Thursday, July 04, 2013

Cadangan mewujudkan pasukan polis bantuan perlu dipertimbangkan semula

Kerajaan persekutuan harus mempertimbangkan semula cadangan mewujudkan pasukan polis bantuan (auxiliary police force) di bawah kerajaan Selangor atau PBT memandangkan keadaan jenayah yang semakin serious di negeri ini.

Kerajaan negeri Selangor pernah mengutarakan cadangan ini pada Februari tahun 2011 tetapi ianya disambut dengan respon sambil lewa oleh Menteri Dalam Negeri pada masa itu, Hishammuddin Hussein. Malahan beliau pernah mengguna alasan bahawa kadar jenayah di Selangor kian menurun dan sekaligus menolak tawaran Selangor menyediakan pasukan polis bantuan.

Realitinya, biarpun statistik semakin menurun, rakyat masih tidak merasakan mereka berada dalam keadaan yang lebih selamat dan jenayah masih lagi tinggi di tempat tinggal dan kawasan kerja mereka. Perkara ini terbukti apabila rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarajat menjadi mangsa jenayah.

Mangsa terbaru ialah Menteri Belia dan Sukan sendiri iaitu Khairy Jamaluddin di mana beliau mengatakan bahawa keadaan jenayah yang serious bukan lagi setu persepsi tetapi reality, sekaligus menolak dakwaan bahawa keadaan jenayah semakin baik di Selangor.

Daripada terus menyalahkan media kerana “mensensasikan” berita-berita jenayah, bukankah lebih baik kerajaan persekutuan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan PBT untuk memerangi jenayah?

Perkara kedua ialah manipulasi data “Jenayah Indeks” (Crime Index) dan “Jenayah Bukan Indeks” (Non-Crime Index) ciptaan Kerajaan Persekutuan.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara pada tahun lalu di mana beliau dimaklumkan di Parlimen bahawa Kadar Jenayah Indeks telah merosot daripada 209,572 pada tahun 2007 ke 157,891 pada tahun 2011, iaitu sebanyak 24.7%.

Tidak diketahui umum ialah angka “Jenayah Bukan Indeks” telah melonjak sebanyak 68.7% dalam tempoh yang sama, iaitu daripada 42,752 ke 72,106. Permainan definisi dan angka-angka ini yang lebih kepada “syiok sendiri” sedikit pun tidak menolong rakyat Malaysia memahami situasi jenayah di negara kita, apatah lagi menolong mengurangkan kadar jenayah di Malaysia khususnya Lembah Klang.

Perkara ketiga, yang juga merupakan sebab Kerajaan Negeri mendesak untuk menubuhkan pasukan polis bantuan ialah bilangan anggota polis yang ditugaskan untuk menguruskan kadar jenayah.

Nisbah anggota polis dan rakyat yang disyorkan oleh Interpol adalah 1 anggota polis untuk 250 penduduk. Mengikut statistik 2011, Selangor mempunyai 11,700 anggota, yang mana hanya 30% yang bertugas pada satu sessi. Ini bermakna dalam satu sessi nisbahnya menjadi 1:1,424.

Justeru itu, kerajaan negeri pernah menawar untuk menyediakan pasukan polis bantuan yang telah dicadangkan sejak Julai 2010 untuk mengatasi ketidakseimbangan dalam nisbah polis kepada penduduk ini. Selain itu, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) juga mengusulkan perkara ini pada tahun 2009 tetapi masih belum mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri walaupun kepala peruntukan telahpun disediakan dalam belanjawan 2013.

Tidak lama dahulu, MBPJ telah mengemukakan permohonannya yang ketiga dan saya berharap pihak Kementerian Dalam Negeri boleh mengetepikan faktor politik dalam perkara ini dan meluluskan permohonan kita. Saya juga merayu kepada masyarakat umum di Lembah Klang untuk menyokong kempen tandatangan menyokong penubuhan pasukan polis bantuan. Sememangnya ianya akan mendatangkan seribu satu kebaikan kepada semua pihak.

No comments: