka dapat dan ini merupakan sebab utama rumah pangsa kos rendah tidak dapat diselenggara dengan baik.

Masalah ini dapat diatasi dengan cara di atas kerana pihak pengurusan tidak akan menghadapi masalah kekurangan dana pada peringkat permulaan. Satu permulaan yang baik diperlukan untuk memastikan masalah kekurangan penyelenggaraan di rumah pangsa kos rendah bertambah serious sehingga ianya tidak dapat ditangani pada akhirnya.

Satu penambahbaikan yang boleh dijalankan terhadap caj tambahan yang akan dikenakan ialah supaya wang ini dikumpulkan dalam satu tabung yang diuruskan oleh kerajaan negeri dan tabung ini akan melantik kontraktor atau syarikat-syarikat pengurusan yang berkemampuan untuk menjalankan tugas-tugas penyelenggaraan di semua rumah pangsa kos rendah ini. Ini diharapkan dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dengan lebih banyak lagi kerana kontraktor akan mempunyai skala ekonomi yang mencukupi.

Dengan ini, kerajaan akan bertanggungjawab untuk menguruskan bangunan-bangunan ini tetapi kerajaan tidak akan menghadapi masalah kekurangan dana kerana wang yang mencukupi telah ada pada peringkat awal, manakala penduduk-penduduk tidak perlu membayar penyelenggaraan dan sinking fund setiap bulan keranan ianya telah dibayar apabila mereka membeli rumah.

Saya berharap kerajaan negeri dapat menggunakan model ini sebagai satu permulaan untuk menjaga kebajikan penduduk-penduduk rumah pangsa kos rendah yang kebanyakannya golongan berpendapatan rendah.

No comments: