Monday, July 11, 2011

Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) semakin rancak

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:

Pakatan Rakyat Selangor memulakan konsep pentadbiran kerajaan negeri dengan berlandaskan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) mulai tahun 2008.

Keuntungan Kumpulan Semesta Sendirian Berhad (KSSB) telah mencecah RM24 juta pada tahun 2010. Secara keseluruhan, keuntungan keseluruhan yang diperolehi oleh kerajaan melalui aktiviti perlombongan pasir sudah sampai melebihi RM40 juta. Oleh itu, kerajaan telah melancarkan program “Jom Pergi Shopping Bersama ADUN”. Harapan saya ialah pelaksanaan ini boleh diringkaskan dengan hanya memberi kupon secara langsung kepada mereka.

Rizab kerajaan negeri bertambah. Mengikut apa yang dibacakan tandi oleh YAP Menteri Besar, rizab kerajaan hanya berjumlah RM400 juta pada tahun 2008. Kini sudah melebihi RM1 billion. Kalau dikira juga wang yang dibelanjakan melalui pelbagai program MES yang dinilai kira-kira RM600 juta, maka peningkatan rizab kerajaan sejak 2008 sudah sampai ke paras RM1.2 bilion.

Bagi tempoh tiga bulan yang pertama pada tahun 2011, Selangor merekodkan nilai pelaburan asing tertinggi sebanyak RM150.1bilion, diikuti dengan Pulau Pinang, iaitu RM99.1bilion dan Johor RM76.6bilion. 59 pelaburan telah diluluskan di Selangor di mana 43 daripadanya ialah pelaburan baru dan 16 yang lain ialah pelaburan lama.

Saya turut mengucapakan syabas kepada kerajaan negeri kerana sekali lagi mendahului kerajaan pusat dalam pembinaan rumah mampu milik kepada golongan muda berumur 35 tahun dan ke bawah yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan.

Rumah-rumah yang akan dijual di antara RM69,000 hingga RM100,000 akan dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan syarikat-syarikat pemaju swasta yang bersetuju untuk menyertai program ini. Sehingga kini kerajaan negeri telah mengenalpasti enam lokasi untuk membina skim rumah mampu milik di seluruh Selangor.

Ini merupakan perkembangan yang cukup bermakna. Apabila Pakatan Rakyat sudah mampu mempelopori malahan mula membina rumah mampu milik di Selangor dengan harga yang lebih murah, kerajaan persekutuan baru mengorak langkah untuk membina rumah sebegini dengan harga yang jauh lebih mahal, iaitu RM220,000.

Saya berharap lebih banyak skim sebegini dibina di kawasan-kawasan bandar supaya golongan miskin bandar juga mempunyai peluang untuk menduduki rumah mampu milik yang diusahakan oleh kerajaan. Contohnya ialah projek “PJ Elevated City” yang sekarang ini masih dalam tahap perancangan konsep. Saya pasti jikalau rumah mampu milik boleh diserap sebagai sebahagian daripada “PJ Elevated City” ini, ianya pasti akan memanfaatkan orang muda dan golongan miskin yang masih tidak mempunyai rumah sendiri di sekitar Sungai Way dan Seri Setia.

Kita juga tidak lupa bahawa kerajaan negeri berjaya membangunkan semula projek perumahan Bukit Botak yang telah begitu lama terbengkalai. Kini projek ini akan disambung semula oleh PKNS dan dijangka akan siap sepenuhnya pada pertengahan 2012. Sebanyak 1422 buah rumah teres setingkat akan dibina dan ianya akan menelan belanja sebanyak RM2.16 bilion dimana RM790 juta ditanggung oleh PKNS sendiri. Berita baik ini ditambah lagi dengan peruntukan RM9.7 juta untuk membaiki lif-lif yang rosak di rumah pangsa kos rendah di bawah Skim Bantuan Baikpulih Negeri Berkebajikan.

Skim yang dilancarkan ini memang bertujuan murni untuk membantu rakyat miskin tetapi kerajaan juga perlu menerap nilai-nilai seperti berdikari di kalangan penduduk rumah pangsa kos rendah. Penduduk-penduduk rumah pangsa tidak harus terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan untuk menyelesaikan masalah di tempat mereka. Oleh itu, adalah bijak bahawa kerajaan hanya membiayai 80% daripada perbelanjaan keseluruhannya dan selebihnya dibiayai oleh penduduk ini. Saya berharap sumbangan kerajaan akan berkurangan dari semasa ke semasa sehingga ke 50% dan selebihnya akan ditanggung oleh penduduk sendiri.

No comments: