Monday, July 08, 2013

Kerajaan harus merangka program jangka pendek untuk pembangunan ekonomi dan infrastruktur luar bandar

Ucapan Pencadang ADUN Kampung Tunku semasa mencadang usul di bawah Peraturan-peraturan Tetap 26(1) pada 8 Julai 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam:

1. Tuan Speaker, saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini ingin mencadangkan satu usul di bawah Peraturan-peraturan Tetap 26(1), di mana usul adalah seperti yang berikut:
“Bahawa Dewan yang mulia ini meminta kerajaan Selangor di bawah semangat ‘Go Rural’ untuk merangkakan lebih banyak rancangan pembangunan berjangka pendek untuk memastikan pembangunan infrastruktur dan ekonomi di kawasan luar bandar terbela.”
2. YAB Menteri Besar telah beberapa kali menyebut tentang program-program pembangunan di luar bandar di bawah tajuk besar “Go Rural” selepas PRU-13, di mana YAB Menteri Besar pernah menyebut salah satu sasaran ialah untuk menambah pendapatan penduduk-penduduk luar bandar dalam tempoh masa tiga tahun. Oleh itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan Selangor melancarkan program yang serious khusus untuk pembangunan luar bandar.

3. Sebelum ini, kerajaan telahpun melancarkan beberapa program pembangunan yang khusus untuk kawasan-kawasan luar bandar seperti program peningkatan hasil padi di mana program ini merupakan sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Selangor yang dilancarkan pada tahun 2009.

4. Selain itu, kerajaan juga telah melancarkan program mikrokredit SkimSel di mana kerajaan buat kali pertama membekalkan pinjaman mikro kredit kepada masyarakat luar bandar untuk mempertingkatkan pendapatan mereka.

5. Biarpun begitu, program-program ini merupakan program-program berasingan dan berbentuk piece meal di mana ianya tidak dilaksanakan di bawah satu penyelarasan yang berkesan. Terdapat program-program kebajikan dan pembangunan lain yang dilancarkan oleh kerajaan Selangor sebelum ini, yang kebanyakkannya mempunyai kaitan langsung dengan geran “Selangorku”.

6. Tidak terlupa juga program-program pembangunan yang dilaksanakan di bawah Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap Kerajaan Selangor seperti Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Modal Insan, Kerajaan Prihatin dan Kebajikan.

7. Kampung Tunku memang menyanjung tinggi program-program ini. Walaupun begitu, kita perlu mengakui keberkesanan sesetengah program ini tidak dapat diukur dengan tepat. Kita tidak pasti hakikinya berapa ramai penduduk atau keluarga luar bandar yang menerima manfaat daripada usaha kita ini. 8. Justeru itu, Kampung Tunku mencadang kepada kerajaan untuk mewujudkan beberapa Key Performance Index (KPI) untuk mengukur setakat mana pencapaian kerajaan dalam perkara ini. Kampung Tunku juga bercadang kepada kerajaan agar menubuhkan sebuah jawatankuasa pemantauan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) agar segala peruntukan dan projek-projek pembangunan mencapai sasarannya.

9. Selepas itu, Kampung Tunku bercadang kepada kerajaan untuk mengenalpasti apakah kawasan luar bandar di Selangor. Ini adalah penting supaya semua pihak mengetahui skop kawasan kerja mereka.

10. Kampung Tunku berpendapat tiada masalah sekiranya Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Kuala Langat, Sepang dan Hulu Langat dikategori sebagai kawasan luar bandar. Biarpun begitu, terdapat beberapa daerah seperti Daerah Klang, Gombak dan Petaling yang mempunyai kawasan-kawasan kampong dan tempat-tempat ini tidak boleh disalah taksir sebagai kawasan bandar.

11. Setelah menetapkan KPI, jawatankuasa pemantauan dan tempat-tempat pelaksanaannya, kerajaan harus mengenalpasti program-program yang boleh dilaksanakan untuk mencapai matlamat ini.

12. Pada pendapat saya, adalah wajar untuk kerajaan menetapkan program-program jangka pendek yang mempunyai impak positik kepada penduduk-penduduk luar bandar. Ini adalah untuk memudahkan kerja-kerja pemantauan manakala program jangka panjang selalunya melibatkan peruntukan yang besar dan tempoh yang jauh lebih panjang untuk dilaksanakan.

13. Kerajaan harus mengakui bahawa kawasan-kawasan luar bandar di Selangor mempunyai potensi besar dalam membangunkan ekonomi pelancongan. Satu contoh yang baik ialah Sekinchan di mana sektor pelancongan di Sekinchan berkembang dengan begitu banyak produk-produk pelancongan. Tidak boleh kita lupa tempat-tempat seperti Kuala Selangor, Fraser Hill, Morib, Bukit Broga dan sebagainya.

14. Sektor pertanian merupakan aktiviti ekonomi yang paling utama di kawasan luar bandar. Maka sebarang usaha kerajaan untuk mempertingkatkan pendapatan penduduk-penduduk luar bandar mesti ada kaitan dengan aktiviti pertanian. Program meningkatkan hasil padi yang dilancarkan pada tahun 2009 mesti dihidupkan dan dilancarkan semula.

15. Kampung Tunku juga mendapati bahawa kerajaan telah membina beberapa kawasan perindustrian di luar bandar. Antaranya ialah kawasan perindustrian Zurah di Hulu Selangor, Port Klang Free Zone (PKFZ) di Pulau Indah, Zon Perdagangan Bebas di Teluk Panglima Garang dan sebagainya. Maka adalah penting kawasan-kawasan ini terus menjadi tumpuan pelaburan asing dan domestik.

16. Ini hanya berlaku sekiranya kerajaan memberi peruntukan khas untuk menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan, parit dan lampu jalan di tempat-tempat ini. Sebenarnya, jaringan jalan dan kemudahan internet ialah kunci kejayaan kepada segala program-program yang akan dibangunkan di luar bandar.

17. Ini ialah lakaran kasar Kampung Tunku tentang program “Go Rural” dan harapan saya ianya akan memanfaatkan rakyat di luar bandar dalam masa yang singkat.

Kampung Tunku mohon mencadang. Sekian, terima kasih.

No comments: