Tuesday, July 02, 2013

Ucapan Membahas Usul Menjunjung Kasih ADUN DAP Kampung Tunku Lau Weng San pada 2 Julai 2013 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam

1. Salam Sejahtera dan Salam Ubah diucapkan kepada semua ahli Yang Berhormat. Terima kasih kepada Tuan Speaker kerana memberi peluang kepada Kampung Tunku untuk turut bersama menyokong Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Tuanku Sultan Selangor pada Jumaat yang lalu.

2. Pertama sekali, Kampung Tunku mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Dewan Yang Berhormat kerana menang dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

3. Kampung Tunku juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor kerana memberi kepercayaan yang mengunung tinggi kepada Pakatan Rakyat (PR) sehingga PR kembali memegang kerajaan Selangor dengan bilangan kerusi yang jauh lebih banyak berbanding dengan PRU-12, iaitu sebanyak 44 kerusi daripada 56, sekaligus memberi kelebihan dua pertiga kepada PR di dalam Dewan Yang Mulia ini.

4. Sememangnya kejayaan ini tidak akan berlaku tanpa usaha gigih dan mantap daripada barisan pentadbiran dan perundangan untuk tempoh lima tahun yang lalu. Ini juga tidak akan kesampaian tanpa sumbangan profesional barisan penjawat awam.

5. Kalau pada masa dahulu mereka dihina, dipandang rendah malahan cadangan mereka tidak dipertimbangkan langsung, maka semasa zaman PR kesemua ini diperbetulkan dan mereka telah menonjolkan profesionalisme mereka. Tahniah diucapkan kepada barisan penjawat awam di Selangor.

Masalah Pengurusan Tanah dan Kecekapan Pejabat Tanah/Daerah (PTD)

6. Satu-satunya cara untuk membalas budi baik pengundi yang memberi kemenangan raksasa kepada PR ialah dengan bekerja lebih keras untuk lima tahun yang akan datang.

7. Kalau pada masa dahulu rakyat dapat memaafkan kesilapan kita kerana kita masih baru, maka sekarang tiada lagi alasan untuk kita mengulangi kesilapan yang sama. Sebagai wakil rakyat, kami mempunyai tanggungjawab yang berat untuk memastikan jentera kerajaan sentiasa berfungsi pada tahap optimum. Oleh itu, marilah kita mengurangkan retorik-retorik politik dan tegur-tegurlah sekiranya masih ada kekurangan dalam kerajaan ini.

8. Isu pertama yang ingin Kampung Tunku bangkitkan ialah tentang pengurusan tanah. Kampung Tunku pernah membangkitkan perkara ini semasa membahas Rang Undang-undang Perbekalan 2013 pada tahun lalu dan pada masa itu Kampung Tunku menjurus kepada masalah kekurangan kakitangan di beberapa Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) khususnya PTD Petaling (PTDP).

9. Kampung Tunku juga menjurus khusus kepada masalah kekurangan Pegawai Penempatan atau Settlement Officer (SO) di PTD. Secara ringkasnya, jawatan yang mempunyai sejarah melebihi 100 tahun ini memikul tanggungjawab yang sangat penting termasuk:
a. menyalurkan maklumat-maklumat yang terkini kepada pihak pentadbir tanah,
b. merumus perancangan masa depan yang membabitkan tanah dalam sebuah mukim dan daerah,
c. menyediakan bank data tanah,
d. melaksanakan tugas penguatkuasaan undang-undang mengikut Kanun Tanah Negara (KTN) dan akta-akta serta peraturan-peraturan yang berkaitan,
e. menjalankan tugas penguatkuasaan bagi mengawal segala bentuk pencerobohan di atas tanah kerajaan dan tanah-tanah rizab,
f. mengawasi segala peralihan bahan batuan mengikut peraturan dan undang-undang supaya kerajaan negeri tidak kehilangan hasil.

10. Malangnya selepas Kampung Tunku membangkitkan masalah ini dalam sidang Dewan yang lalu, kami masih belum melihat apa-apa langkah daripada pihak pentadbiran untuk mengatasi masalah ini. Sekiranya kerajaan tidak memulakan langkah untuk melatih lebih ramai SO di PTD, Kampung Tunku khuatir masalah-masalah tanah seperti yang dibangkitkan oleh rakan-rakan di Dewan Yang Mulia ini akan terus berada.

11. Kita juga tidak harus lupa bahawa PTD juga menangani banyak program pembangunan bagi pihak negeri Selangor di peringkat daerah. Bermula dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sehingga ke pengendalian dan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di bawah geran “Selangorku”, setiap satu ini dilaksanakan dengan kekuatan staf yang tidak banyak bertambah sejak PR memegang kerajaan negeri.

12. Masalah ini jelas kelihatan dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur di bawah geran “Selangorku” di mana PTD terpaksa bergantung kepada teknokrat-teknokrat daripada PBT untuk melaksanakan sesuatu projek kerana PTD kekurangan staf yang mempunyai kemahiran kejuruteraan.

13. Oleh itu, saranan Kampung Tunku ialah kerajaan harus melakukan sesuatu untuk memastikan PTD mempunyai bilangan kakitangan awam yang sepadan dengan tugas yang dipikul serta hasil yang dikutip mereka.

14. Kampung Tunku juga mencadangkan agar sesetengah daerah yang terlalu besar dipecahkan kepada dua untuk memudahkan pentadbirannya. Contoh yang paling baik ialah Daerah Petaling.

15. Daerah Petaling ialah antara daerah termaju di Selangor. Dengan keluasan tanah sebanyak 484 km2 dan bilangan penduduk seramai 1.8 juta orang, daerah Petaling mempunyai kepadatan penduduk tertinggi iaitu seramai 3680 orang/km2.

16. Pendapatan per kapita Daerah Petaling juga antara yang tertinggi disebabkan oleh aktiviti industri dan komersial yang aktif. Ini ditambah lagi dengan lokasinya yang strategik. Dari segi pembangunan, permohonan kebenaran merancang di Daerah Petaling sudah naik melonjak sebanyak 300 hingga 400 peratus berbanding sepuluh tahun yang lalu.

17. Oleh itu, kecekapan dalam sistem penyampaian agensi-agensi kerajaan di Daerah Petaling ini adalah sangat penting. Kini Daerah Petaling mempunyai tiga buah PBT iaitu Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Subang Jaya.

18. Agensi kerajaan persekutuan di Daerah Petaling juga ada yang dibahagi kepada dua. Contohnya ialah Pejabat Pendidikan di Daerah Petaling yang telah dibahagi kepada dua, ialah Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana. Biarpun begitu sehingga sekarang Daerah Petaling hanya disokong oleh satu pejabat tanah dan daerah sahaja, iaitu Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP).

19. Pejabat Tanah dan Daerah Petaling (PTDP) mempunyai 217 tenaga pekerja pada tahun 2012. Bilangan ini berkurang ke 204 orang pada tahun 2013. Dalam belanjawan 2012, sebanyak RM 11.4 juta telah diperuntukkan kepada PTDP bagi menampung perbelanjaan pengurusan. Angka ini tidak jauh berbeza dengan Pejabat Daerah yang lain, justeru itu, Kampung Tunku menggesa kerajaan supaya melakukan sesuatu dengan kadar segera untuk meningkatkan jumlah staf pekerja yang sedia ada di Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Pentadbiran Baik PBT, Pengumuman Aset Anggota-anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)

20. Kampung Tunku tertarik dengan titah ucapan DYMM Tuanku Sultan Selatan yang menekankan kepentingan prinsip tadbir urus baik atau good governance dalam semua pelaksanaan tugas dan proses membuat keputusan.

21. Justeru itu, Kampung Tunku atas prinsip yang sama menggesa kerajaan Selangor memastikan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mempertingkatkan sistem penyampaiannya.

22. Satu perkara yang ingin Kampung Tunku sentuh ialah sistem aduan atas talian yang dikendalikan oleh setiap PBT. Walaupun kebanyakkan PBT di Selangor mempunyai portal aduan atas talian masing-masing, Kampung Tunku mendapati kemudahan ini kadang-kala tidak secekap yang kita harapkan.

23. Seringkali Kampung Tunku menerima aduan daripada rakyat bahawa aduan mereka masih tidak dikendalikan selepas sekian lama mereka mengadu melalui portal aduan atas talian PBT. Terdapat juga yang mengadu maklum balas yang diberi oleh sistem ini tidak tepat, contohnya sesuatu aduan itu masih belum diselesaikan lagi sedangkan rekod menunjukkan yang berbeza.

24. Kampung Tunku juga difahamkan terdapat juga satu lagi sistem aduan atas talian yang dikendalikan oleh kerajaan Selangor yang digelar Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS). Kampung Tunku tidak faham mengapa perlunya satu sistem aduan atas talian seperti ini sedangkan ianya sudah wujud di setiap PBT.

25. Justeru itu, Kampung Tunku menyarankan agar kerajaan menjalankan satu audit menyeluruh terhadap semua sistem aduan atas talian di setiap PBT supaya angka yang dijana adalah benar dan sahih. Kampung Tunku juga mencadangkan sistem yang berbagai-bagai ini disepadukan dan ditambah ciri-ciri baru seperti membenarkan fungsi geo-tagging oleh pengguna-penggunanya.

26. Kerajaan Selangor pernah mengarahkan kesemua anggota MMKN mengisytiharkan aset-aset mereka pada tahun 2009. Walaupun ianya sesuatu yang cukup membanggakan warga Selangor pada masa itu kerana ianya belum pernah dilakukan sebelum ini, tetapi cara pelaksanaannya mash belum kemas.

27. Justeru itu, Kampung Tunku menyaran agar kerajaan menjadikan perkara ini sebagai satu perkara tahunan dan seterusnya menanam budaya ketelusan dalam pentadbiran kerajaan. Skop pengisytiharan juga perlu diperluaskan kepada seluruh penjawat awam Gred 48 ke atas termasuk Ahli-ahli Dewan Negeri. Semua angka perlu diaudit oleh pihak ketiga dan diterbitkan melalui internet bagi tatapan umum. Hanya dengan cara inilah dapat rakyat Selangor berbangga sekali lagi bahawa pemimpin-pemimpin kerajaan adalah betul-betul bersih.

Kadar Fi Untuk Lesen Tred, Perniagaan dan Perindustrian PBT

28. Kerajaan Selangor semasa zaman Barisan Nasional (BN) telah menggubal undang-undang kecil (UUK) baru yang menetapkan kadar fi baru untuk lesen tred, perniagaan dan perindustrian di setiap PBT pada tahun 2007. Difahamkan salah satu perbezaan yang besar antara UUK ini dengan yang sebelumnya ialah pengiraan fi akan dikira berdasarkan keluasan tempat berniaga dan bukannya dikira berdasarkan jenis perniagaan.

29. Kerajaan Selangor PR kemudiannya memutuskan untuk membekukan perlaksanaannya sehingga tahun 2012 apabila pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya cuba melaksanakannya tetapi menerima bantahan daripada sesetengah peniaga kecil. Kampung Tunku terkejut apabila menerima aduan dan kemudiannya menjalankan satu kajian terhadap UUK ini dan pemerhatian Kampung Tunku ialah seperti yang berikut.

30. Pertama, fi yang perlu dibayar untuk sebuah premis industri bergantung kepada sama ada luas tapak industri itu melebihi 500m2 (atau lebih kurang 5382 kaki persegi) atau tidak. Dalam perkataan yang lain, hanya terdapat dua fi yang berbeza dan iaitu sama ada luas tapak melebihi 500m2 atau tidak.

31. Ini bermakna, seseorang yang berniaga di atas tapak seluas 6000 kaki persegi akan membayar fi yang sama banyak dengan seorang yang berniaga di atas tapak seluas 10,000 kaki persegi.

32. Kedua, fi untuk premis perniagaan seperti kedai biasa sebenarnya masih dikira mengikut jenis perniagaan dan bukan mengikut saiz tapak kecuali perniagaan
a. stesyen minyak,
b. kedai runcit, mini market, emporium, supermarket dan,
c. hypermarket sahaja.

33. Untuk stesyen minyak, kiraan dibuat berdasarkan isipadu minyak yang dapat disimpan dalam stesyennya. Semakin banyak isipadunya, semakin mahal fi-nya.

34. Walaupun begitu, fi untuk kedai runcit, mini market, emporium dan supermarket kalau dibandingkan dengan hypermarket mendatangkan banyak kemusykilan. Contohnya, dalam UUK baru, kiraan fi kedai runcit, mini market, emporium dan supermarket dibuat berdasarkan luas tapak seperti berikut:
a. Di bawah 500m2 – RM160
b. Antara 501m2 hingga 1,000m2 – RM360
c. Antara 1,001m2 hingga 2,000m2 – RM600
d. Melebihi 2,000m2 – RM1,000

35. Untuk hypermarket, kiraan fi juga dibuat berdasarkan klasifikasi yang sama, iaitu:
a. Di bawah 500m2 – RM1,000
b. Antara 501m2 hingga 1,000m2 – RM1,500
c. Antara 1,001m2 hingga 2,000m2 – RM600
d. Melebihi 2,000m2 – RM1,000

36. Bagi Kampung Tunku sebagai seorang layman, kedai runcit dan mini market selalunya ialah kedai kecil-kecilan yang beroperasi di tapak seluas 20’ x 70’ (lebih kurang 130m2). Supermarket selalunya ialah premis yang beroperasi atas tapak yang lebih kurang dua hingga tiga saiz kedai runcit. Emporium dan supermarket kadang-kala beroperasi di premis yang melebih 500m2 dan mungkin bertingkat-tingkat. Hypermarket pula beroperasi di tapak lebih kurang sama dengan saiz tapak kilang.

37. Jadi, persoalannya ialah: Di mana wujudnya kedai runcit yang mempunyai keluasan sehingga melebihi 2,000m2? Di mana wujudkan hypermarket yang mempunyai keluasan kurang daripada 500m2?

38. Ketiga, walaupun begitu, salah satu kekurangan yang ketara di dalam UUK 2007 ini, iaitu apabila peniaga yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan di dalam kedainya (untuk memperbanyakkan sumber pendapatan) perlu membayar fi lesen perniagaan untuk setiap satu jenis perniagaan sehingga fi-nya melonjak naik melebihi tiga kali ganda daripada fi lamanya.

39. Kampung Tunku dengan ini menggesa agar kerajaan menentukan satu kadar fi yang lebih menyeluruh, seragam dan adil untuk semua jenis perniagaan di seluruh Selangor, di mana perkara ini harus dipercepatkan kerana PBT akan mengeluarkan peringatan untuk memperbaharui lesen perniagaan tahun 2014 seawal bulan Disember 2013 ini.

Keputusan Mahkamah terhadap Kes Taman Desa Karunmas

40. Kerajaan negeri harus mengambil ikhtibar daripada Keputusan Mahkamah terhadap Kes Taman Desa Karunmas di Balakong dan mengkaji kemungkinan mengambil tindakan mahkamah terhadap pemaju yang tidak membina mengikut spesifikasi seperti yang ditetapkan dalam Kebenaran Merancang walaupun Sijil Kelayakan Menduduk (CFO) telah dikeluarkan.

41. Pada bulan Oktober 2011, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah mendakwa pemaju Taman Desa Karunmas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana gagal membina sebuah benteng pada tahun 2001 di mana kegagalan ini telah menyebabkan tanah runtuh di Jalan Desa Karunmas 7 pada tahun yang berikutnya.

42. MPKj telah mengeluarkan notis tuntutan kepada pihak pemaju pada tahun 2010 dan berunding dengan pihak pemaju. Walaupun begitu, pemaju berdegil dan enggan membina benteng tersebut atas alasan bahawa mereka tidak mempunyai kewajiban untuk berbuat demikian memandangkan PBT sudahpun mengeluarkan CFO kepada pembeli-pembeli rumah.

43. Pembangunan di Taman Desa Karunmas di Balakong ini sebenarnya berlaku pada jarak lebih kurang 1.5 meter daripada sebuah cerun berdekatan. Berikutan tanah runtuh berlaku pada tahun 2002 ini, MPKj terpaksa menanggung RM244,394 sebagai kos penstabilan cerun.

44. Hakim Datuk John Louis O’Hara telah mengeluarkan satu mandatory injunction kepada pemaju untuk menstabilkan cerun tersebut serta-merta dan membina benteng seperti yang disyaratkan dalam kebenaran merancang. Mahkamah juga memerintah pemaju untuk membayar balik kos penstabilan cerun berserta faedah sebanyak 5% kepada MPKj dengan kos guaman sebanyak RM30,000.

45. Kampung Tunku bimbang perkara yang sama mungkin pernah berlaku pada zaman dahulu di PBT-PBT yang lain. Justeru itu, Kampung Tunku bercadang agar kerajaan negeri mengarahkan setiap PBT untuk membuat semakan semula sama ada pernah berlakunya kejadian yang sama sebelum ini.

Masalah Infrastruktur Di Kawasan-kawasan Lama Bandar

46. Tuanku Sultan Selangor dalam titah ucapan baginda juga menyentuh tentang perlunya peruntukan secukupnya untuk tujuan infrastruktur.

47. Bagi tujuan ini, Kampung Tunku menggesa kerajaan untuk memberi perhatian serious terhadap masalah-masalah perparitan dan longkang di kawasan-kawasan lama di kawasan bandar. Hal ini sedemikian kerana kebanyakkan parit di kawasan-kawasan yang lebih daripada 50 tahun memerlukan penambahbaikan malahan penukargantian.

48. Kalau Kerajaan negeri telah menubuhkan “Road Gang” di beberapa PBT untuk menangani masalah lubang jalan tidak lama yang lalu, maka Kampung Tunku mellihat elok juga jika kerajaan negeri atau kerajaan tempatan juga boleh menubuhkan sebuah pasukan tindakan pantas yang khusus menangani masalah longkang dan parit. Barangkali kita boleh menamakannya “Parit Gang”.

49. Buat masa sekarang, jikalau PBT menerima aduan terhadap longkang dan parit yang rosak, maka PBT perlu menyemak sama ada ianya boleh dimasukkan ke dalam kerja-kerja inden untuk tahun ini. Sekiranya peruntukan sudah habis pada tahun ini, maka PBT akan memasukkan projek ini ke dalam bajet tahun yang akan datang. Ini secara tidak langsung akan melambatkan lagi response time PBT dan akhirnya PBT selalu dilihat tidak cekap dalam menyelesaikan masalah rakyat.

50. Selain itu, kerajaan harus mewujudkan satu peruntukan khusus kepada setiap PBT untuk menukar sistem perparitan terbuka kepada sistem perparitan tertutup. Sistem perparitan terbuka ialah sistem perparitan yang paling asas dan telah diguna pakai oleh kebanyakkan PBT untuk satu tempoh yang sangat lama. Walaupun begitu, sistem ini banyak menyebabkan masalah kesesakan parit dan kebersihan bandar sedikit sebanyak berpunca daripada sistem perparitan terbuka ini.

Pengurusan Sisa-sisa Pepejal dan Masalah Kebersihan PBT

51. Kerajaan Selangor mula mengambil alih kerja-kerja pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal daripada Alam Flora sejak tahun 2011. Walaupun kebelakangan ini, prestasi keseluruhan kontraktor-kontraktor lantikan terus PBT sudah bertambah baik, tetapi wakil-wakli rakyat dan ahli-ahli majlis masih menerima aduan terhadap kontraktor yang lemah.

52. Maka sudah sampainya masa untuk Kerajaan Selangor menjalankan satu kajian yang menyeluruh tentang sektor ini. Kajian ini harus meliputi perkara-perkara berikut:
a. Halatuju pengurusan sisa-sisa pepejal di Malaysia serta cara-cara untuk mengatasi cabaran-cabaran yang bakal dihadapi pada masa hadapan.
b. Bayaran seunit yang berpatutan kepada kontraktor. Ianya harus dinilai dari semasa ke semasa untuk memastikan bayaran ini tidak terlalu rendah sehingga kontraktor tidak mampu melaksanakan tugasnya. Ianya harus dibandingkan dengan PBT-PBT lain yang setara supaya ianya tidak terlalu jauh berbeza daripada sebuah PBT ke sebuah PBT yang lain.
c. Sama ada kadar cukai taksiran yang sedia ada cukup untuk menampung kos perlupusan sisa pepejal di kawasan bandar atau tidak. Jika tidak, apakah harga seunit minimum untuk membolehkan perkhidmatan ini dijalankan tanpa sebarang gangguan?
d. Sama ada ianya kos efektif atau tidak sekiranya PBT mengambil alih sebahagian atau sepenuhnya perkhidmatan ini melalui pasukan in-house masing-masing?

53. Kampung Tunku juga menggesa kerajaan untuk mengambil langkah drastik untuk memastikan kerja-kerja pembersihan dan kutipan sisa pepejal ini dilakukan sendiri oleh kontraktor yang dilantik PBT, dan bukannya sub-kontraktor.

54. Untuk kerja-kerja kutipan sampah, Kampung Tunku bercadang PBT tidak harus melantik kontraktor yang tidak memiliki lori-lori sampah mereka. Kontraktor-kontraktor yang menyewa lori-lori sampah pasti tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan sempurna jikalau dibandingkan dengan mereka yang mempunyainya.

55. Kampung Tunku faham tentang dasar kerajaan agar projek-projek perolehan tidak wajar didominasi oleh golongan kontraktor tertentu. Justeru itu, Kampung Tunku bercadang, sekiranya mampu, PBT harus nationalize tugas kutipan sisa-sisa pepejal melalui pasukan in-house masing-masing sementara kerja-kerja pembersihan masih boleh diswastakan kepada kontraktor-kontraktor swasta.

Masalah Perumahan Mampu Milik Di Kawasan Bandar

56. Kampung Tunku juga seringkali menerima aduan daripada pemuda-pemudi bahawa amat sukar untuk mereka memiliki rumah idaman di kawasan-kawasan bandar, khususnya di kawasan-kawasan yang sudah matang seperti Petaling Jaya. Hakikatnya ramai daripada mereka terpaksa membeli rumah di kawasan pinggiran bandar ataupun luar bandar.

57. Fenomena ini pasti akan menjadikan profil penduduk di kawasan lama menjadi semakin tua dan tidak bermaya. Komuniti yang kekurangan orang muda selalunya memperlihatkan kemerosotan komuniti itu.

58. Kerajaan telah memulakan langkah pertama beberapa tahun yang lalu dengan melancarkan program pembaharuan bandar di mana sesetengah kawasan perumahan lama akan dibina semula agar orang muda juga diberi peluang untuk memiliki rumah mereka dengan harga yang berpatutan.

59. Malangnya, pembaharuan bandar ini dijalankan agak perlahan untuk tempoh lima tahun yang lalu. Kampung Tunku berharap, dengan adanya model-model yang berjaya seperti Bukit Botak, Datum Jelatek dan sebagainya, kerajaan negeri akan merancakkan program perumahan mampu milik di kawasan-kawasan bandar.

60. Untuk mengatasi masalah ini, kerajaan harus melalui anak-anak syarikatnya seperti PKNS boleh mencapai matlamat ini melalui reverse-privatising. Jika pada masa dahulu, PKNS sebagai pemilik tanah hanya berfungsi sebagai sleeping partner dalam sesuatu projek usaha-sama (Joint-Venture), tetapi sekarang PKNS harus lebih proktif dan bekerjasama dengan syarikat-syarikat swasta yang mempunyai land bank yang banyak tetapi kekurangan dana.

61. Dengan ini, Kampung Tunku yakin PKNS dapat membina lebih banyak rumah mampu milik pada kadar yang lebih cepat untuk memenuhi keperluan orang muda terhadap perumahan.

Pelaburan Asing, Teknologi Hijau Dan Teknologi Tinggi

62. TItah ucapan Tuanku juga menyentuh tentang kepentingan pelaburan dalam bidang industri berteknologi tinggi dan industri hijau.

63. Justeru itu, kerajaan harus menyediakan lebih banyak insentif untuk menarik lebih ramai pelaburan dalam kedua-dua bidang ini. Kampung Tunku pernah membangkitkan perkara ini dalam sidang DUN yang lepas tetapi maklum balas daripada kerajaan agak sederhana seperti berikut:
“Kerajaan negeri tidak menggariskan strategi khas bagi industri teknologi hijau tetapi kerajaan negeri akan memenuhi setiap insentif yang telah digariskan oleh Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysa (MIDA) sebagai salah satu strategi dalam memperkembangkan lagi sektor perindustrian berasaskan teknologi hijau di negeri ini. Insentif-insentif yang telah disediakan adalah merangkumi insentif pengurusan persekitaran seperti insentif bagi aktiviti kitar semula bahan industri, insentif bagi aktiviti perlupusan sisa toksik industri, insentif bagi pemuliharaan tenaga, insentif bagi aktiviti menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan insentif dari segi duti import dan pengecualian cukai jualan bagi sistem solar.”
64. Dalam dunia perniagaan yang semakin sengit persaingannya, Kampung Tunku khuatir insentif-insentif yang dinyatakan di atas barangkali tidak mencukupi untuk menarik pelabur-pelabur yang benar-benar serious untuk melabur.

65. Sebagai permulaan, industri automobil berasaskan teknologi hijau seperti pembuatan kereta hybrid, kereta fuel cell, NGV, industri berasaskan tenaga solar, industri bio-bahan api seperti biodiesel dan industri teknologi maklumat harus dikategori sebagai industri berteknologi tinggi dan harus diberi perhatian khusus dalam dasar kerajaan.

66. Bukan sahaja pelaburan dalam industri-industri ini yang perlu diberi perhatian khusus, malahan industri-industri sokongan yang mempunyai hubung kait langsung dengan industri-industri di atas juga harus diberi perhatian yang sama berat oleh kerajaan.

67. Banyak dasar yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk menarik mereka. Antaranya ialah konsep factory leasing, fast track approval dalam permohonan permit dan lesen, malahan kerajaan harus mengetahui keperluan para pelabur dan memberi layanan dan bantuan tailor-suit supaya mereka akhirnya memilih Selangor dan bukan tempat-tempat seperti Singapura dan Iskandar.

Pengiktirafan terhadap kaum Ibu yang bekerja

68. Sebagai satu peningkatan kepada dasar wanita yang sedia ada, Kampung Tunku menggesa kerajaan untuk segera merangkakan dasar menggalak penyusuan susu ibu bagi kaum ibu yang bekerja untuk membina keluarga dan masyarakat yang sihat.

69. Walaupun penyusuan susu ibu memberi seribu satu kebaikan tetapi prasangka masyarakat terhadapnya masih menebal dan majikan-majikan secara umum tidak begitu menggalak penyusuan susu ibu. Masalah yang seringkali dihadapi oleh kaum ibu yang bekerja ialah kekurangan kemudahan di tempat bekerja untuk mengepam dan menyimpan susu. Mereka selalunya terpaksa melakukannya di tandas yang tidak bersih dan sempit. Selain itu, mereka juga memerlukan peralatan seperti peti sejuk untuk menyimpan susu untuk mengekalkan kualiti susu.

70. Mungkin perkara ini kecil dan remeh-temeh tetapi Kampung Tunku berpendapat masyarakat yang sihat bermula generasi muda yang sihat dan kuat. Adalah menjadi saranan Kampung Tunku agar kerajaan segera menrangka dasar yang member tumpuan khusus dalam aspek ini seperti memberi rebet cukai pintu atau cukai tanah kepada mana-mana majikan yang menyediakan kemudahan-kemudahan asas seperti yang disebut di atas.

71. Selain itu, PBT juga harus menyediakan ruang awam yang sesuai kepada kaum ibu untuk menyusu bayi dan mengepam susu. Perkara ini diboleh dijadikan sebagai salah satu syarat dalam memberi kebenaran merancang

Pemutihan Kilang Dan Kedai Haram

72. Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengeluarkan lesen sementara kepada pengusaha-pengusaha di bawah Program Pemutihan Industri Tanpa Kebenaran Merancang di Selangor yang diluluskan oleh MMKN pada tahun 2006.

73. Terdapat 7 kawasan yang terlibat dalam program ini di mana kawasan-kawasan ini telahpun diwartakan sebagai kawasan pemutihan bagi tujuan pembangunan semula di Petaling Jaya. Salah satu daripadanya ialah Kampung Baru Sungai Way.

74. MBPJ telah menerima arahan daripada MMKN bahawa Program Pemutihan Industri Tanpa Kebenaran Merancang telah dilanjutkan sehingga ke 31 Disember 2012.

75. MBPJ tidak dapat memproses permohonan daripada pengusaha-pengusaha untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka kerana Program Pemutihan Industri Tanpa Kebenaran Merancang ini dikira telah tamat pada 31 Disember 2012. MBPJ juga tidak menerima arahan yang jelas daripada MMKN sama ada permohonan membaharui lesen perniagaan ini boleh diteruskan atau tidak.

76. MBPJ terpaksa menangguhkan pembaharuan lesen di kawasan-kawasan pemutihan sehingga mendapat arahan daripada MMKN. Kampung Tunku meminta kerajaan membuat keputusan cepat tentang perkara ini.

Pembaharuan Dan Penambahbaikan Dewan

77. Ucapan Kampung Tunku tidak lengkap sekiranya Kampung Tunku tidak menyentuh tentang pembaharuan dan penambahbaikan Dewan Yang Mulia ini.

78. Persidangan Dewan kali bakal menyaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Kerajaan diketuai oleh Ketua Pembangkang. Tahniah diucapkan kepada Ahli Yang Berhormat dari Sungai Burung. Tahniah juga diucapkan kepada Tuan Speaker kerana akhirnya Dewan Negeri Selangor mengikut jejak langkah tradisi Westminster.

79. Kampung Tunku bersetuju dengan cadangan Bukit Antarabangsa untuk memendekkan tempoh notis pemberitahu untuk mengemukakan pertanyaan-pertanyaan mulut dan bertulis. Tempoh 21 hari adalah terlalu panjang.

80. Di Parlimen UK, notis pemberitahu antara tiga hingga lima hari perlu diberi untuk sebarang pertanyaan bertulis dan lisan. Di Australia, wakil rakyat boleh mengemukakan “Questions on Notice” di mana pertanyaan-pertanyaan yang memerlukan jawapan yang teliti dan panjang daripada Menteri boleh dikemukakan pada hari yang sama secara bernotis dan Menteri boleh menjawap pada hari-hari yang seterusnya melalui cara elektronik.

81. Kampung Tunku juga menggesa agar Dewan Yang Mulia ini dapat memainkan fungsi dan peranaannya sebagai penyemak dan pemantau perjalanan cabang eksekutif. Peranan ini tidak dapat berjalan dengan bagus sekiranya Dewan ini tidak dilengkapkan dengan sistem Jawatankuasa Pilihan Khas atau Select Committee yang kuat dan kukuh. Justeru itu, saranan Kampung Tunku ialah setiap satu Rang Undang-Undang yang dikemukakan oleh Eksekutif wajib dipantau dan disemak semula oleh sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan ditubuhkan oleh Dewan Yang Mulia ini.

82. Kampung Tunku juga menyaran agar semua pegawai kerajaan mengemukakan jawapan untuk semua pertanyaan bertulis dan mulut yang tidak sempat dijawap semasa sidang Dewan masih berjalan, bukannya beberapa minggu malahan lebih sebulan sesudah persidangan Dewan. Mana-mana pegawai atau anggota MMKN yang gagal melakukannya harus disiasat oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor ini.

83. Demikianlah ucapan Kampung Tunku ini. Maka Kampung Tunku mohon menyokong usul ini. Sekian, terima kasih.

No comments: