Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:
Semakan kehakiman yang difailkan oleh Alam Flora Sendirian Berhad (AFSB) yang mencabar keputusan kerajaan negeri meminta semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih kerja-kerja pembersihan ialah satu tindakan berniat jahat dan bertujuan mengagalkan usaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan yang lebih baik kepada pembayar cukai.
AFSB merupakan sebuah syarikat yang telah diberi konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan perbandaran oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini di negeri Selangor. Tujuannya adalah untuk mengambil alih tugas-tugas pengurusan sampah dan pembersihan perbandaran daripada PBT kepada sebuah syarikat swasta agar kualiti perkhidmatan dapat dipertingkatkan.
Malangnya, disebabkan tugas-tugas ini dipusatkan ke tangan sesebuah syairkat sahaja, iaitu AFSB dan bukan melalui tender terbuka, maka dalam keadaan kekurangan persaingan sihat, prestasi AFSB semakin merosot. Walaupun banyak aduan telah diterima oleh PBT terhadap AFSB ddan kontraktor-kontraktornya sejak 2008, AFSB seringkali memberi alasan bahawa banyak PBT di Selangor yang gagal menjejaskan bayarannya, sekaligus menjejaskan prestasi kewangan AFSB dan kontraktor-kontraktor yang dilantiknya.
Biarpun begitu, kualiti perkhidmatan AFSB di PBT-PBT yang menjelaskan bayaran kepada AFSB tepat waktu juga seringkali dipertikaikan. Ini berlaku kerana kerajaan negeri dan PBT tidak memainkan apa-apa peranan dalam pemilihan kontraktor-kontraktor AFSB. PBT-PBT selalunya hanya menjadi tukang bayar sahaja yang tidak memainkan sebarang peranan dalam perlantikan dan pemilihan kontraktor.
Ini menyebabkan ramai kontraktor yang tidak berdaya saing, khususnya mereka yang pernah berkhidmat dengan kerajaan lama terus dilantik. Ada pula mereka yang dilantik ini memberi kontrak kepada orang lain di mana mereka akan mendapat komisyen daripada sub-kontraktor. Sudah tentu sub-kontraktor tidak mampu memberi perkhidmatan yang baik apbila keuntungan yang mereka sepatutnya raih dikurangkan disebabkan sistem tender yang tidak telus ini.
Kerajaan negeri telah memutuskan supaya kerja-kerja pembersihan diuruskan sendiri oleh PBT manakala AFSB masih kekal menguruskan kutipan sisa-sisa pepejal. Keputusan ini adalah berpatutan. Jika AFSB tidak dapat menjalankan tugas mereka dengan baik, mengapa ianya pula tidak diserah balik kepada PBT melalui tender terbuka?
Melalui cara ini, semua kontraktor yang berminat perlu mengemukakan permohonan mereka melalui tender terbuka dan keputusan akan dilakukan oleh Jawatankuasa Tender dan Sebut Harga. Keputusan jawatankuasa ini perlu dibentangkan di mesyuarat penuh bulanan PBT. Semua ini dilakukan dengan cara terbuka dan orang ramai berhak mendapat maklumat lan jutan melalui Enakmen Kebebasan Maklumat.
Oleh itu, kerajaan negeri harus mencabar semakan kehakiman yang difailkan oleh AFSB dan pada masa yang sama mengarahkan semua PBT untuk segera mengambil alih kerja-kerja pembersihan dan mempelawa kontraktor-kontraktor yang berdaya saing untuk membida kerja-kerja ini.
No comments:
Post a Comment