Saturday, July 06, 2013

Ucapan Penangguhan: Kerajaan Selangor harus mengambil langkah-langkah bersesuaian untuk menyelesaikan masalah hakmilik tanah tempat letak kereta (TLK) Apartmen Sea Park, Jalan 21/13, Petaling Jaya secepat mungkin

Saya telah membentangkan satu ucapan penangguhan pada 5 Julai 2013 di Dewan Negeri Selangor untuk membawa isu hakmilik tanah tempat letak kereta Sea Park Apartmen. Pihak kerajaan yang diwakili oleh EXCO Perumahan, YB Iskandar Samad telah menjawab dan berjanji akan membantu penduduk-penduduk Apartmen Sea Park untuk menyelesaikan masalah ini.

Berikut ialah pemberitahu saya kepada Tuan Speaker berkenaan dengan ucapan ini:

----- 

28 Jun 2013

YB Hannah Yeoh Tseow Suan 
Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor, 
Pejabat Tuan Speaker, 
Tingkat 1, Bangunan Annex, 
Dewan Undangan Negeri Selangor, 
40680 Shah Alam, Selangor.
Telefon: 03-5544 7621, 03-5519 2475 
Faks: 03-5519 3302 

YB Tuan Speaker,

Pemberitahu Untuk Memohon Kebenaran Ucapan Penangguhan Mesyuarat Akhir Persidangan Di Bawah Peraturan Tetap 16(2)

Saya selaku ADUN Kampung Tunku dengan ini menyampaikan satu pemberitahu untuk memohon kebenaran ucapan penangguhan mesyuarat akhir persidangan di bawah Peraturan Tetap 16(2) pada 5 Julai 2013, di mana isi kandungan ucapan adalah seperti yang berikut:

“Kerajaan Selangor harus mengambil langkah-langkah bersesuaian untuk menyelesaikan masalah hakmilik tanah tempat letak kereta (TLK) Apartmen Sea Park, Jalan 21/13, Petaling Jaya secepat mungkin.

“Perbadanan Pengurusan Apartmen Sea Park di Jalan 21/13, Petaling Jaya pada ini telah menerima surat daripada tuanpunya tanah tempat letak kereta apartmen tersebut yang mengarahkan penduduk-penduduknya menyerahkan pemilikan kosong keempat-empat bidang tanah ini kepadanya.

“Tanah yang menempatkan TLK Sea Part Apartmen sejak tahun 1980 ini sebenarnya dipecahkan kepada empat bidang tanah yang berasingan dan didaftarkan di bawah Nombor Geran 39967 (Nombor Lot 22713), Nombor Geran 39971 (Nombor Lot 22717), Nombor Geran 39972 (Nombor Lot 22718) dan Nombor Geran 39973 (Nombor Lot 22720).

“Masalah pertama ialah tanah-tanah ini sebenarnya mengelilingi enam blok apartmen mereka. Ini bermaksud setiap kali penduduk-penduduk melangkah keluar dari blok mereka, mereka dianggap telah menceroboh tanah orang lain.

“Masalah kedua ialah sekiranya tanah-tanah ini diambil balik oleh pemiliknya, di manakah penduduk-penduduk hendak meletakkan kenderaan mereka?

“Carian daripada Pejabat Tanah dan Daerah Petaling menunjukkan sehingga ke tahun 2008, keempat-empat keeping tanah ini masih dipegang oleh pihak pemaju, iaitu Sea Housing Sdn. Bhd. Pada tahun 2008, pihak pemaju telah memindah hakmilik keempat-empat tanah ini kepada seorang individu bernama Yap Say Tee.

“Apartmen Sea Park ialah sebuah apartmen yang dibangunkan pada tahun 1980, iaitu sebelum Akta Hak Milik Strata 1985 (Akta 318) dikuatkuasakan.

“Persoalannya ialah mengapakah kerajaan pada masa itu tidak meminta pemaju menyerah balik segala harta awam (common properties) termasuk keempat-empat bidang tanah ini kepada pihak pengurusan apartmen atau kerajaan?

“Mengapakah kerajaan pula meluluskan pemindahan milik tanah ini daripada pemaju kepada seorang individu yang lain tanpa menjalankan siasatan dan pemeriksaan terhadap masalah ini?

“Adakah kesilapan ini berlaku kerana apartmen ini dibina sebelum Akta 318 berkuatkuasa? Sekiranya betul, bagaimana kerajaan dapat memperbetulkan situasi ini sekarang?
 “Adakah kerajaan Selangor boleh mengambil balik tanah ini sekarang untuk menjada kepentingan penduduk-penduduk Apartmen Sea Park? Jika ya, apakah prosidurnya?
 “Apapun sekali, kerajaan Selangor harus campur tangan dan menyiasat perkara ini serta menyelesaikannya sebelum pemilik tanah memulakan tindakan mahkamah terhadap penduduk-penduduk yang tidak berdosa.”
Sekian, terima kasih.

Yang benar,

YB Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: