Thursday, November 17, 2011

Cadangan-cadangan untuk menambahbaik pentadbiran institusi Raja Berperlembagaan di Selangor


Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Rang Undang-undang Enakmen Peruntukan DiRaja (Pindaan) 2011 pada 17 November 2011 di DUN Selangor, Shah Alam:

Kampung Tunku ingin mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat dasar Rang Undang-undang Enakmen Peruntukan DiRaja (Pindaan) tahun 2011 ini di mana pindaan akan dilakukan ke atas Kelas III Jadual Pertama di mana pembiayaian perbelanjaan emolument bagi kakitangan istana akan dinaikkan kira-kira RM35,000 ke RM4.49 juta.

Pindaan juga dilakukan terhadap Kelas IV Jadual Pertama di mana perbelanjaan di bawah tuntutan elaun, perjalanan kakitangan pejabat istana, perbelanjaan utiliti, bekalan dan penyelenggaraan istana juga akan ditambah kira-kira RM900,000 ke paras RM11.76 juta.

Sebenarnya, kakitangan yang berkhidmat di bawah institusi raja perlembagaan kerajaan Selangor perlu ditambah untuk memastikan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan pejabat Tuanku dapat menjalankan tugas baginda dengan lebih lancar, cekap dan profesional.

Selaras dengan peredaran masa, peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh institusi raja berperlembagaan semakin bertambah di mana Tuanku memerlukan nasihat dan pandangan profesional yang lebih menyeluruh tentang hal ehwal pentadbiran di Selangor.

Justeru itu, Kampung Tunku menyeru kepada kerajaan Selangor untuk mengambil lebih ramai golongan cendekiawan yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang yang berlainan untuk memberi nasihat kepada Tuanku, khususnya dalam bidang undang-undang, kewangan dan ekonomi dan sebagainya.

Dengan adanya pandangan-pandangan ini, maka pengetahuan Tuanku akan menjadi lebih menyeluruh dan objektif. Dengan ini, kebarangkalian untuk berlaku apa-apa bentuk salah faham akan berkurang.

Selain itu, Kampung Tunku juga mencadangkan kepada kerajaan supaya diadakan satu laman web untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada orang ramai tentang tugas, fungsi, peranan serta tanggungjawab Tuanku sebagai seorang raja berpelembagaan.

Rakyat harus diberi pengetahuan konsep-konsep politik seperti Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Kebebasan Mahkamah, Kebebasan Dewan, Teori Pengasingan Kuasa dan sebagainya.

Misalnya, rakyat perlu faham bahawa kerajaan Raja Berperlembagaan adalah sejenis kerajaan yang ditubuhkan di bawah sistem berperlembagaan yang mengiktiraf Raja sebagai ketua negara. Raja berperlembagaan yang moden biasanya menggunakan konsep politik tiga serangkai.

Ini bermaksud Raja adalah hanya ketua negara yang menurunkan kuasa pemerintahannya kepada tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif yang akan diketuai oleh Perdana Menteri atau Menteri Besar, Perundangan yang diketuai oleh Tuan Speaker di mana anggota perundangan ini dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya dan Kehakiman yang diketuai oleh Ketua Hakim seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan sesebuah negara atau Undang-undang Tubuh Kerajaan sesebuah negeri.

Peranan yang dimainkan oleh ketiga-tiga cabang kerajaan ini seharunya bebas antara satu sama lain malahan saling menyemak antara satu sama lain. Konsep ini berbeza dengan konsep monarki mutlak atau absolute monarchy di mana Raja mempunyai kuasa pemerintahan yang penuh dalam semua hal ehwal pentadbiran kerajaan.

Malangnya, mungkin disebabkan oleh sistem pendidikan yang tidak begitu menekankan pembangunan sahsiah dan kemanusiaan, konsep-konsep kenegaraan yang begitu penting ini semakin dilupa dan dilalaikan oleh semua pihak.

Contohnya, sememangnya Tuanku diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera di Selangor. Walaupun begitu, ramai yang mungkin sudah lupa bahawa Tuanku juga berkuasa untuk menjaga kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain.

Kampung Tunku percaya bahawa kedua-dua peranan ini dapat dijalankan bersama-sama tanpa sebarang percanggahan. Dengan bertambahnya peruntukan ini, Kampung Tunku percaya kakitangan-kakitangan yang berkhidmat dengan Tuanku dapat membantu Tuanku menjalankan tugas ini dengan sepenuhnya tanpa menimbulkan sebarang kekeliruan.

Satu contoh lagi ialah Tuanku merupakan simbol perpaduan dan kemajuan semua rakyat berbilang kaum dan agama di Selangor. Malangnya perkara ini juga sewenang-wenangnya dilupakan oleh golongan yang mengapi-apikan sentimen keagamaan dan perkauman. Oleh itu, Kampung Tunku berpendapat bahawa dengan penambahan peruntukan yang bakal diluluskan Dewan Yang Mulia ini pada hari ini, kesemua aspek-apek penting ini dapat dihayati dan difahami oleh seluruh rakyat Selangor.

Justeru itu, sejajar dengan kemajuan teknologi maklumat, Kampung Tunku juga mencadangkan agar kerajaan mengadakan satu laman web yang komprehensif untuk memperkenalkan sejarah raja berperlembagaan di Selangor dan peranannya dalam sistem kerajaan di Malaysia amnya dan Selangor khasnya. Apa yang ada sekarang ialah laman web rasmi Darjah Kebesaran Negeri Selangor. Pada pendapat Kampung Tunku, ianya adalah tidak mencukupi dan ianya perlu dipertingkatkan ke satu laman web penuh.

Selain itu, kerajaan boleh mempertimbangkan cadangan untuk mengadakan akaun Facebook dan Twitter untuk tujuan yang sama. Apa yang berlaku sekarang ialah memang ada akaun Facebook dan Twitter yang berkaitan dengan Tuanku Sultan Selangor.

Walaupun begitu, rakyat tidak pasti sama ada ini akaun Facebook dan Twitter ini benar atau palsu kerana tiada satu laman web rasmi yang mewarwarkan kedua-dua akaun media sosial ini. Rakyat Selangor khuatir terdapat golongan yang tidak bertanggungjawab dan mempunyai agenda politik tertentu, cuba menyamar dirinya sebagai Sultan Selangor dan menggunakan media-media sosial ini untuk menyebar maklumat-maklumat yang tidak benar.

Kerajaan juga boleh mencontohi apa yang berlaku di United Kingdom di mana Istana Buckingham menjana pendapatan untuk membiayai sebahagian perbelanjaan istana dengan menjadikan istana-istana yang bersejarah sebagai destinasi pelancongan. Kampung Tunku difahamkan Istana Negara juga merupakan satu destinasi pelancongan. Oleh itu sekiranya boleh, istana-istana yang terdapat di Selangor ini juga boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan dan menjana pendapatan untuk menampung sebahagian perbelanjaan istana.

Itulah sedikit sebanyak cadangan-cadangan yang Kampung Tunku ingin ketengahkan di sini dan Kampung Tunku amat berharap ianya dapat diteliti dan dilaksana secepat mungkin.

Sekian, terima kasih.

No comments: