Tuesday, March 29, 2011

Hasil kerajaan untuk rakyat

[Ucapan (1) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Kerajaan negeri mencapai peningkatan hasil cukai dan urus niaga berkaitan tanah meningkat dari kadar 75% ke 80% daripada keseluruhan hasil negeri. Berita baik ini perlu dikongsi dengan seluruh rakyat Selangor.

Saya menyeru kerajaan untuk menggunakan wang ini sebaik mungkin untuk kepentingan rakyat khusus untuk rakyat di luar bandar, baik kampung tradisi Melayu, kampung baru, kampung bagan atau ladang-ladang di Selangor.

Hakikatnya ialah, infrastruktur dan kemudahan-kemudahan asas di kawasan ini masih ketinggalan dan mereka memerlukan perhatian lebih daripada kerajaan.

Salah satu agenda pembangunan yang perlu dibangunkan di kawasan-kawasan luar bandar ialah akses terhadap internet. Saya menyaran kerajaan Selangor untuk mewujudkan Free WiFi di kawasan luar bandar untuk membantu bukan sahaja industri pelancongan di kawasan ini tetapi membantu meningkatkan taraf kehidupan penduduk-penduduk kampung.

Untuk itu saya meminta kerajaan menjelaskan status terkini pelaksanaan HyWIN yang dilancarkan beberapa tahun yang lalu yang sekarang kelihatan tidak begitu giat untuk memperluaskan ICT di Selangor. Alangkah baiknya kalau HyWIN boleh digunakan untuk membangunkan ICT di kawasan luar bandar.

Untuk itu jugam kerajaan harus mengedarkan DVD percuma kepada penduduk di luar bandar untuk memberitahu program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES). Kerajaan juga harus memberi lebih banyak peruntukan dan perhatian terhadap pembangunan di luar bandar, termasuk peruntukan pendidikan sebanyak RM16juta setahun kepada SJKC, SJKT dan SAR di seluruh Selangor.

Peruntukan sebanyak RM16juta ini harus disemak semula dari setahun ke setahun. Apa salahnya peruntukan di ditambah apabila hasi kerajaan bertambah? Pendapat saya ialah jikalau rakyat tahu bahawa premium dan cukai yang mereka bayar akan digunakan sebaik-baiknya oleh kerajaan, maka mereka akan dengan sukarelanya membayar cukai premium atau cukai mereka tanpa meminta sebarang potongan. Malahan saman pun mereka bayar tanpa potongan.

Ini adalah kerana mereka percaya kepada kerajaan bahawa kerajaan akan belanja secara berhemah. Oleh itu, kerajaan perlu sentiasa berbelanja secara berhemah dan memastikan wang rakyat digunakan sebaik-baiknya.

No comments: