Saturday, April 30, 2011

Dilema Najib

Kemenangan besar DAP di pilihanraya negeri Sarawak telah digunakan oleh parti lawan, khususnys UMNO untuk memfitnah parti ini sebagai sebuah parti chauvanis.

Memang hakikatnya bahawa DAP menang di kawasan-kawasan yang ditandinginya yang kebanyakkannya berada di kawasan bandar. Biarpun DAP mendapat sokongan padu daripada masyarakat Cina di kawasan bandar, tetapi sokongan padu juga diberi kepada DAP di kawasan-kawasan separuh bandar dan luar bandar. Ini juga bermakna kaum Bumiputera juga menaruh harapan yang menggunung tinggi kepada DAP untuk membawa perubahan dalam kehidupan mereka.

Najib semakin cemas kerana dua sebab. Yang pertama ialah UMNO dan BN perlu sokongan daripada semua kaum untuk kekal relevan. Mungkin UMNO boleh menang separuh daripada kerusi yang dipertandingkan di Dewan Rakyat tetapi UMNO tidak akan dapat membentuk kerajaan yang kredibel jika kerajaan UMNO ini tidak disokong oleh masyarakat bukan Melayu termasuk Bumiputera bukan Muslim dari Sabah dan Sarawak.

Oleh itu, UMNO tetap memerlukan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen BN yang lain untuk membentuk sebuah kerajaan yang kredibel. Walaupun parti-parti komponen BN ini lemah, tetapi UMNO tetap tidak akan memutuskan hubungannya dengan parti-parti nyamuk ini biarpun realitinya parti-parti nyamuk ini hanya sekadar hiasan sahaja.

UMNO juga tidak sanggup berbuat begitu hanya kerana parti-parti nyamuk ini menegurnya dalam beberapa isu berkenaan dengan kedudukan istimewa kaum Bumiputera.

Itulah sebabnya Najib terus melaungkan slogan "1Malaysia" untuk memancing undi masyarakat bukan Bumiputera, khususnya pengundi Cina. Tidak cukup dengan laungan "1Malaysia", Najib juga melancarkan program-program seperti ETP, NEM dan GTP untuk mengukuhkan keyakinan pengundi Cina bahawa kerajaan BN di bawah pimpinan beliau ingin melakukan perubahan dan pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan.

Masalah yang dihadapi oleh Najib ialah laungan "1Malaysia" ini tidak mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina. Secara umum, "1Malaysia" dilihat sebagai satu gimik untuk memikat hati pengundi tanpa langkah-langkah konkrit untuk merealisasinya. Ini diikuti dengan cara BN menjalankan kempen pilihanrayanya yang berlandaskan tema "1Malaysia" tetapi tidak banyak berbeza dengan kempen makan minum percuma yang pernah dianjurkan oleh BN sebelum ini.

Bagi pengundi Cina, perbuatan ini telah memberi tanggapan kepada mereka bahawa "1Malaysia" hanya satu alat yang digunakan untuk memancing undi tanpa sebarang pembaharuan bermakna yang betul-betul memanfaat kehidupan harian mereka.

Sebab yang kedua ialah Najib tidak begitu mendapat sokongan daripada partinya sendiri, UMNO, dalam melaksanakan konsep "1Malaysia". Keengganan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau ialah "Malay First" dan bukan "Malaysian First" jelas menunjukkan bahawa konsep "1Malaysia" oleh Najib yang menekankan identiti "Malaysian First" tidak laku di kalangan ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO.

Sementara itu, Utusan Malaysia sebagai akhbar harian yang dikuasai UMNO bukan sahaja terus memfitnah parti-parti Pakatan Rakyat seperti DAP sebagai parti chauvanis, tetapi Utusan Malaysia juga membantu menyebarkan fahaman sempit perkauman / ketuanan Melayu. Baru-baru ini, pengarang kanan Utusan Malaysia, Encik Zaini Hassan telah membangkitkan idea "1Melayu, 1Bumi" sebagai respons terhadap kebangkitan DAP yang mendapat sokongan padu pengundi Cina, kononnya.

Najib sebagai Presiden UMNO (bos besar Utusan Malaysia) terus menjauhkan diri daripada pemukiran sempit ini yang dengan jelasnya bertentangan dengan konsep "1Malaysia". Apa yang manarik hati ialah apabila MCA secara terbuka memboikot Utusan Malaysia atas pemikiran sempit ini, TPM Muhyiddin pula secara terbuka cuba melindungi Utusan Malaysia dan mengatakan bahawa Utusan Malaysia hanya melaporkan suara hati masyarakat Melayu.

kepincangan dan ketidakserasian antara PM dan TPM (PM dan UMNO) jelas menunjukkan bahawa Najib menghadapi rintangan besar untuk memahat konsep "1Malaysia" ke dalam hati setiap orang ahli UMNO sendiri.

Ini menimbulkan persoalan, sama ada Najib akan mengalami nasib malang mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi di mana beliau gagal membawa perubahan dalam pentadbirannya dan terpaksa "digulingkan" atau Najib mampu menyakinkan orang-orang UMNO untuk berdiri teguh di belakang "1Malaysia"?

No comments: