Tuesday, March 29, 2011

Bank data tanah

[Ucapan (4) Menjunjung Kasih Titah DYMM Sultan Selangor oleh ADUN Kampung Tunku Lau Weng San pada 29 Mac 2011 di Shah Alam]

Tuanku menyebut tentang pewujudan bank data tanah untuk memudahkan pengurusan di samping merancang pembangunan setara di seluruh Selangor. Saya berpendapat bahawa kita tidak boleh berangan bahawa masalah tanah di Selangor dapat diselesaikan hanya dengan penubuhan bank data tanah ini sahaja. Masih terdapat banyak yang perlu dilakukan.

Pertama sekali, saya ingin mencadangkan supaya satu mesyuarat atau jawatankuasa yang mirip kepada Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) perlu diwujudkan di peringkat PTD khas untuk menguruskan urusan tanah yang dibawa oleh para wakil rakyat.

Buat waktu sekarang, Mesyuarat Tindakan Daerah yang diadakan sebulan sekali adalah terlalu panjang dan melibatkan banyak jabatan dan agensi kerajaan. Cadangan saya ialah jawatankuasa ini perlu diwujudkan untuk:

1. Membolehkan wakil rakyat mengikuti isu-isu tanah yang berlaku di kawasannya.
2. Menangani masalah-masalah premium yang dihadapi oleh rakyat di kawasannya.
3. Menangani permohonan penukaran status guna tanah atau pemutihan kilang haram di kawasannya.

Malahan banyak lagi peranan yang boleh dimainkan oleh wakil rakyat dalam jawatankuasa ini. Terdapat yang khuatir bahawa wakil rakyat mungkin menyalahgunakan kuasanya untuk mendapat tanah dan ahli keluarganya. Kita tidak harus lupa bahawa kerajaan Pakatan Rakyat sejak dari awal lagi menetapkan bahawa wakil rakyat dengan ahli-ahli keluarganya tidak boleh mendapat walau sebidang tanah pun daripada kerajaan negeri.

Pembaharuan bandar

Pembaharuan bandar yang dimulakan oleh kerajaan perlu disemarakkan lagi. Saya difahamkan bahawa kerajaan bercadang untuk menjalankan pembaharuan bandar di Petaling Jaya dengan membina “PJ Elevated City”.

Saya difahamkan bahawa PJ Elevated City ini akan melibatkan pembinaan asrama untuk pekerja-pekerja asing sekitar Kawasan Industri Bebas Sungai Way (Sungai Way FIZ). Saya mengalu-alukan cadangan ini tetapi butiran-butirannya masih belum diumunkan kepada semua.

Masalah-masalah sosial dan pembangunan yang dihadapi Kampung Baru Sungai Way yang menempatkan kira-kira 14,000 pekerja asing dan 200 buah rumah yang telah ditukar syarat guna bangunan kepada asrama merupakan masalah yang semakin meruncing. Sudah sampai masa untuk kerajaan mengambil inisiatif untuk memperbetulkan keadaan di kampung baru ini.

No comments: