Tuesday, March 27, 2012

Perlantikan keahlian dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Melalui Pemilihan Secara Undi Rahsia

Ucapan ADUN DAP bagi kawasan Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Usul No. 2 Tahun 2012 berkaitan dengan keahlian Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertangungjawaban dan Ketelusan (Selcat) 26 Mac 2012 di Shah Alam:

Kampung Tunku berdiri menyokong usul ini untuk melantik Ahli Yang Berhormat dari Subang Jaya menggantikan mendiang Ahli Yang Berhormat dari Bukit Gasing di dalam Pilihan Khas mengenai Keupayaan, Kebertangungjawaban dan Ketelusan.

Perlantikan ini adalah perlu memandangkan Selcat memerlukan kerjasama erat daripada semua anggotanya untuk menjalankan fungsi yang dipertanggungjawab kepada Selcat oleh Dewan Yang Mulia ini.

Dalam satu seminar yang dianjurkan oleh Commonwealth Parliamentary Association (CPA) mengenai praktis dan prosidur Parlimen yang dihadiri oleh Kampung Tunku dari 4 hingga 9 Mac 2012 yang lalu, Kampung Tunku difahamkan bahawa keanggotaan dalam setiap satu jawatankuasa pilihan di dalam Parlimen UK adalah dipilih oleh ahli-ahli Dewan mengikut nisbah parti kerajaan kepada pembangkang secara undi rahsia.

Fenomena ini amat berbeza dengan fenomena di Malaysia di mana keanggotaannya ditentukan oleh parti-parti politik masing-masing. Kampung Tunku berharap pada masa yang akan datang, keahlian dalam semua jawatankuasa pilihan khas Dewan Negeri Selangor ini dijalankan melalui pemilihan secara undi rahsia.

Kampung Tunku sedih dan kesal kerana baru-baru ini terdapat individu-individu tertentu yang membuat tuduhan liar terhadap Selcat. Ada di kalangan mereka menuduh jawatankuasa ini sebagai mahkamah kangaroo apabila Selcat meminta mana-mana individu yang mempunyai bukti tentang kes-kes pencurian pasir di Selangor untuk tampil member keterangan di hadapan Selcat. Ada di kalangan mereka ini begitu lantang sehingga mereka mencabar kesahihan kedudukan Selcat di mahkamah. Ini sebenarnya bercanggahan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor kerana telah dinyatakan dengan jelas bahawa sebarang keputusan dan prosiding Dewan Negeri Selangor tidak boleh dicabar di mahkamah.

Malangnya individu-individu ini tidak berani tampil ke hadapan. Ini menimbulkan satu persoalan yang besar iaitu sama ada individu-individu ini benar-benar mempunyai bukti ini ataupun mereka hanya berminat untuk menggaut keuntungan politik sahaja?

Kampung Tunku faham terdapat individu-individu yang bercita-cita besar untuk menjadi Menteri Besar. Terdapat juga yang ingat dia akan menjadi Exco. Nasihb tidak menyebelahi mereka apabila cita-cita mereka ini tidak kesampaian pada tahun 2008. Apapun sekali, kegagalan individu-individu ini untuk mengemukakan apa-apa bentuk bukti menunjukkan betapa temperangnya hujah-hujah politik mereka.

Malahan Kampung Tunku difahamkan bahawa mereka masih belum membuat laporan dengan polis atau Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membendung gejala ini. Mereka harus sedar bahawa adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu untuk tidak melaporkan satu perbuatan rasuah yang diketahuinya kepada SPRM untuk siasatan lanjutan.

Apapun sekali, harus diingatkan bahawa Selcat memang bukan sebuah mahkamah. Selcat seperti jawatankuasa-jawatankuasa pilihan khas yang lain tidak mempunyai kuasa untuk menghukum mana-mana individu. Selcat ditubuhkan oleh Dewan Negeri Selangor pada tahun 2008 untuk menyiasat sebarang salahlaku pihak kerajaan. Dalam perkataan lain, peranan yang dimainkan oleh Selcat ialah untuk menyemak, mamantau dan mengimbang pihak eksekutif.

Selcat mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana saksi bagi memberi keterangan secara terbuka melalui pendengaran awam bagi mana-mana isu yang berkepentingan awam.

Pemberian keterangan secara terbuka ini dapat membantu dalam mempertingkatkan tahap ketelusan dalam pentadbiran awam kerana saksi-saksi yang dipanggil akan terletak di bawah pemantauan awam (public scrutiny). Konsep jawatankuasa pilihan ini merupakan satu pembaharuan dalam menjalankan fungsi-fungsi parlimen di kebanyakan Negara Komanwel dan ianya dipelopori oleh Parlimen Britain sehingga Perdana Menteri Britain pun boleh dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa pilihan (sila rujuk sini.)

Justeru itu, Kampung Tunku menggesa individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini untuk segera menarik balik semua tuduhan yang tidak berasas dan memohon maaf kepada Dewan secara terbuka. Pada masa yang sama, Kampung Tunku juga menasihat mereka menyerah sebarang bukti dalam pegangan mereka kepada Selcat jikalau mereka benar-benar ikhlas.

Kampung Tunku juga mengucapkan Selamat Bertugas kepada Yang Berhormat Subang Jaya. Sememangnya tugas yang ada pada Subang Jaya adalah berat dan Kampung Tunku percaya Subang Jaya dapat menjalankan tugas ini dengan sempurna.

Oleh itu, Kampung Tunku menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.

Lau Weng San

No comments: