Monday, November 14, 2011

Ucapan Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan 2012

Below is the speech I delivered in the Selangor State Legislative Assembly when I debated on the 2012 Selangor State Government Budget.

Terimaan daripada agensi-agensi lain kerajaan persekutuan

Pemberian mengikut bilangan penduduk telah berkurangan daripada RM75 juta ke RM63 juta sahaja. Apabila jumlah penduduk di negeri Selangor semakin bertambah, mengapakah terimaan daripada kerajaan persekutuan ini merosot? Adakah ini disebabkan oleh unsur-unsur politik?

Sementara itu, pemberian jalan raya dan lorong juga menyusut daripada anggaran RM250 juta ke RM180 juta dan ianya kekal pada tahap RM180 juta sahaja pada tahun 2012. Dalam waktu di mana kepanjangan jalan raya di Selangor semakin bertambah dengan pembangunan aktiviti pembinaan, industri dan komersial yang semakin bertambah, adalah mustahil untuk anggaran pemberian jalan raya dan lorong kekal pada tahap RM180 juta sahaja.

Selain itu, kehilangan hasil Wilayah Persekutuan dan Putrajaya ialah RM18.3 juta dan RM7.5 juta setiap tahun. Jumlah ini seharusnya semakin bertambah mengikut peredaran masa. Mengapakah kerajaan Selangor hanya mendapat terimaan setakat RM25 juta setahun sahaja? Saya memohon penjelasan daripada kerajaan Selangor. Saya juga ingin memberi amaran kepada kerajaan Selangor yang akan datang agar tidak melakukan kesilapan yang sama sehingga menggadai tanah Selangor kepada kerajaan persekutuan dengan terimaan yang langsung tidak berbaloi.

Penternakan Babi Moden

Kerajaan Selangor Pakatan Rakyat (PR) pada permulaan pemerintahan telah bercadang untuk melaksanakan program penternakan moden babi untuk mengatasi masalah pencemaran yang selalu dihadapi oleh penduduk-penduduk kampung di sekitar kawasan Tumbuk, Sepang.

Sememangnya penternakan babi moden ini juga penting untuk menghasilkan daging babi yang berkualiti tinggi untuk dijualkan di pasaran pada harga yang lebih lumayan, sekaligus menguntungkan semua pihak, khususnya para penternak dan penduduk-penduduk di persekitaran yang tidak akan menghadapi masalah pencemaran alam sekitar.

Walaupun begitu, pembangkang yang tidak bertanggungjawab di bawah UMNO telah menjadikan isu ini sebagai isu politik padahalnya program penternakan moden babi ini disokong oleh semua pihak termasuk pihak akademik kerana ianya hanya akan membawa seribu satu kebaikan.

Kecelaruan UMNO ini jelas kelihatan apabila rakan komponen Barisan Nasional yang satu lagi, iaitu MCA, menyokong program ini. Lebih-lebih lagi, dasar untuk mengadakan program penternakan moden babi ini sebenarnya dimula oleh kerajaan Barisan Nasional, bukannya Pakatan Rakyat. Walaupun dasar ini dasar BN, tetapi PR tidak main politik kerana PR percaya jikalau sesuatu dasar itu bagus, maka ianya perlu diteruskan oleh PR.

Setelah lebih tiga tahun program ini tergendala kerana mainan politik UMNO, saya meminta kerajaan negeri Selangor untuk mempercepatkan program ini kerana cara penternakan babi tradisional yang masih dijalankan sekarang di Tumbuk, Sepang adalah tidak mampan.

Kerajaan negeri harus menetapkan satu jadual masa dan menetapkan semua milestone yang penting untuk dicapai. Mesyuarat perlu diadakan dengan lebih kerap supaya semua masalah berbangkit dapat diselesaikan dalam masa yang paling singkat dan tidak dilengah-lengahkan.

Sehingga sekarang, kerajaan negeri seolah-olah masih belum menunjukkan apa-apa kemajuan dalam melaksanakan program ini dan saya khuatir ini akan menjejaskan kredibiliti kerajaan Selangor.

Saya meminta kerajaan untuk menjelaskan di Dewan Yang Mulia ini dengan terperinci perkembangan terbaru program ini dan apakah masalah yang sedang dihadapi oleh kerajaan untuk menjalankan program ini. Saya juga meminta kerajaan untuk memberitahu Dewan ini apakah cara-cara penyelesaian yang ada untuk mengatasi masalah-masalah ini.

Saya juga menyeru kerajaan untuk membuat hebahan dari semasa ke semasa untuk memaklumkan rakyat tentang perkembangan program ini.

Apa yang penting ialah, program ini ialah salah satu program yang pernah dijanjikan oleh kerajaan dahulu. Jikalau ianya ada kebaikannya, maka kerajaan Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjwab penuh untuk melaksanakan program ini. Jangan pula kerajaan Pakatan Rakyat tunduk kepada permainan politik dan rasis UMNO dalam hal ini.

Menyediakan biasiswa kepada anak-anak Selangor dan bukan pinjaman

Kerajaan Selangor menyediakan pinjaman pelajaran kepada anak-anak Selangor tanpa mengira kaum dan agama sejak tahun 1988 supaya mereka dapat menyambungkan pengajian ke IPTA/IPTS - (IPTS yang diiktiraf) pada peringkat ijazah dan diploma.

Pinjaman ini dikendalikan oleh Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor (LTKWBNS) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Selangor dan berlainan dengan pinjaman di bawah Yayasan Selangor. Pinjaman yang diberi oleh LTKWBNS tanpa faedah dan boleh ditukar kepada biasiswa jika pelajar mencapai kelulusan cemerlang.

Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM82 juta untuk program ini. Sejak skim ini dilancarakan mulai 1988 seramai 12,000 pelajar telah berjaya menerimanya.

Setakat ini setiap tahun kerajaan memberi pinjaman/Biasiswa sejumlah RM5.5 juta kepada sejumlah satu ribu orang setahun dan dijangka jumlah pemohon dan kelulusan akan bertambah dengan setiap pelajar mendapat lebih kurang RM6,500 setahun bergantung kepada kursus pengajian yang dipilih. Kursus yang lebih mahal contohnya perubatan jumlahnya adalah lebih tinggi.

Setakat ini pinjaman boleh ubah kepada biasiswa ini telah dinikmati oleh graduan-graduan cemerlang (tak perlu bayar balik) seramai 94 orang yang melibatkan pelupusan pinjaman sejumlah RM619,699.00. Kelayakan yang membolehkan graduan menerima pelupusan atau potongan adalah sebagaimana berikut:

1. Antara 3.75 - 4 CGPA = 100% potongan
2. Antara 3.5 - 3.74 CPGA = 50% potongan
3. Antara 3.0 - 3.49 CGPA = 25% potongan

Tindakan murni kerajaan Selangor memberi pinjaman pelajaran berbentuk boleh ubah perlu diteruskan, malahan dipertingkatkan amaunnya kepada pelajar supaya ianya menjadi sesuatu yang lebih menarik dan berjaya berbanding dengan pinjaman pelajaran yang ditawarkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada masa sekarang, PTPTN menawarkan pinjaman pelajaran secara purata RM7500 kepada pelajar yang mengikut kursus sains penuh masa di IPTA dan amaun ini lebih tinggi dan menarik daripada pinjaman pelajaran Selangor. Lebih-lebih lagi, amaun ini akan menjadi lebih tinggi bagi mereka yang mengikuti kursus-kursus sepenuh masa di IPTS.

Berikutan dengan peningkatan hasil kerajaan negeri, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri untuk menambahkan peruntukan kepada Lembaga Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor agar pinjaman pelajaran dalam amaun yang lebih tinggi boleh ditawarkan kepada anak-anak Selangor.

Selain itu, kita boleh menggunakan cara ini untuk mengikat pelajar-pelajar cemerlang supaya berkhidmat dengan kerajaan negeri dan PBT di Selangor selepas tamat pengajian. Ini disebabkan kerajaan memerlukan mereka yang cerdik pandai untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam di negeri untuk mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan awam di Selangor.

Rombakan terhadap sistem perolehan kerajaan negeri untuk mengurangkan kos pentadbiran rentier class

Kerajaan telah mengatakan bahawa margin keuntungan kontraktor perlu diturunkan daripada 30% ke sekitar 7% untuk mengurangkan kos pentadbiran kerajaan negeri.

Baru-baru ini, laporan Ketua Audit Negara membongkarkan beberapa perolehan yang dilakukan oleh jabatan-jabatan dan agensi kerajaan persekutuan yang telah dijalankan pada harga yang jauh lebih tinggi daripada harga pasaran.

Kerajaan negeri perlu mengambil ikhtibar daripada kejadian ini dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan perkara yang sama tidak berlaku di kerajaan negeri dan PBT-PBT di Selangor.

Justeru itu, saya mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menetapkan satu senarai jurang harga untuk projek-projek infrastuktur dan perolehan supaya tidak membayar harga yang terlampau tinggi kepada pembekal atau kontraktor dalam pemberian mana-mana prolehan, projek, tender atau kerja-kerja inden.

Ini boleh dilakukan dengan mengadakan perbincangan dengan wakil kontraktor, wakil daripada Jabatan Kerja Raya dan jabatan-jabatan berkenaan supaya satu jurang harga yang boleh diterima dapat ditetapkan. Ini adalah kerana kita perlu mengambil kira harga pasaran sesuatu barang memang ada turun-naiknya.

Taburan normal dengan melakukan sistem “cut-off”. Sistem ini mula digunakan oleh jabatan-jabatan kerajaan bermula tahun 2004 bagi menggantikan cara lama, iaitu dengan menggunakan Anggaran Jabatan sebagai kaedah bagi menentukan kemunasabahan sesuatu harga tender.

Anggaran Jabatan selalunya dikatakan tidak tepat disebabkan kesilapan pengiraan atau kekurangan maklumat mengenai harga pasaran semasa.

Sistem “cut-off” selalu dikaitkan dengan tanggapan bahawa kontraktor yang menawarkan harga yang paling rendah tidak semestinya mendapat tender atau sebut harga berkenaan. Ini adalah kerana mengikut sistem ini, harga “cut-off” akan dikira berdasarkan pengiraan nilai-nilai seperti min, standard deviation dan Coefficient of Variation (CV) mengikut formula matematik yang telah ditetapkan.

NIlai-nilai ini dikira berdasarkan nilai-nilai yang dicadangkan oleh kontraktor-kontraktor. Walaupun dari segi teori, bilangan harga tender diterima yang lebih tinggi akan menghasilkan harga “cut-off” yang lebih realisitik, tetapi ianya masih juga boleh dimanipulasi.

Contohnya ialah seseorang kontraktor yang mempunyai banyak syarikat yang didaftarkan atas nama-nama yang berbeza akan menawarkan harga-harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran (harga munasabah). Kesemua harga tender ini walaupun berbeza tetapi amat dekat antara satu sama lain. Semakin banyak harga tender yang diserahkan oleh kontraktor melalui syarikat-syarikat kroni yang berbeza-beza, semakin dekat harga “cut-off” dengan harga yang yang ditawarkan oleh kontraktor ini.

Oleh itu, kerajaan perlu menetapkan satu jurang harga yang munasabah bagi mana-mana tender, projek dan sebut harga untuk mengelakkan kerajaan daripada membayar wang yang terlampau tinggi untuk sesuatu projek tertentu.

Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah, penggunaan sistem “cut-off” ini memang ada pengecualiannya, iaitu apabila bilangan tender yang diterima dan boleh dikira setelah harga “freak” dikeluarkan kurang daripada sepuluh.

Selain itu, pentender-pentender yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada harga “cut-off” juga boleh dipertimbangkan jikalau pentender itu mempunyai rekod prestasi yang cemerlang iaitu mempunyai pengalaman untuk melaksanakan kerja yang sama lebih awal daripada jadual yang telah ditetapkan, mempunyai faktor-faktor tertentu yang boleh menjamin pentender melakukan kerja dengan harga yang lebih rendah dan kualiti kerja terdahulu dan semasa sentiasa pada tahap yang memuaskan.

Saya berharap ini akan menjadi satu peringatan kepada semua bahawa penggunaan sistem cut-off ada kelemahannya dan adalah tidak tepat apabila sesuatu perolehan itu mesti dijalankan melalui sistem cut-off.

Perumahan untuk semua

Saya tertarik dengan usaha kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk menampung keperluan rakyat terhadap perumahan, baik kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri Selangor.

Untuk memastikan usaha murni ini dapat berjalan dengan lancar dan berjaya, kerajaan negeri khususnya perlu ada satu dasar perumahan mampu milik yang dirancang secara holistik. Biarpun begitu, dasar ini perlu memperlihatkan impaknya dalam jangka masa yang terdekat agar golongan pertengahan-bawah dalam menikmati kebaikan dasar kerajaan negeri ini.

Dalam aspek ini, kerajaan negeri bergantung kepada kecekapan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk membina rumah-rumah mampu milik di seluruh Selangor. Sejak Mac 2008, sebanyak 12,009 unit rumah mampu milik sedang dalam pembinaan dan 9,456 unit lagi telah mendapat kebenaran untuk dibina dan mesti dibina dalam masa dua tahun.

Saya juga mengucapkan tahniah kepada kerajaan Selangor kerana mempelopori konsep rumah mampu milik berharga antara RM100,000 hingga RM150,000 kepada rakyat Selangor. Apapun sekali, lokasi rumah-rumah kos rendah dan mampu milik ini merupakan satu kriteria yang sangat penting untuk menjayakan dasar murni kerajaan Selangor ini.

Tiada orang, khususnya mereka yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, ingin membeli rumah di tempat-tempat yang terlalu jauh daripada tempat mereka mencari nafkah hidup. Contohnya, pekerja-pekerja kilang di Sungai Way memang tidak ingin berpindah ke Bangi atau Kajang semata-mata untuk menduduki rumah mampu milik PKNS di sana.

Permintaan terhadap rumah mampu milik adalah sangat tinggi di bandaraya Petaling Jaya. Saya sedia maklum bahawa kabanyakan tanah di bandaraya Petaling Jaya ini telah dibangunkan dan tiada banyak tanah yang masih ketinggalan untuk pembangunan rumah mampu milik. Namun begitu, saya menggesa kerajaan dan PBT untuk memainkan peranan yang aktif dalam menentukan arah pembangunan tapak Lembaga Penyelidikan Getah Malaysia (RRIM) di Sungai Buluh walaupun projek dan tanah ini milik kerajaan persekutuan. Kerajaan Selangor dan MBPJ seboleh-bolehnya memastikan tempat ini akan membina rumah mampu milik yang mencukupi.

Kerajaan Selangor dan PBT juga perlu memastikan segala pembangunan infrastruktur di bawahnya dibangunkan dengan cepat untuk menampung, menyokong dan mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik di Sungai Buluh ini.

Selain itu, untuk mengatasi permintaan perumahan yang semakin tinggi, saya menggesa kerajaan untuk mempercepatkan proses pembangunan semula bandar di bandaraya Petaling Jaya. Saya sedia maklum bahawa terdapat pandangan-pandangan yang berbeza, malahan bantahan terhadap pembaharuan bandar.

Masalah ini disebabkan rakyat kurang yakin dengan dasar dan janji kerajaan akibat kepincangan demi kepincangan yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Bagi mereka, fakta dan janji hitam putih sahaja merupakan satu-satunya pegangan janji yang boleh diterima.

Oleh itu, kerajaan Selangor perlu ikhlas dengan rakyat dengan memberi penjelasan yang sepenuhnya dengan segala maklumat penting tentang pembaharuan bandar. Malahan kerajaan negeri juga harus memberi pampasan yang mencukupi kepada penduduk-penduduk setempat. Kerajaan negeri dan PBT juga perlu cepat dan tangkas dalam menangani sebarang laporan media yang mungkin tidak membawa fakta yang sepenuhnya.

Contohnya, pembangunan semula Rumah Pangsa PKNS di Seksyen 17 dan Rumah Pangsa Kos Rendah Impian Baiduri di Seksyen 51A, bandaraya Petaling Jaya contohnya telah menimbulkan banyak salah faham yang tidak diperlukan sehingga terdapat penduduk yang terpengaruh dengan propaganda pembangkang bahawa kerajaan akan merampas dan meroboh rumah penduduk atas nama pembangunan.

Telah dimaklumkan bahawa PKNS diberi tanggungjawab berat untuk menjayakan dasar rumah mampu milik kerajaan Selangor, maka PKNS perlu bersosialis dengan rakyat dan berkapitalis dengan syarikat-syarikat yang lain. Ini bermaksud, PKNS harus memastikan bahawa stiap urusniaganya dengan syarikat-syarikat swasta sentiasa mematuhi urus tadbir baik korporat sementara membantu rakyat berpendapatan sederhana rendah untuk memiliki rumah pertama mereka.

Justeru itu, segala potongan harga untuk hartanah-hartanah berharga RM500,000 kepada mana-mana golongan ke atas perlu dimansuhkan. ini adalah kerana hartanah ini memang khusus untuk mereka yang mempunyai pendapatan tinggi dan mereka mempunyai kemampuan untuk membeli tanpa sebarang potongan harga.

Tiada gunanya untuk PKNS memberi potongan harga kepada orang kaya untuk membeli rumah mewah sedangkan potongan-potongan harga ini boleh digunakan untuk merendahkan harga rumah mampu milik untuk golongan miskin. Pendekatan sosialis inilah yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

Selain daripada itu, kerajaan juga harus melihat beberapa sekatan yang dikenakan terhadap pemilik-pemilik rumah Bumiputera yang ingin melepaskan hartanah mereka, sama ada kepada Bumiputera atau bukan Bumiputera. Saya sempat bertemu bual dengan seorang pesara kerajaan yang menduduk di Kampung Tunku semasa saya melawat ke Madrasah Manarul Islam, Kampung Tunku, yang mengadu kepada saya bahawa beliau dihalang daripada menjual satu unit rumah kondominiumnya di Kelana Puteri kepada seorang kawan baik dari kampung halamannya, yang kebetulannya seorang bukan Bumiputera. Saya difahamkan bahawa projek ini diusahakan secara JV antara PKNS dengan pemaju swasta dan sekatan telah dikenakan terhadap pembeli-pembeli Bumiputera yang ingin melepaskan rumah mereka kepada bukan Bumiputera.

Walaupun kerajaan Selangor ingin memastikan kaum Bumiputera memiliki peratusan rumah yang ditetapkan dalam projek-projek perumahan PKNS, tetapi saya berpendapat adalah wajar supaya kerajaan negeri memberi kelonggaran seperti dalam kes ini tetapi disyaratkan bahawa pemilik asal rumah itu, yang merupakan seorang Bumiputera, perlu membayar balik perbezaaan antara harga Bumiputera dengan harga jualan yang sepatutnya semasa beliau membeli rumah itu.

Dengan ini, PKNS akan dapat menggunakan wang ini untuk membantu kaum Bumiputera, malahan kaum bukan Bumiputera yang miskin, dengan membina lebih banyak rumah mampu milik. Sementara itu, kerajaan negeri juga boleh mengenakan cukai-cukai tertentu yang akan dikenakan ke atas mana-mana pemilik rumah Bumiputera yang ingin melepaskan hartanah mereka kepada bukan Bumiputera.

Dengan ini, PKNS dan pemaju-pemaju hartanah yang lain tidak perlu menanggung beban yang terlalu tinggi untuk membekalkan potongan harga bagi rumah-rumah mahal kepada golongan Bumiputera. Pada masa yang sama, penjimatan ini boleh digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan. Pemilik-pemilik rumah Bumiputera pula perlu memikir semasak-masaknya sebelum mereka melepaskan rumah mereka untuk mengaut keuntungan cepat kerana mereka perlu membayar balik kepada kerajaan.

Kerajaan pusat tidak ikhlas dalam menyelesaikan kemelut penstrukturan semula industri air di Selangor

Baru-baru ini, pelbagai pihak telah melakukan spekulasi bahawa Selangor bakal menghadapi krisis air pada tahun 2014. Kenyataan ini sebenarnya telah dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga, Air dan Teknologi Hijau sejak setahun yang lalu. Namun begitu, kenyataan ini baru-baru ini telah digempar-gempuhkan dengan hujah sokongan bahawa semua loji rawatan air di Selangor telah beroperasi pada tahap maksimum untuk menghasilkan 4,326 juta liter air sehari untuk menampung keperluan sebanyak 4,197 juta liter air sehari, iaitu margin simpanan air sebanyak 129 juta liter air sehari ataupun kira-kira tiga peratus daripada keperluan air sehari sahaja.

Justeru itu, mereka yang menyokong hujah ini telah mendesak Selangor untuk segera bersetuju untuk memberi Kebenaran Merancang bagi meluluskan pembinaan loji rawatan air di Hulu Langat atau Langat 2 bagi melengkapkan Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) yang berharga RM8 bilion.

Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) juga menyalahkan kerajaan Selangor kerana sengaja melengahkan pelaksanaan PPAMPS dan memberi amaran bahawa Selangor akan dipersalahkan jika berlaku krisis bekalan air pada masa akan datang.

Itulah udang di sebalik batu - Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor.

Saya hairan apakah yang penting sangat dengan projek ini? Saya memetik kenyataan akhbar Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertarikh 22 September 2011 seperti di bawah:

“Pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di tujuh empangan dan sungai-sungai utama di Selangor mendapati kedudukan paras air di semua muka sauk bagi keperluan loji pembersihan air adalah baik dan tidak membimbangkan.

Sumber air di Selangor masih dalam keadaan yang mencukupi dengan taburan hujan yang tinggi dicatatkan di banyak kawasan terutamanya kawasan tadahan air. Secara purata, paras air di empangan pada tahun ini adalah meningkat berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Dakwaan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) bahawa rizab air yang didakwa semakin menyusut adalah satu kenyataan yang tidak profesional kerana ianya telah memberi gambaran yang salah tentang kebolehdapatan sumber air di negeri Selangor.

Secara terperinci, kedudukan tahap simpanan air empangan pada 20 September 2011 adalah seperti yang berikut :

1. Empangan Sungai Selangor pada tahap 78.34%
2. Empangan Sungai Tinggi pada tahap 85.78%
3. Empangan Batu pada tahap 100% (melimpah)
4. Empangan Klang Gate pada tahap 100%
5. Empangan Tasik Subang pada tahap 95.64%
6. Empangan Sungai Langat pada tahap 100% (melimpah)
7. Empangan Sungai Semenyih pada tahap 100% (melimpah)

Berdasarkan pemantauan itu dapat di buat kesimpulan seperti yang berikut:-
i) Purata paras air empangan pada tahun 2011 adalah meningkat berbanding tahun sebelumnya;
ii) Taburan hujan yang turun di kawasan tadahan air empangan adalah tinggi;
iii) Taburan hujan yang rendah bagi Empangan Sungai Selangor pada bulan Jun dan Julai adalah 48.11mm dan 49.26mm. Manakala taburan hujan yang rendah bagi Empangan Sungai Tinggi pada bulan Jun dan Julai adalah 182mm dan 110mm. Bagaimanapun pada bulan Ogos dan September taburan hujan kembali kepada keadaan purata iaitu 200mm;

Semenjak 2011, semua empangan dalam keadaan yang baik dan cukup untuk membekalkan sumber air kepada semua loji-loji pembersihan air di Selangor yang dikendalikan oleh syarikat konsesi air dan diagihkan oleh SYABAS.

Apa yang perlu ditegaskan disini, bahawa SYABAS adalah pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan rizab air bersih dalam tahap 10%. Namun apa yang pasti adalah rizab air bersih berada pada tahap 3% hingga 5% kerana loji tidak berupaya menambah pengeluaran.

Sebagai syarikat konsesi yang bertanggungjawab untuk membekalkan air bersih kepada rakyat, SYABAS sepatutnya mengambil usaha untuk mengatasi masalah ketidakupayaannya dalam memastikan rizab air bersih berada dalam tahap yang baik.

SYABAS perlu melihat teknologi terkini untuk merawat sumber air dan menaiktaraf loji-loji sediada bagi menambah kapasiti loji pembersihan air tersebut. Jika ada pun krisis air, ianya disebabkan oleh kegagalan loji pembersihan air untuk sentiasa memastikan bekalan air bersih mencukupi.

Secara keseluruhannya, Negeri Selangor mempunyai sumber air yang mencukupi untuk memenuhi permintaan. Langkah yang sewajarnya perlu diambil bagi meningkatkan keupayaan loji pembersihan air untuk memenuhi unjuran permintaan dan rizab air bersih.”

Kenyataan LUAS ini memang ada kebenarannya.

Jikalau Selangor bakal menghadapi krisis air, mengapakah SYABAS sebagai pemegang konsesi pembekalan air di Selangor tidak mengambil langkah proaktif untuk menurunkan kadar Air Tidak Berhasil atau Non Revenue Water (NRW) yang berada pada tahap 32% pada masa sekarang?

Mengikut laporan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), SYABAS masih gagal mengurangkan kadar NRW kurang dari 30 peratus. Walaupun kadar NRW menurun pada kadar 32.38 % pada 2009 berbanding 38.43 % pada 2005, tetapi meningkat semula pada tahun lalu dan tahun ini malah SPAN meramalkan NRW terus meningkat melebihi 40 peratus sehingga 2020.

Tanpa bekalan air bersih yang mencukupi, tidak mustahil krisis bekalan air bersih di Lembah Klang tidak akan berlaku walaupun tujuh empangan di Selangor mempunyai kapasiti air mentah yang mencukupi dan adakalanya berlaku limpahan.

Laporan Pengkajian Penilaian Aset Air Negeri Selangor oleh Ranhill mendapati, dua loji rawatan air iaitu Kalumpang dan Sg Sireh memerlukan penambahbaikan yang besar manakala 18 lagi loji memerlukan penambahbaikan.

Ini menunjukkan bahawa pengendali loji-loji berkenaan, Puncak Niaga telah gagal melakukan usaha untuk menambahbaik loji-loji rawatan air ini bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi untuk keperluan pengguna.

Tambahan lagi, SYABAS juga telah membekukan semua projek penggantian paip air baru di Selangor berikutan keputusan kerajaan Selangor untuk menaikkan tarif air. Ini berlaku di kawasan saya di mana SYABAS telah berjanji untuk menukarganti paip air di Kampung Baru Sungai Way pada tahun 2011 ini berikutan beberapa insiden paip pecah pada tahun 2009. Walaupun begitu, sampai hari ini SYABAS belum menjalankan apa-apa tindakan untuk menukarganti paip baru di Kampung Baru Sungai Way. Tindakan SYABAS yang mementingkan kepentingan diri sendiri ini telah memeritkan kadar NRW di Selangor.

Mengapakah SYABAS tidak berusaha untuk mengurangkan kadar NRW ini dan sekaligus mengurangkan keperluan air sebanyak 4,197 juta liter sehari?

Selain itu, tahun jangkaan bahawa Selangor akan menghadapi krisis air juga berbeza-beza. Pada tahun lalu, telah dikatakan bahawa Selangor akan menghadapi krisis air pada tahun 2012. Tidak lama yang lalu, Selangor dikatakan akan menghadapi krisis air pada tahun 2014. Jadi soalannya ialah bilakah tahun yang benar bahawa Selangor akan menghadapi krisis air? Tahun 2012 atau 2014?

Apa yang jelas, tuduhan bahawa Selangor akan menghadapi krisis air sama ada pada tahun 2012 atau 2014 merupakan rekaan semata-mata. Jika pun ianya akan berlaku, ianya boleh dielak dengan mengurangkan NRW tetapi ini tidak dilakukan oleh SYABAS. Tuduhan krisis air terhadap Selangor mempunyai motif politik kerana Langat 2, sebagai satu projek “cash cow” BN, akan dibina oleh syarikat-syarikat kroni. Sebarang kelewatan sudah pasti akan menjejaskan kedudukan kewangan mereka yang berkepentingan.

Pembekalan pasir halus

Saya ingin menarik perhatian Dewan Yang Mulia ini kepada isu pembekalan pasir halus di Selangor.

Mengikut laman web Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB), KSSB tidak membekalkan pasir halus, pasir kasar dan pasir kotor (dumping sand) dan ini merupakan satu masalah yang perlu ditangani oleh kerajaan amnya dan KSSB khasnya.

Walaupun pendapatan dan hasil yang dijana daripada industri pasir ini semakin menguntungkan kerajaan Selangor, terdapat beberapa kategori pasir yang difahamkan amat bernilai tetapi tidak dibekalkan KSSB.

Contohnya ialah pasir halus yang mempunyai keperluan pasaran yang sangat tinggi di industri pembinaan. Saya difahamkan bahawa terdapat pasir-pasir yang diangkut dari negeri-negeri jiran seperti negeri Perak dan kebanyakkan pasir-pasir ini adalah pasir halus.

Pasir-pasir yang dibawa masuk ke negeri Selangor ini sebenarnya adalah salah di sisi undang-undang. Walaupun begitu, pengusaha-pengusaha lori dan industri pembinaan terpaksa menanggung risiko untuk “mengimport” pasir-pasir halus dari negeri-negeri lain untuk menampung keperluan di Selangor.

Daripada kita terus kehilangan hasil kerana kemasukan pasir halus daripada negeri-negeri lain, mengapakah kerajaan Selangor dan KSSB mendapat undang daripada penjualan pasir halus ini? Adakah ini disebabkan KSSB tidak berupaya untuk menghasilkan pasir halus? Jika tidak, mengapakah KSSB tidak meghasilkan pasir halus? Adakah ini menyebabkan wujudnya jurang antara hasil pasir kerajaan dengan keperluan pasir di Selangor.

Jika KSSB memang tidak berupaya untuk menghasilkan pasir halus, dan industri pembinaan di Selangor memang memerlukan pasir halus ini, maka adalah tidak adil untuk kita menghukum pengusaha-pengusaha lori dan pembeli-pembeli pasir halus ini kerana mereka hanya ingin membeli sesuatu yang tidak dapat dibekalkan di negeri Selangor. Apapun sekali, saya berharap kerajaan negeri boleh memberi jawapan yang jelas di Dewan Yang Mulia ini.

Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Bangunan Kediaman Persendirian dengan premium RM1000

Kerajaan Selangor mencatat sejarah di Malaysia dengan menawarkan Skim Pemilikan Tanah Kerajaan Untuk Bangunan Kediaman Persendirian kepada rakyat hanya dengan premium RM1000. Ini merupakan salah satu pembaharuan pentadbiran tanah yang boleh dibangga-banggakan oleh seluruh rakyat.

Barisan Nasional khususnya MCA cuba mengelirukan rakyat bahawa skim ini sedikitpun tidak menguntungkan rakyat. Alasan yang diberi ialah rakyat tidak memiliki tanah kerana premium masih tidak dibayar sepenuhnya menurut Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara. Alasan yang kedua ialah rakyat perlu membayar premium yang tinggi apabila tanah ini dijual kepada orang lain kelak. Alasan yang ketiga ialah skim ini akan menyebabkan tanah berkenaan tanah tidak boleh “re-finance” kerana tanah ini dikatakan masih belum dimiliki sepenuhnya oleh pembayar premium.

Saya mendapati dua alasan pertama di atas adalah tidak benar. Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara langsung tidak menyentuh pembayar premium tidak akan diberi hakmilik penuh tanah berkenaan. Sebenarnya, seksyen 76(c) berbunyi “Pemberimilikan tanah Kerajaan di bawah Akta ini hendaklah terdiri daripada pelupusannya oleh Pihak Berkuasa Negeri - (c) sebagai balasan pembayaran premium, melainkan Pihak Berkuasa Negeri fikirkan sesuai untuk melepaskan daripadanya dalam mana-mana kes tertentu;”

Oleh itu, adalah jelas bahawa Kanun Tanaha Negara langsung tidak menyekat dasar kerajaan ini. Malahan Seksyen 76(c) Kanun Tanah Negara menyatakan bahawa kerajaan berhak untuk melepaskan daripadanya bayaran premium ini dalam kes-kes tertentu. Jelas MCA cuba memutarpelitkan fakta bagi tujuan politik.

Sementara itu, adalah adil untuk pemilik tanah membayar premium yang sepatutnya apabila beliau menjual tanahnya kepada pihak ketiga dan mengaut keuntungan. Jadi sebelum seseorang pemilik tanah menjual tanahnya, beliau sudah tentu akan memastikan beliau akan mendapat keuntungan yang sewajarnya mengikut harga pasaran dan tidak akan menjual tanahnya pada harga di bawah harga pasaran.

Untuk kemudahan refinance, setahu saya, bank hanya perlu memastikan bahawa hak millik tanah itu didaftarkan atas nama pemohon yang memohon kemudahan refinance. Biarpun begitu, saya meminta YAB Dato’ Menteri Besar yang mempunyai pengalaman yang mencukupi dalam berurusan dengan bank sebelum menceburi bidang politik bagi memberi penjelasan kepada orang ramai, khususnya orang-orang MCA yang selalunya memilih untuk tidak tahu fakta dan kebenaran.

Pendek kata, dasar ini akan menguntungkan rakyat jelata kerana bukan semua rakyat mampu membayar wang premium sampai ke puluhan atau ratusan ribu ringgit. Saya menyeru rakan-rakan daripada MCA agar sentiasa bercakap berasaskan fakta dan kebenaran, jangan membangkang semata-mata untuk membangkang sahaja. Jangan juga MCA cuba mengelirukan rakyat dengan tohmahan-tohmahan dan fitnah-fitnah yang tidak berasas.

Pelaburan asing perlu fokus kepada teknologi canggih dan hijau yang boleh menjana perdapatan yang lebih tinggi

Pelaburan, sama ada pelaburan asing atau domestik, merupakan salah satu petunjuk ekonomi yang sangat penting untuk sesebuah negara.

Dua hari yang lalu kita telah dimaklumkan bahawa kerajaan Selangor tidak akan menerima semua jenis pelaburan di mana pelaburan yang tidak mesra alam sekitar akan ditolak. Ini ialah dasar yang sepatutnya ada pada sesebuah kerajaan. Kerajaan tidak boleh semata-mata menarik pelaburan secara membuta tuli tanpa mengira impak sesuatu pelaburan itu kepada kualiti kehidupan rakyat dan alam sekitar.

Untuk itu, fokus kerajaan Selangor untuk menarik lebih ramai pelabur yang terlibat dalam teknologi hijau merupakan strategi yang betul kerana teknologi ini meliputi skop yang sangat luas dan membekalkan peluang pelaburan, kajian dan penyelidikan yang cukup luas.

Skop teknologi hijau yang luas ini merangkumi pengitaran semula, penulenan air dan udara, rawatan air sisa, pemulihan alam sekitar, pengurusan sisa pepejal, tenaga yang boleh diperbaharui, penyimpanan tenaga, sumber-sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar dan sebagainya.

Baru-baru ini, biodiesel telah dilancarkan di negeri Selangor dan Lembah Klang. Produk ini telah menjadi bahan api alternatif kepada bahan api fosil konvensyenal. Justeru itu, kerajaan Selangor harus menarik lebih banyak pelaburan untuk menjalankan kajian terhadap penghasilan biodiesel generasi kedua yang tidak perlu bergantung kepada minyak kelapa sawit.

Selangor telah mengambil alih pengurusan sisa pepajal daripada Alam Flora Sendirian Berhad (AFSB) mulai 15 Oktober 2011 dan ini juga memberi peluang sepenuhnya kepada kerajaan untuk membuka dengan lebih luas pengurusan sisa pepejal yang melibatkan aplikasi teknologi hijau.

Pendek kata, teknologi hijau merupakan halatuju pelaburan negeri Selangor. Ianya mesra alam sekitar, mempunyai nilai tambahan ekonomi yang tinggi, menjana pendapatan dan pulangan yang jauh lebih tinggi dan mampu untuk melonjak negeri Selangor khasnya dan Malaysia amnya ke arah negara maju.

Pembangunan pesat di daerah Petaling dan kekurangan anggota kerja dan peruntukan yang mencukupi di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP)

Daerah Petaling merupakan salah satu daerah yang paling maju di Selangor. Dengan keluasan sebanyak 484 km2 dan bilangan penduduk seramai 1.8 juta orang, daerah Petaling menjadi daerah yang paling padat dengan kepadatan penduduk seramai 3680 orang / km2. 20 tahun yang lalu, Daerah Petaling hanya mempunyai populasi seramai 633,000 orang sahaja.

Pendapatan per kapita di Daerah Petaling juga antara yang paling tinggi. Aktiviti-aktiviti industri dan komersial juga antara yang teraktif di Selangor. Lokasinya yang strategik telah menarik kemasukan pelaburan dan pekerja-pekerja intelektual yang tinggi. Dari segi pembangunan, permohonan kebenaran merancang di Daerah Petaling sudah naik melonjak sebanyak 300 hingga 400 peratus berbanding sepuluh tahun yang lalu.

Oleh itu, kecekapan dalam sistem penyampaian agensi-agensi kerajaan di Daerah Petaling ini adalah sangat penting. Kini Daerah Petaling mempunyai tiga buah pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya. Biarpun begitu, Daerah Petaling hanya disokong oleh satu pejabat tanah dan daerah sahaja, iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP).

Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP) mempunyai 217 tenaga pekerja. Dalam belanjawan 2012, sebanyak RM 11.4 juta telah diperuntukkan kepada PTDP bagi menampung perbelanjaan pengurusan. Manakala Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pula mempunyai tenaga kerja seramai 366 orang dan mereka perlu menangani tugas yang disiapkan oleh lebih 1714 anggota kerja daripada kesemua sembilan buah Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) di Selangor.

Memandangkan bilangan penduduk yang semakin bertambah, ditambah dengan jaringan sistem pengangkutan yang semakin canggih dan komplikated, serta kutipan cukai yang semakin bertambah, baik cukai pintu dan cukai tanah dengan nilai taksiran yang semakin meningkat, maka saya berpendapat agar kerajaan Selangor perlu memperuntukkan bilangan kakitangan dan peruntukan yang lebih kepada Daerah Petaling untuk mempertingkatkan sistem penyampaian di Daerah ini.

Misalnya di kawasan saya, Persatuan Penganut Tho Guan Seng Sungai Way telah memohon untuk melanjutkan tempoh pajakan untuk dua keping tanah komersial di hadapan tokong mereka pada tahun 2005. Tanah yang pertama iaitu PT 454 Kampung Baru Sungai Way (Seksyen 40) Bandar Petaling Jaya, Daerah Petaling telah diluluskan pada tahun 2006 melalui pengeluaran Borang 5A. Tanah yang satu lagi, PT 455 yang mana permohonannya dihantar pada masa yang sama, hanya dikeluarkan Borang 5A pada tahun 2010 (Nombor fail: PTDP2/WNV/18/2000). Premium telah dibayar pada tahun yang sama tetapi hakmilik masih belum dikeluarkan sehingga sekarang. Saya telah merujuk perkara ini kepada PTDP dana saya difahamkan bahawa perkara ini berada di bawah bidang kuasa PTGS.

Contoh yang sama lagi ialah permohonan TOL di bawah nombor rujukan PTDP4/BPJ/11/2011 iaitu permohonan daripada pemaju rumah pangsa kos rendah Sri Aman, Seksyen 22, Petaling Jaya, Tetuan Sri Aman Development Sdn. Bhd. untuk membina tempat letak kereta tambahan sebanyak 60 unit bagi memenuhi janji pemaju terhadap penduduk. Permohonan telahpun dikemukakan kepada PTDP tetapi ianya masih menunggu kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Kelewatan ini barangkali disebabkan oleh kekurangan tenaga kerja di PTDP. Walaupun ADUN dijemput untuk menghadiri Jawatankuasa Tindakan Daerah, tetapi keberkesanannya berkurang kerana terdapat banyak isu yang dilonggokkan dan dibincang dalam satu mesyuarat bermula awal pagi dan belum pun pada tengahari. Ini secara tidak langsung menjadikan isu-isu tanah tidak dapat dibincangkan dengan teliti walaupun ianya selalunya merupakan isu yang paling mustahak dan memakan masa yang sangat panjang untuk diselesaikan.

Cadangan saya ialah supaya ADUN turut dijemput untuk menghadiri mesyuarat Jawatankuasa teknikal ini kerana jawatankuasa ini berfungsi untuk menguruskan semua urusan tanah dari segi teknikal sahaja. Oleh itu kerajaan Selangor tidak perlu khuatir bahawa ADUN akan menyalahgunakan kuasanya untuk meluluskan tanah kepada dirinya sendiri.

Satu perkara lagi yang perlu juga dipertimbangkan ialah pembahagian Daerah Petaling ini kepada dua untuk memudahkan pentadbiran Daerah. Pembahagian seumpama ini pernah berlaku dahulu di peringkat PBT, di mana Majlis Perbandaran Petaling Jaya dipisahkan kepada dua pada tahun 1997, iaitu Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Agensi kerajaan persekutuan di Daerah Petaling juga ada yang dibahagi kepada dua. Contohnya ialah Pejabat Pendidikan di Daerah Petaling yang telah dibahagi kepada dua, ialah Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana.

Saya amat berharap agar perkara-perkara yang saya bangkitkan berkenaan dengan pengurusan hal ehwal tanah ini diberi pertimbangan sewajarnya kerana masalah beban kerja yang terlalu tinggi di PTDP ini akan terus berlaku jikalau ianya tidak diselesaikan bermula sekarang.

Enakmen Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor (Selesa)

Saya juga menyeru kerajaan untuk segera membentangkan Enakmen Perkhidmatan Dewan Undangan Negeri Selangor ataupun nama singkatannya “SELESA” secepat mungkin.

Mengikut doktrin pengasingan kuasa, kuasa kerajaan perlu diasingkan antara Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan. Sebagai salah satu cabang kuasa, perundangan harus mempunyai sistem pentadbirannya yang berasingan daripada cabang Eksekutif dan Kehakiman.

Ianya bertujuan untuk mewujudkan satu mekanisme semakan dan imbangan (checks and balance) terhadap kuasa Eksekutif. Baru-baru ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, YB Dato’ Wan Junaidi juga menyokong usaha untuk memulihkan Akta Perkhidmatan Parlimen yang bertujuan untuk memulihkan keutuhan dan kebebasan Dewan Rakyat. Akta Perkhidmatan Parlimen yang telah dimansuhkan sekian lama ini sebenarnya memperuntukkan satu sistem perkhidmatan awam yang bebas daripada pengaruh Eksekutif, iaitu Jabatan Perkhidmatan Awam.

Jika Timbalan Speaker Dewan Rakyat juga menyokong usaha untuk membawa balik Akta Perkhidmatan Parlimen, saya tidak nampak sebarang sebab untuk Enakmen SELESA ini dilengah-lengahkan atas kebimbangan-kebimbangan yang tidak munasabah.

Percanggahan kegunaan tanah antara Rancangan Tempatan dan Hakmilik Tanah.

Saya juga ingin menarik perhatian kerajaan Selangor terhadap masalah percanggahan kegunaan tanah antara Rancangan Tempatan dan Hakmilik Tanah. Ini telah berlaku di DUN Kampung Tunku di mana terdapat sekeping tanah di hadapan Sekolah Kebangsaan Kampung Tunku yang diwartakan sebagai kawasan lapang di Rancangan Tempatan Petaling Jaya 1 (RTPJ1) sebenarnya mempunyai hakmilik dan telah didaftarkan sebagai tanah komersial dalam hakmilik untuk membina klinik.

Isu ini lebih kurang sama dengan isu taman rekreasi Subang Ria dan saya meminta perhatian khusus daripada Menteri Besar untuk melihat masalah ini kerana saya percaya bahawa percanggahan seperti ini memang masih berlaku di tempat-tempat yang lain.

Bagi PBT yang masih belum menyediakan draf Rancangan Tempatannya, maka saya meminta perhatian daripada kerajaan untuk mengelak percanggahan seperti ini daripada berulang.

Masalah penduduk-penduduk di ladang-ladang

Saya juga menarik perhatian daripada kerajaan untuk mengambil berat tentang masalah-masalah kebajikan yang sedang dihadapi oleh penduduk di ladang-ladang di DUN Kuala Kubu Baru, iaitu Ladang Nigel Gardner dan Ladang Kerling. Walaupun ianya berlaku di DUN Kuala Kubu Baru, saya percaya masalah-masalah yang sama juga berlaku di ladang-ladang yang lain di Selangor.

Saya telah membuat lawatan demi lawatan ke kedua-dua ladang dan saya mendapati majoriti rakyat di sini masih hidup di bawah paras kemiskinan. Dengan gaji kurang daripada RM500, pekerja-pekerja ladang terpaksa hidup dalam keadaan serba kekurangan. Terdapat ibu bapa yang tidak mampu untuk membiayai kos pelajaran anak-anak ke IPT, ramai lagi yang kehilangan keupayaan untuk bekerja kerana dijangkiti pelbagai penyakit. Kebanyakkan daripada mereka terpaksa bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ada juga yang memerlukan bantuan daripada hospital kerajaan di Kuala Kubu Baru, Selayang atau Sungai Buluh.

Apabila kerajaan persekutuan melalui Menteri Tenaga Manusia mengatakan bahawa pekerja-pekerja ladang akan menikmati RM850 sebulan sebagai gaji minimum pada tahun ini. Mengapakah masih terdapat mereka yang mendapati RM500 sebulan? Di manakah wakil rakyat BN di sana? Adakah mereka tahun kesusahan rakyat yang hidup di ladang-ladang?

Pengangkutan merupakan masalah yang paling besar untuk mereka kerana tiada perkhidmatan bas di tempat mereka. Setiap kali mereka perlu membayar lebih daripada seratus ringgit untuk mambayar sewa kereta untuk berulang-alik daripada ladang ke hospital.

Dewasa ini, ramai daripada kita menganggap bahawa telefon bimbit sesuatu yang tidak boleh diasingkan daripada kehidupan kita. Walaupun begitu, bagi penduduk-penduduk di Ladang Nigel Gardner dan Ladang Kerling, telefon bimbit merupakan sesuatu yang di luar jangkauan mereka. Selain daripada itu, tempat-tempat ini tidak ada isyarat telefon bimbit. Ladang Nigel Gardner tiada isyarat untuk Digi, Celcom dan Maxis kadang-kala ada, kadang-kala tiada. Ladang Kerling pula langsung tiada isyarat. Sekali lagi, saya bertanya, di manakah wakil rakyat BN di sana? Apakah mereka masih bermimpi?

Mungkin mereka masih bermimpi tetapi kami di PR tidak. Justeru itu, saya meminta perhatian khas daripada kerajaan untuk memberi peruntukan khas kepada pekerja-pekerja ladang ini di bawah Program jangkaan Kehidupan Bandar dan Program Penggerak Pembangunan Luar Bandar. Sebanyak RM 32 juta telah diperuntukkan untuk kedua-dua program ini dan ianya amat berguna untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan rakyat di ladang-ladang ini.

Lau Weng San

No comments: