Monday, January 04, 2010

Program “UMNO Jaguh Rakyat” - parti-parti komponen BN dipinggirkan

Program "UMNO Jaguh Rakyat" sekali lagi menunjukkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain dipinggirkan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan telah mengatakan bahawa program ini tiada kaitan dengan kerajaan dan BN kerana ianya merupakan program UMNO seratus peratus.

Kenyataan beliau telah memperlihatkan UMNO sebagai sebuah parti yang hanya mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan penyertaan daripada parti-parti komponen BN yang lain.

Adalah mustahil untuk UMNO tidak melibatkan rakan-rakannya dalam program yang begitu besar dengan kehadiran Perdana Menteri sendiri di mana sebanyak 125 gerai melibatkan 100 pengusaha swasta dan badan bukan kerajaan, organisasi dan individu persendirian terlibat.

Kita harus ingat bahawa calon BN untuk kawasan Parlimen Hulu Selangor selama ini adalah wakil daripada MIC. Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Selangor ialah Datuk G. Palanivel, Timbalan Presiden MIC.

Selain itu, terdapat tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah Parlimen Hulu Selangor di mana salah satu kerusi DUN, iaitu Kuala Kubu Baru dimenangi oleh wakil daripada MCA, iaitu Wong Koon Mun.

Oleh itu, adalah tidak masuk akal untuk UMNO menjalankan satu program di Hulu Selangor yang boleh dikira sebagai terbesar dalam sejarah UMNO tanpa penglibatan daripada parti-parti komponen BN yang lain, melainkan UMNO merancang untuk "membelakangi" rakan-rakan seperjuangan mereka di dalam BN.

Fenomena ini turut memperlihatkan kepincangan BN sebagai satu platform politik yang berwibawa dan berintegriti dalam memerintah kerajaan pusat. Keadaan ini harus difikir oleh pemimpin-pemimpin parti-parti komponen bukan UMNO di dalam BN untuk meneliti semula kedudukan mereka di dalam BN.

No comments: