(Oleh Wartawan Sinar Harian)
TEMERLOH - Pertama kali menjejakkan kaki di Temerloh, penulis terpegun dengan keindahan bandar ikan patin ini.
Masakan tidak, bandarnya terletak sepanjang Sungai Pahang, bahkan rumah yang kami diami di sini juga menghadap keindahan sungai terpanjang di Semenanjung itu.
Sepanjang jalan Temerloh-Jerantut juga tidak kalah dengan restorannya, menyajikan masakan terkenal, bahkan sesuai dengan ikon Temerloh.
Ikan Patin masak tempoyak. Itu yang menjadi juadah kami sepanjang enam hari membuat liputan pilihan raya kecil (PRK) di sini.
Setibanya di Kerdau, sepanjang jalan diwarnai dengan bendera dan poster parti bertanding iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pas.
Begitu juga di Felda Jengka 22, 23 dan 25. Sesuai dengan suasana pilihan raya.
Tetapi apa yang memeranjatkan, sejak enam hari di sini, kami tidak mengetahui bahawa suasana ibarat pekan di jalan utama di Kerdau itu bukan pekan Kerdau yang sebenarnya.
Rupa-rupanya pekan Kerdau ‘tersembunyi’ di sebalik pembangunan di sepanjang jalan utama.
Semalam, ketika penulis membuat temu janji untuk menemu bual calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, penulis terus pedih mata.
Bangunan kedai di situ kelihatan amat naif!
Rupa-rupanya, itulah pekan Kerdau yang sebenar. Lokasinya, 2 kilometer dari jalan besar.
Struktur binaannya merupakan binaan asal, iaitu kayu yang tidak diketahui berapa usianya yang berkemungkinan telah wujud ketika zaman Jepun menjajah Tanah Melayu.
Jika berlaku kebakaran, penulis boleh memberi jaminan, dalam masa lima minit, pekan ini akan musnah dan hanya tinggal nama.
Penulis bukan berniat untuk memburukkan keadaan kehangatan PRK di sini, tetapi, penduduk di sini perlukan keselesaan bagi memudahkan kerja seharian.
Di sini hanya ada Klinik Desa dan Balai polis Kerdau. Jika mahu ke bandar Temerloh, lebih kurang 22 kilometer perlu dilalui, iaitu hampir 30 minit untuk melakukan urusan harian.:
Bil elektrik, bil telefon dan bermacam-macam bil lagi perlu dibayar di Temerloh. Memang benar boleh bayar menggunakan internet tetapi kebanyakan yang tinggal di pekan Kerdau ini warga emas.
Prasarana yang di sediakan di sini juga dilihat kurang memuaskan, biarpun tersedia taman permainan, tetapi ia tidak diselenggara. Di mana pihak berkuasa tempatan di sini? Adakah terlepas pandang? Itu persoalan yang timbul.
Di pekan Kerdau ini juga tersedia hentian kereta api Stesen Kerdau, laluan Mentakab-Kuala Krau. Cukup menarik kerana bukan semua tempat di sini dapat dihubungkan dengan laluan kereta api.
Penduduk setempat yang ditemui meluahkan apa yang terbuku di hati untuk sekian lama.
Ibarat tidak percaya, hakikatnya bukan mimpi. Penduduk di sini memang amat mengharapkan pekan Kerdau dibangunkan.
Penduduk juga menaruh harapan agar mana-mana calon yang memenangi PRK di sini sama ada Pas mahupun BN, wakil rakyat tersebut perlu memastikan pekan Kerdau membangun dan dikenali seindah namanya.
No comments:
Post a Comment