Saturday, January 30, 2010

Writ Saman Khir Toyo Terhadap Saya

Semalam saya telah menerima satu writ saman yang disampaikan kepada YB Gobind Singh Deo selaku peguam saya yang dihantar oleh peguam YB Dato’ Seri Dr Khir Toyo terhadap saya berkenaan dengan tulisan saya di laman blog saya tentang rumah banglonya yang dijangka bernilai RM24 juta pada Julai 2009.
Tulisan saya yang merupakan sebahagian usul saya kepada Dewan Negeri Selangor ini dikatakan telah memfitnah dan menjejaskan nama baik Khir Toyo. Saya ingin mengatakan bahawa saya akan menghadapi tuduhan-tuduhan ini di mahkamah.
Pada masa yang sama, saya juga ingin menarik perhatian semua terhadap Jadual di bawah Perkara 77 Undang-undang Tubuh Negeri Kerajaan Selangor 1959 yang berkaitan dengan “Kuasa Dan Keistimewaan Dewan Negeri”.
Perkara 77(3) di bawah Undang-undang Tubuh Negeri Kerajaan Selangor 1959 adalah berbunyi seperti berikut:
“Tiada ahli boleh dikenakan apa-apa prosiding sivil atau jenayah, ditangkap, dipenjarajan atau dikenakan membayar ganti rugi disebabkan oleh apa-apa perkara atau benda yang mungkin telah dibawa olehnya melalui petisyen, rang undang-undang, ketetapan, usul atau selainnya atau telah diperkatakan dalam Dewan atau di hadapan mana-mana jawatankuasa.”
Ingin ditekankan bahawa usul yang saya kemukakan ini merupakan satu usul yang dikeluarkan di bawah Peraturan Mesyuarat 17(2) Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri Selangor untuk membahas satu usul yang tertentu, bekepentingan orang ramai dan perlu disegerakan. Oleh itu, isi kandungan usul ini adalah tertakluk di bawah kuasa dan keistimewaan Dewan Negeri.
Peruntukan ini adalah untuk memberi perlindungan kepada Wakil Rakyat untuk menjalankan tugasnya dengan bebas dan tanpa sebarang gangguan dan ugutan.
Saban hari, semakin banyak kes guaman fitnah yang melibatkan kenyataan-kenyataan, isi kandungan ucapan atau usul yang dibawa oleh seseorang wakil rakyat di Dewan Negeri.
Perkembangan ini merupakan satu perkembangan yang tidak sihat biarpun ianya bertentangan dengan peruntukan kuasa dan keistimewaan Dewan, kerana ini akan mengganggu wakil rakyat daripada menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat dengan membawa isu-isu berkepentingan orang ramai untuk dibahas dan dibicarakan di Dewan.

No comments: