Monday, May 22, 2017

Ahli MMKN PAS di kerajaan Selangor perlu letak jawatan

Kenyataan Media ADUN DAP Kawasan Kampung Tunku, Selangor, Lau Weng San pada 22 Mei 2017 di Petaling Jaya:

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) perlu meletakkan jawatan apabila mereka memutuskan tahaluf siyasi (hubungan kerjasama politik) dengan PKR. Keputusan PAS ini bermaksud bahawa mereka tidak ada lagi kerjasama politik dengan satu-satunya rakan tunggal dalam Pakatan Harapan.


Apabila PAS tidak berhasrat untuk bekerjasama dengan DAP mahupun PKR, jauh sekali dengan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), maka boleh dikatakan bahawa PAS mengambil keputusan untuk tidak lagi menjunjung dasar-dasar yang dipersetujui bersama sejak tahun 2013. 

Sekiranya begitu, maka perkara yang paling berhemah dan bermaruah yang mesti dilakukan PAS ialah untuk mengarahkan kesemua Ahli MMKN, Ahli Majlis dan Ketua Kampung dan AJK JKKK untuk melepaskan jawatan sebagai tanda bahawa parti itu tidak menjalin kerjasama dengan PKR lagi.


Kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehin Mukhyi bahawa Ahli MMKN PAS Selangor perlu dikekalkan dalam jawatan masing-masing untuk memastikan Parti DAP tidak melakukan “kerja jahat” juga tidak berasas.

Malahan saya telah menunggu lebih daripada seminggu samada beliau atau mana-mana pimpinan PAS di Selangor mahupun pusat boleh memberi penjelasan terhadap apakah kerja-kerja jahat yang pernah dilakukan oleh DAP di Selangor bermula tahun 2008 sehingga sekarang?


Maka adalah jelas bahawa setelah sekian lama menunggu dan tiada penjelasan selanjutnya, maka alasan ini memang tidak berasas. Justeru itu, PAS beralih kepada alasan-alasan yang lain, contohnya bahawa perlantikan Ahli MMKN ialah kuasa DYMM Sultan Selangor.

Tindakan PAS Selangor yang bertolak dalih ini bagaikan hendak menggunakan institusi DiRaja sebagai alat untuk melindungi kepentingan politik PAS dan perkara ini kurang profesional dan tidak jujur.

PAS harus maklum bahawa Ahli-ahli MMKN di setiap negeri dilantik oleh DYMM Raja-Raja Melayu atau TYT negeri masing-masing atas nasihat Menteri Besar atau Ketua Menteri.

PAS juga harus diingatkan tentang insiden pemecatan enam orang EXCO kerajaan Selangor pada tahun 2014 atas nasihat Menteri Besar pada masa itu, iaitu Tan Sri Khalid Ibrahim apabila beliau dipecat daripada PKR dan tidak sehaluan lagi dengan PKR.

Sememangnya, Ahli MMKN PAS Selangor harus meletakkan jawatan kerana terputusnya tahaluf siyasi antara PAS dengan PKR juga bermaksud PAS tidak lagi mendukung mandat dan aspirasi rakyat Selangor yang mahukan ketiga-tiga parti iaitu PKR, PAS dan DAP untuk membentuk kerajaan Selangor berdasarkan manifesto Pakatan Rakyat Selangor pada tahun 2013. Ianya juga boleh dimaksudkan bahawa parti itu tidak lagi menyokong kepimpinan Dato’ Menteri Besar Selangor YAB Dato’ Seri Azmin Ali. 

Maka mengikut logik, rasional dan lunas politik, bukan sahaja Ahli MMKN PAS Selangor perlu meletakkan jawatan masing-masing, malahan Ahli-ahli Majlis, Ketua-ketua Kampung serta Ahli-ahli Jawatankuasa JKKK daripada PAS Selangor juga harus melepaskan jawatan masing-masing kerana jawatan-jawatan ini dilantik oleh Dato’ Menteri Besar.

Lau Weng San
ADUN Kampung Tunku

No comments: