Monday, July 11, 2011

Kerajaan Persekutuan masih boros dalam perbelanjaan

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan wang rakyat sebanyak RM2.8 juta untuk lawatan-lawatannya ke Amerika Syarikat, Australia dan United Kingdom. Bermula tahun 2006 hingga 2010, kerajaan persekutuan membayar wang sejumlah RM4900 juta untuk membiayai bil air, bil elektrik, sewa dan bil penyelengaraan. Kalau perbelanjaan ini dipecah mengikut item, maka kerajaan persekutuan membayar sewa sebanyak RM3.3 juta kepada Perbadanan Pengurusan Putrajaya, kos penyelenggaraannya pula mencecah RM3.6 juta. Apa yang lebih dahsyat lagi, dalam tempoh lima tahun ini, kerajaan menanggung bil air sebanyak RM2 juta dan bil elektrik sebanyak RM10.3 juta, iaitu bil air sebanyak RM33,000 sebulan dan RM 171,000 sebulan!

Kerajaan persekutuan juga RM50 juta diperuntukkan untuk menjalankan projek “Myemail”. Projek ini diberi kepada sebuah syarikat yang bermasalah, iaitu Tricubes Berhad, sebuah syarikat GN3. Mengikut takrifan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), takrifan syarikat GN3 ialah “A company designated as an Affected Listed Company because its poor or adverse financial condition and level of operations fall into the criteria described in Bursa Malaysia's Guidance Note 3.”

Petronas mencapai keuntungan sebanyak RM63 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2011, peningkatan sebanyak 38.5% berbanding tahun kewangan yang lalu. Dividen yang dibayar kepada kerajaan persekutuan ialah RM30 bilion. Subsidi petrol dan diesel diambil balik dan dikatakan kerajaan akan menjimatkan wang berbilion-bilion ringgit.

Kenaikan gaji guru yang diumumkan pada Mei yang lalu pula hanya memanfaatkan 5% daripada guru-guru yang terlibat. Manakala 400,000 guru yang lain langsung tidak menerima manfaat daripada kenaikan pangkat dan gaji guru-guru ini. Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin pula meminta guru-guru “bersabar”.

Kesemua ini menunjukkan bahawa slogan “Rakyat Diutamakan, Pencapaian Diutamakan” oleh Barisan Nasional hanya kata-kata kosong sahaja. “Satu Malaysia” kini sudah bertukar menjadi “Sapu Malaysia”, iaitu “Sapu Kontrak, Sapu Tender, Sapu Projek, Sapu Malaysia.”

No comments: