Tuesday, March 29, 2011

Kerajaan negeri perlu desak pilihanraya kerajaan tempatan

[Ucapan (3) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Baru-baru ini , Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah memulakan satu inisiatif yang baik dengan membenarkan dengan bersyarat penggunaan kaki lima untuk meletakkan kerusi dan meja untuk restoran pada masa-masa tertentu.

Kaki lima merupakan satu ciri-ciri yang terdapat di negara-negara jajahan British di Asia Tenggara, khususnya di Malaysia dan Singapura. Di Malaysia ianya dimulakan oleh Sir Frank Swettenham semasa menjadi Residen-Jeneral British di Selangor apabila beliau mendapati keadaan rumah kedai yang dibina di Kuala Lumpur pada masa itu berselerak dan kotor sehingga menyebabkan penyakit. Justeru itu, konsep kaki lima telah dimulakan di mana tempat selebar lima kali perlu disediakan semasa membina rumah kedai dan ianya perlu bebas daripada halangan untuk kemudahan pejalan-pejalan kaki. Oleh itu, adalah wajar peraturan lama ini dinilai dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman.

Cadangan ini merupakan satu lagi inisiatif bagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) mampu melakukan dari segi dasar untuk bertukar lebih responsif dan proaktif terhadap keperluan para peniaga kecil dan sederhana.

Kekurangannya ialah kadang-kala dasar-dasar yang baik ini hanya dilaksanakan di beberapa PBT sahaja. Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya dasar-dasar baik setiap satu PBT itu dikongsi dan dilaksanakan di setiap PBT bagi memastikan kebaikan dasar-dasar ini dinikmati oleh seluruh rakyat Selangor.

Contohnya, pelaksanaan e-submission untuk semua pelan dan dokumen kepada Jawatankuasa Pusat Sehenti atau OSC yang dilaksanakan oleh MPSJ pada permulaaannya, pelaksanaan tempat letak kereta berbilang tingkat oleh MBPJ,

Adalah amat jelas bahawa setiap PBT di Selangor mempunyai kelebihan dan ciri-cirinya yang tersendiri. Oleh itu, saya mencadangkan supaya kerajaan dapat mengadakan satu forum PBT yang melibatkan semua aspek PBT supaya mereka dapat bertukar-tukar idea and berfikir “outside the box”. Kerajaan juga boleh menjemput wakil PBT di luar Selangor malahan di luar Malaysia.

Kebaikannya ialah kita boleh menjimatkan wang melawat ke luar negara dan belajar daripada mereka dalam satu forum. Walaupun PBT masih boleh mengadakan lawatan mereka jikalau ianya betul-betul memerlukan dan kewangan PBT mengizinkan, tetapi saya rasa dengan adanya forum ini maka banyak idea dan perkara yang boleh kita melakukan untuk melonjak kedudukan PBT Selangor ke persada dunia.

Saya berasa syukur apabila elaun ahli majlis di Selangor telah diselaras sekali lagi mengikut kawasan kerana ini akan meringankan beban ahli majlis dan mengurangkan kejadian rasuah. Walaupun begitu, pilihanraya ahli majlis tidak boleh dilalaikan sama sekali. Saya sekali lagi menyeru kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk duduk berbincang bagaimana ini dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

Jangan kita biarkan cogan kata “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” sebagai kata-kata kosong sahaja sedangkan hak asasi rakyat untuk memilih ahli majlis di tempat mereka juga dicabul. Kerajaan persekutuan perlu memberitahu rakyat, kalau betul-betul mereka mendahulukan rakyat, adakah mereka bersedia untuk melonggarkan undang-undang yang sedia ada dan membenarkan pilihanraya kerajaan tempatan? Adakah kerajaan persekutuan berhasrat untuk memulihkan Akta Pilihanraya Kerajaan Tempatan 1960? Dimanakah keikhlasan kerajaan persekutuan?

Sudah sampai masanya untuk kita berjuang untuk rakyat dan mendesak kerajaan persekutuan bersetuju untuk mengadakan pilihanraya kerajaan tempatan. Kita tidak boleh duduk diam-diam lagi dalam hal ini sehingga rakyat menganggap kerajaan negeri tidak mengusahakan pemulihan pilihanraya kerajaan tempatan.

No comments: