Tuesday, March 27, 2012

Selangor Kata “Tidak” Kepada Kilang-Kilang Radioaktif Di Selangor

Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membentang Usul No. 8 Tahun 2012 pada 27 Mac 2012 di Shah Alam:

Kampung Tunku dengan ini mencadang supaya usul yang berbunyi seperti di bawah dapat diluluskan dalam Dewan Yang Mulia ini:
“Bahawa Dewan yang mulia ini menetap agar kerajaan Selangor menolak sebarang permohonan pembinaan kilang-kilang yang terlibat dalam pemprosesan bahan-bahan radioaktif di Selangor untuk memelihara hak dan kepentingan rakyat Selangor serta melindungi alam sekitar di negeri Selangor.”
Kampung Tunku membawa usul ini atas kesedaran bahawa rakyat Selangor prihatin dengan perlindungan alam sekitar dan mereka menolak kemasukan apa-apa kilang yang terlibat dalam pemprosesan bahan-bahan radioaktif di Selangor, baik kilang pemprosesan nadir bumi ataupun stesyen janakuasa elektrik yang menggunakan tenaga nuklear.

Industri radioaktif merupakan satu industri berisiko tinggi dan memerlukan bukan sahaja teknologi yang canggih tetapi kepakaran yang tinggi dan pengurusan dan ketat. Industri ini melibatkan kos yang tinggi dan sisa-sisa radioaktifnya perlu diurus dengan berhati-hati berpandukan peraturan yang paling ketat untuk mengelakkan kebocoran radioaktif. Jika tidak kesan-kesan sampingannya adalah berpanjangan dan boleh diwarisi dari generasi ke generasi. Ini kerana kesan-kesan radioaktif akan menyebabkan perubahan gen dalam tubuh manusia dan kesannya adalah berpanjangan.

Pada tahun 2011, rakyat seluruh dunia gempar dengan kemalangan gempa bumi bermagnitud 8.9 pada skala Richter yang menggoncang Jepun. Akibatnya, tsunami berlaku dan kemalangan berlaku di stesyen janakuasa elektrik tenaga nuklear milik Tokyo Electric Power Company (Tepco) di Fukushima, kira-kira 250km dari Tokyo.

Tiga daripada reaktor nuklearnya meletup dan melebur akibat kenaikan suhu reaktor yang gagal dikawal. Kebocoran radiasi berlaku dan 180,000 penduduk masyarakat yang tinggal dalam lingkungan 20km dari kawasan itu juga terpaksa dipindahkan. 160 orang telah disahkan terdedah kepada radiasi. Jumlah kerugian yang ditanggung oleh kerajaan Jepun mencecah US 100 bilion.

Kemalangan ini mendedahkan kegagalan syarikat berkenaan mengikut peraturan-peraturan yang ketat terhadap operasi-operasinya, sekaligus mencetuskan persoalan sama ada penjanaan tenaga elektrik dengan menggunakan tenaga nuklear masih boleh dianggap sebagai selamat dan efisyen. Apatah lagi kemalangan ini berlaku di sebuah Negara yang maju seperti Jepun, yang terkenal seluruh dunia atas disiplin dan ketegasan korporatnya dalam mengikut peraturan dan arahan. Kampung Tunku tidak dapat membayangkannya jika kemalangan ini berlaku di Malaysia.

Sementara itu, kita juga harus mengambil ikhtibar daripada kes kilang Asia Rare Earth (ARE) di Kampung Bukit Merah, Ipoh pada tahun 1984 di mana penduduk-penduduk Kampung Baru Bukit Merah, Ipoh menjadi mangsa radiasi akibat terdedah kepada sisa-sisa radioaktif apabila bekerja di kilang pemprosesan nadir bumi (rare earth) ARE yang terletak tidak jauh daripada kampong mereka.

Masyarakat Malaysia digempurkan sekali lagi apabila sebuah syarikat nadir bumi bernama Lynas bercadang untuk membina kilang sebesar 140 padang bola sepak di Gebeng, Kuantan. Baru-baru satu perhimpunan telah diadakan di Kuantan untuk membantah kilang Lynas ini.

Perhimpunan ini dihadiri oleh 10,000 warga Malaysia dari seluruh pelosok Negara. Ini adalah kerana pencemaran radiasi ini amat berbahaya, ianya tidak berwarna dan berbau tetapi boleh diwarisi turun-temurun dan radiasi boleh disebar ke tempat-tempat yang jauh jika tidak dikawal dengan baik.

Sebelum ini pada Disember 2010, Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, Datuk Seri Peter Chin mengumumkan Malyasia akan membina dua loji tenaga nuklear yang mampu menjana 1,000 megawatts setiap satu. Loji pertama dijadual beroperasi pada 2021 manakala yang kedua setahun kemudian. Kos pembinaan dijangka mencecah RM 22 bilion.

Kerajaan Persekutuan harus membatalkan cadangan untuk membina dua loji tenaga nuklear dan sebaliknya memberi fokus kepada tenaga boleh diperbarui untuk menampung keperluan tenaga Negara. Sudah terbukti dalam kes Fukushima bahawa tenaga nuklear bukan sumber tenaga yang bersih, efisien dan selamat.

Lau Weng San

No comments: