Monday, July 11, 2011

Jabatan Kerja Raya (JKR) harus berusaha untuk menyelenggara jalan-jalan di sekitar Teluk Gong dan Pulau Indah

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:

Teluk Gong dan Pulau Indah merupakan tumpuan para pelabur dari dalam dan luar negara berikutan kedudukannya yang berdekatan dengan Pelabuhan Barat. Banyak syarikat-syarikat pengangukutan dan logistik turut menubuhkan bengkel, depoh dan pejabat urusan mereka di sekitar Teluk Gong dan Pulau Indah.

Teluk Gong juga merupakan salah satu tumpuan peminat-peminat makanan laut dari seluruh Selangor di mana pada setiap hari minggu, restoran-restoran makanan laut di Teluk Gong pasti penuh dengan peminat-peminat makanan laut.

Oleh itu kerajaan harus memberi tumpuan khas kepada pembangunan infrastruktur di Teluk Gong dan Pulau Indah. Tempat-tempat ini pada dahulunya terdiri daripada perkampungan-perkampungan tradisi dan tanah-tanah pertanian. Kini Teluk Gong dan Pulau Indah telah bertukar wajah baru dengan pembangunan kilang-kilang pemprosesan dan pengeluaran.

Setiap hari ribuan kenderaan berat keluar masuk kawasan-kawasan ini dan oleh sebab itu, keadaan jalan-jalan utama di kawasan ini yang kebanyakkannya merupakan jalan-jalan di bawah pemantauan JKR, selalu rosak dan tidak diselenggara dengan betul.

Kerajaan juga harus berusaha untuk memutihkan kilang-kilang haram yang beroperasi di tanah-tanah pertanian di kawasan ini di mana kerajaan boleh meminta pemilik-pemilik kilang di kawasan ini membayar fi infrastruktur untuk menyelenggara jalan-jalan yang dirosakkan oleh kenderaan-kenderaan.

Sementara itu, kerajaan juga harus mendesak kerajaan persekutuan untuk menyelenggara mana-mana jalan persekutuan yang terletak di bawah penjagaan JKR Pusat. Kegagalan JKR Pusat untuk memantau dan menyelenggara jalan-jalan persekutuan ini telah menyebabkan keadaan jalan yang memang sudah teruk di kawasan ini bertambah lebih serious lagi.

Satu lagi cara yang boleh diambil oleh kerajaan ialah meluluskan satu peruntukan khas bagi menyelenggara jalan-jalan dan infrastruktur-infrastruktur yang lain di kawasan ini. Kerajaan selepas ini boleh memasukkan caj ini dalam premium atau cukai taksiran mana-mana pekilang yang berjaya diputihkan.

Cadangan ini dibuat semata-mata kerana kedudukan Teluk Gong dan Pulau Indah yang strategik. Kalau kerajaan menunggu semua kilang diputihkan dan membayar fi-fi penyelenggaraan yang sepatutnya dibayar, ianya akan mengambil masa yang sangat lama. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kilang-kilang di kawasan ini masih belum mendapat Sijil Layak Menduduki kerana masih belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Bomba, sekaligus melambatkan sebarang usaha untuk mempertingkatkan infrastruktur-infrastruktur di kawasan ini.
Teluk Gong dan Pulau Indah memainkan peranan dan fungsi yang sangat penting dalam menarik pelaburan asing dan domestik ke negeri Selangor. Untuk kepentingan ekonomi Selangor, adalah wajar kerajaan negeri memberi tumpuan khas kepada masalah-masalah infrastruktur di kawasan ini.

Saya juga menggesa supaya memantau penggunaan peruntukan Marris supaya kita tidak dituduh oleh kerajaan pusat bahawa kita menyalahgunakan wang ini seperti yang dituduh oleh Menteri Kerja Raya YB Shaziman Mansor.

Saya juga menggesa supaya kerajaan negeri memantau dengan betul-betul prestasi kewangan di majlis-majlis daerah di seluruh Selangor kerana kesuntukan peruntukan kewangan sudah menjadi satu masalah yang serious di PBT-PBT ini. Saya meminta kerajaan memberi peruntukan khusus dalam mana-mana perbekalan tambahan untuk pembangunan infrastruktur di PBT-PBT ini supaya masalah infrastruktur di tempat-tempat ini boleh diselesaikan secepat mungkin.

Oleh itu saya mengalu-alukan audit khas yang dijalankan oleh kerajaan negeri terhadap semua kontrak yang diberikan kepada kontraktor pembersihan di bawah Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS). Ini perlu bagi mengenal pasti punca kelewatan serta melihat sama ada tuntutan pembayaran tersebut dibenarkan menurut garis panduan sedia ada.

Melalui semakan awal yang dilakukan, kerajaan negeri mendapati MDKS telah meluluskan perbelanjaan melebihi dari had yang dibenarkan. Ini kerana, kerajaan negeri hanya membenarkan MDKS membelanjakan sejumlah RM3.2 juta untuk kerja-kerja pembersihan seperti yang diputuskan pada 2007.

Sememangnya semakan-semakan seperti ini perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan wang rakyat dibelanjakan dengan sebaik-baiknya.

No comments: