Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membahas Enakmen Perbekalan Tambahan (No. 2) 2011 pada 11 Julai 2011 di Shah Alam:
Unggun Bersih
Semakin lara kita didera bara,
kita laungkan juga pesan merdeka,
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.
Lama resah kita – demokrasi luka;
lama duka kita – demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!
Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.
Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.
Oleh: A Samad Said, Sasterawan Negara
Dua hari yang lalu, Rakyat Malaysia sekali lagi mencipta sejarah telah berarak secara aman pada 9 Julai 2011. Perarakan kali ini bertujuan untuk mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk melaksanakan lapan tuntutan pembaharuan pilihanraya, iaitu:
1. Bersihkan senarai undi
2. Menreformasi undi pos
3. Guna dakwat kekal
4. Masa kempen minima 21 hari
5. Akses media yang bebas dan adil
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor
Malangnya, SPR berkali-kali bertolak dalih dengan penganjur perarakan raksasa kali ini, iaitu Bersih 2.0 dengan menggunakan pelbagai alasan kononnya SPR tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk mengkaji pelaksanaan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Bersih 2.0 ini.
Sehingga ke saat-saat terakhir apabila SPR mula menghadapi tekanan kuat daripada Bersih 2.0 dan warga Internet kerana berlengah-lengah dalam melaksanakan pembaharuan dalam sistem pilihanraya, barulah SPR mula tunduk dan berkata ingin berbincang dengan Bersih 2.0 dengan harapan agar perarakan ini akan dapat dipatahkan.
Memang pihak berkuasa ingin mematahkan perarakan ini. Bermula dengan tuduhan-tuduhan berbau perkauman bahawa Bersih 2.0 dipimpin oleh seorang wanita berkaum India beragama Hindu, diikuti dengan tuduhan bahawa Bersih 2.0 diperalatkan untuk menghidupkan semula fahaman komunis, sekaligus menyebabkan penyokong-penyokong Bersih 2.0 daripada Parti Sosialis Malaysia ditahan sehingga sekarang, sehingga ke cerita-cerita dongeng ciptaan UMNO dan BN seperti penemuan senjata-senjata seperti parang, molotov cocktail malahan senapang oleh Polis, pihak berkuasa cuba menyekat perarakan ini melalui pelbagai tomahan dan fitnah yang dilancarkan secara bertubi-tubi terhadap Bersih 2.0.
Tujuan mereka hanya satu, iaitu cuba menakut-takutkan rakyat dengan cerita-cerita suratkhabar lama mereka supaya rakyat akan takut dan tidak akan keluar menyokong perarakan ini. Lebih dahsyat lagi, Pemuda UMNO dan Perkasa pula ingin mengagalkan perarakan ini dengan laungan “pertempuran”. Perkasa yang ekstremis mengugut masyarakat Tionghua untuk menyimpan makanan yang mencukupi dan tidak keluar ke mana-mana pada 9 Julai.
Agak-agaknya, mereka telah lupa bahawa Malaysia hari ini bukan lagi Malaysia pada zaman 1970-an. Cerita-cerita dongeng seperti ini tidak laku pada abad ke-21. Rakyat berbilang kaum telah keluar beramai-ramai untuk menyokong kesemua tuntutan Bersih 2.0.
Hakikatnya ialah perarakan Bersih 2.0 ini sebenarnya tidak diperlukan, jikalau SPR betul-betul melaksanakan kesempat-empat tuntutan Bersih 1.0 seperti yang berikut:
1. Bersihkan senarai undi
2. Menreformasi undi pos
3. Guna dakwat kekal
4. Akses media yang bebas dan adil
Keempat-empat tuntutan Bersih 1.0 ini merupakan tuntutan yang ringkas dan senang difahami. Malahan SPR pernah member respons terhadap tuntutan yang ketiga sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, iaitu penggunaan dakwat kekal.
Malangnya, sikap flip-flop kerajaan tertonjol sekali lagi apabila SPR membatalkan penggunaan dakwat kekal pada saat-saat terkahir menjelang hari pengundian PRU-12. Akibatnya jutaan wang ringgit dibazirkan untuk membeli dakwat kekal yang tidak pernah diguna sehingga sekarang.
Beberapa hari yang lalu, saya terbaca sebuah rencana yang diterbitkan di dalam media cetak aliran utama yang mempersoalkan kewajaran perarakan Bersih 2.0 ini memandangkan masih banyak masalah seperti masalah sampah, longkang, jalan dan lain-lain yang masih belum diselesaikan.
Memang betul perarakan Bersih 2.0 tidak menyelesaikan masalah-masalah ini. Bukan begitu sahaja, bahkan perarakan ini juga tidak akan menyelesaikan masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh PBT dan Kerajaan Negeri. Walaupun begitu, masalah-masalah ini mustahil akan diselesaikan jikalau wakil rakyatnya dipilih melalui pilihanraya yang tidak adil dan tidak bersih.
Cuba bayangkan wakil rakyat siapakah yang sudi bertungkus-lumus menyelesaikan masalah-masalah ini jikalau beliau boleh menang dalam pilihanraya melalui cara yang tidak bersih? Kalau seseorang boleh menang dalam pilihanraya hanya dengan membeli undi, maka apakah keperluannya untuk bertemu rakyat dari semasa ke semasa? Apakah keperluannya untuk mendengar rintihan rakyat? Apakah keperluannya untuk bersusah payah menghadiri sidang dewan dan mangambil bahagian dalam perbahasan?
Justeru itu, pilihanraya yang adil dan bebas adalah asas untuk sebuah masyarakat yang bertamadun. Ianya juga ialah asas penyelesaian terhadap segala masalah yang dihadapi baik penduduk-penduduk akar umbi atau pemimpin-pemimpin kerajaan.
No comments:
Post a Comment