Wednesday, July 03, 2013

Kenyataan Ketua Pembangkang DUN Selangor Tentang Pilihanraya Kerajaan Tempatan Perlu Diperbetulkan

Saya merujuk kepada sebuah laporan media yang diterbitkan oleh MySinChew.com yang bertajuk “Selangor told not to pursue local govt elections” yang diterbitkan pada 2 Julai 2013 di URL http://www.mysinchew.com/node/88259 dan saya memetik laporannya seperti berbunyi berikut:
“Selangor opposition leader Datuk Mohd Shamsudin Lias has asked the Selangor government not to pursue the local government election as it would change the system of government into three entities - federal, state and local governments.
 He said the basis and rationale of the local government election needed to be studied thoroughly, not merely to make changes for the sake of democracy.
"It should bring more benefits than harm to the people," he told reporters at the State Assembly here today.
He said it would also be a sheer waste of public fund if the local government election would eventually be to the detriment of the public and the democratic system.”
Saya berasa kesal dan tidak bersetuju dengan alasan-alasan yang dikemukan oleh Ketua Pembangkang yang baru dipilih ini kerana pemilihan ahli-ahli majlis bukan sesuatu yang baru tetapi ianya pernah berlaku di Malaysia dan Malaya.

Saya juga berpendapat hujah-hujah Ketua Pembangkang sangat lemah. Ketua Pembangkang tidak harus buta sejarah kerana pilihan raya kerajaan tempatan memang sebahagian daripada sejarah kemerdekaan Malaya kerana penjajah British telah menggunakan pilihanraya kerajaan tempatan sebagai platform untuk menyediakan Malaya ke arah kemerdekaan.

Seterusya, adalah silap untuk Ketua Pembangkang yang berhujah seolah-olah kerajaan Pakatan Rakyat akan memecahkan sistem kerajaan di Malaysia kepada tiga peringkat, iaitu peringkat persekutuan, peringkat negeri dan peringkat kerajaan tempatan.

Saya ingin menjelaskan di sini ialah memang sistem kerajaan di Malaysia berbentuk tiga peringkat di mana peringkat yang paling kecil ialah kerajaan tempatan.

Menurut "Report of the Royal Commission of Enquiry into the Working of Local Governments in West Malaysia" yang diketuai oleh Athi Nahappan, kerajaan tempatan sudah mula bertapak dan berfungsi di Pulau Pinang pada tahun 1801 melalui sebuah badan yang dipanggil Majlis Penilai (Council of Assessors). Majlis-majlis tempatan kemudiannya dibentuk di Melaka, diikuti dengan negeri-negeri Melayu yang lainnya sehingga ke Sarawak dan Borneo Utara.

Untuk pengetahuan umum, pihak British bukan sahaja menubuhkan kerajaan tempatan di Malaya, Sarawak dan Borneo Utara, malahan penjajah British telah memperkenalkan pelbagai perundangan seperti Ordinan Pilihan Raya Kerajaan Tempatan 1950 yang memberi kuasa kepada majlis-majlis tempatan untuk menganjurkan pilihan raya. Pada penghujung era penjajahan British, terdapat sejumlah 289 majlis tempatan di Malaya.

Jikalau pilihanraya kerajaan tempatan boleh dilakukan pada masa dahulu, mengapakah sekarang tidak boleh?

Diharap tulisan ini dapat memperbetulkan sebarang salah faham yang tertimbul berikutan hujah Ketua Pembangkang DUN Selangor ini.

No comments: