Thursday, July 14, 2011

Saranan-saranan JP-ABAS tentang pengurusan PNSB dan SIC perlu diterima dan dilaksana oleh kerajaan negeri

Ucapan ADUN Kampung Tunku Lau Weng San semasa membentang usul penerimaan syor-syor Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan (JP-ABAS) Mengenai Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor di bawah Peraturan Tetap 76(5) pada 13 Julai 2011:

Saya telah meneliti Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Agensi, Badan Berkanun Dan Anak Syarikat Kerajaan (JP-ABAS) Mengenai Laporan Ketua Audit Negara Negeri Selangor.

Saya berpendapat bahawa garis panduan perbendaharaan yang mengenai perjalanan syarikat-syarikat perlu dipatuhi, iaitu aspek pertama, penyata kewangan perlu dibentang dan diaudit secepat mungkin, iaitu dalam masa lima tahun. Aspek kedua ialah berkaitan bayaran bonus kepada syarikat-syarikat kerajaan. Aspek ketiga berkenaan dengan bayaran dividen kepada syarikat-syarikat kerajaan dan aspek keempat kualiti perancangan dan pengurusan syarikat.

Walaupun kerajaan sekarang memberi tumpuan yang lebih kepada aspek yang keempat, iaitu kualiti perancangan dan pengurusan syarikat, tetapi tiga aspek pertama yang disebutkan tadi perlu dipatuhi oleh setiap satu anak-anak syarikat kerajaan kerana ianya mencerminkan profesionalisme pengurusan anak-anak syarikat kerajaan negeri.

Contohnya, JP-ABAS telah mendapati Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) telah tersasar dalam mengemukakan penyata kewangan tahun 2008 dan 2009 kepada pihak Audit seperti yang dijanjikan pada bulan Jun 2010. Kelewatan ini disebabkan oleh kelewatan audit dalaman di mana penyata akaun 2007 yang telah dibentangkan kepada Lembaga Pengarah pada Jun 2008 adalah tidak lengkap dan terdapat isu-isu yang tidak dapat dijawab.

PNSB juga melakukan kesilapan dari aspek keempat, iaitu PNSB tidak pernah membuat kajian pasaran dan kajian dayasaing atau feasibility study sebelum menjalankan projek Bandar Baru Salak Tinggi (BBST). Projek pembangunan ini hanya dijalankan berdasarkan persepsi permintaan yang meningkat di BBST selaras dengan pembangunan KLIA.

PNSB juga memperolehi 12 unit Apartment Al-Marwa tower di Mekah yang bernilai RM25.6 juta pada tahun 2007 di mana tujuh daripada 12 unit ini diperolehi dengan nilai RM17.25 juta tanpa kelulusan Lembaga Pengarah. Apa yang aneh ialah apartment ini dijual kepada seorang individu dengan harga yang sama pada tahun 2007 dan transaksi ini hanya diluluskan pada 2008, iaitu selepas transaksi ini. Kedua, hartanah di Mekah hanya boleh dijual kepada individu Muslim sahaja. Bagaimana PNSB sebagai sebuah syarikat dibenar untuk membeli 12 unit Apartment Al-Marwa tower?

Saya meminta kerajaan untuk mengkaji bagaimana PNSB di bawah kerajaan PR sekarang dapat mengutip balik keuntungan-keuntungan yang sepatutnya diraihkan oleh PNSB melalui penjualan tujuh unit apartmen itu. Selain itu, kerajaan juga harus memberitahu dewan ini apakah yang akan dilakukan oleh kerajaan terhadap baki lima unit apartmen yang masih dimiliki PNSB? Adakah PNSB ingin menjual apartmen-apartmen ini? Jika tidak, bagaimana PNSB mampu membayar bil-bil penyelenggaraan yang semakin membebankan?

Jawatankuasa juga sangsi terhadap perlupusan enam buah kereta Volvo S70. Keenam-enam kereta volvo ini ialah BFS 171, BFS 3232, BFR 3223, BFS 2233, BFS 8668 dan BFS 9588, di mana kereta-kereta ini dibeli sekitar tahun 2002.

Mesyuarat Lembaga Pengarah PNSB Bil. 2/2004 bertarikh 16 Disember 2004 memberi kelulusan pelupusan aset terhadap enam unit kereta Volvo S70. Resolusi ini memberi kuasa kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan pengurusan syarikat untuk menguruskan pelupusan dan menandatangani perjanjian.

Mesyuarat Lembaga PNSB Bil. 1/2005 bertarikh 10 Jun 2005 pula telah meluluskan penjualan kenderaan ini kepada pegawai pengurusan PNSB dengan harga RM36,500 seunit dan bayaran dibuat secara ansuran dalam tempoh enam bulan mulai Julai 2005 hingga Disember 2005, padahalnya penilaian Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap enam unit Volvo S70 ini adalah di antara RM73,000 hingga RM87,000.

Semakan terhadap keputusan Mesyuarat Lembaga Pengarah Bil. 1/2005 mendapati harga jualan bagi enam unit kenderaan tersebut adalah berdasarkan harga anggaran oleh JKR iaitu RM503,500 dengan diberi diskaun sebanyak 50% berjumlah RM251,750. Bagaimanapun, kenderaan tersebut telah dijual kepada pegawai-pegawai berkenaan dengan jumlah RM219,000 iaitu kekurangan sejumlah RM32,750.

Bayangkan kereta mewah Volvo S70 yang berharga ratusan ribu ringgit dan hanya digunapakai selama tiga tahun dijual dengan harga RM36,500 setiap satu?

Ini berlaku kerana PNSB tidak menyediakan S.O.P sebagai panduan untuk mengurus dan mengawal pengurusan kewangan syarikat. Akibatnya, pengurusan kewangan telah menjejaskan kecekapan operasi PNSB.

Oleh itu, Jawatankuasa ini telah menyarankan seperti yang berikut:

Prestasi Kewangan
• Memastikan PNSB pada setiap masa dan ketika memiliki pegawai dan kakitangan audit dan kewangan yang berkelayakan dan kompeten agar kerja-kerja audit dalaman tidak melengahkan kerja-kerja juruaudit luar yang dilantik sendiri oleh PNSB yang akibatnya akan menjejaskan prestasi kewangan syarikat.

Bandar Baru Salak Tinggi
• Mengambil tindakan bersepadu daripada semua pihak sama ada Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, agensi-agensi terbabit dan juga PNSB hendaklah dijalankan dengan satu kerangka masa yang ditetapkan bagi mempercepatkan perolehan Sijil Layak Menduduki Bangunan (CF) bagi pembangunan projek di Bandar Baru Salak Tinggi.
• Membuat keputusan yang cepat dan tegas berkenaan projek pembangunan di Bandar Baru Salak Tinggi dengan mempercepatkan perjanjian untuk menjadikan unit-unit kedai sebagai hotel bajet, dibangunkan aktiviti-aktiviti yang boleh menggalakkan perniagaan, disewa ataupun dilelong denga harga berpatutan.
• Memastikan rancangan PNSB untuk menjadikan baki tanah seluas 30 ekar sebagai lot-lot untuk dijual kepada pembeli adalah tidak bertentangan dengan hasrat awal tanah tersebut diserahkan oleh kerajaan kepada PNSB. Jika ianya bertentangan dengan tujuan asal, maka tindakan wajar hendaklah diambil bagi mengelakkan kerugian kepada Kerajaan Negeri.

Apartment Al Marwa Tower, Mekah
• Mewujudkan satu task-force di bawah MBI untuk menyelaraskan semua urusan berkaitan dengan kedudukan 5 unit apartment di Al Marwa Tower dengan satu terma tugas serta kerangka masa atau tempoh yang jelas dan spesifik.
• Menyelesaikan segala urusan maintenance fee yang masih tertunggak bagi menjaga nama baik Kerajaan Negeri.
• Mengenalpasti individu yang membeli semula tujuh unit Apartment Al Marwa Tower tanpa kelulusan Lembaga Pengarah PNSB dengan harga yang sama dan mengenalpasti berapakah kadar bayaran ansuran yang telah dibuat.

Pelupusan Enam Unit Kereta Volvo S70
• Memastikan sebarang keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah dalam pelupusan aset syarikat hendaklah sebaik-baiknya mengikuti garis panduan agensi teknikal yang dirujuk seperti JKR dan pelupusan dilakukan dengan menggunakan kaedah tawaran terbuka atau lelong dengan mendapat kelulusan daripada Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu.

Bagi syarikat SIC pula, jawatankuasa mendapati SIC tidak mempunyai core competencies dalam perniagaan yang diceburinya, maka penubuhan dua subsidiarinya juga menghadapi masalah yang sama, iaitu tidak ada fokus dan tumpuan dalam benar-benar memahami kehendak dan kuasa pasaran.

Selain itu, aktiviti Casic Marketing Sdn Bhd untuk mengimport jubin dari negara China dijalankan tanpa penelitian terperinci terhadap dasar melindungi pasaran tempatan dan kenaikan duti import oleh Kerajaan telah menjejaskan Casic Marketing Sdn Bhd hingga melumpuhkan seluruh aktivitinya.

Demikian juga tanpa penguasan yang mantap dalam perniagaan yang diceburi Module Board Sdn Bhd telah tidak teliti dan cermat dalam memahami citarasa dan kehendak pasaran sehingga produk yang diperkenalkannya gagal. Kebergantungan SIC dan juga subsidiarinya kepada PKNS telah menjadikan aktiviti Module Board Sdn Bhd lumpuh apabila projek Bukit Botak diberhentikan pada masa itu. SIC juga banyak bergantung kepada projek-projek PKNS dan fenomena ini seolah-olah telah menjadi satu kebiasaan bagi kebanyakkan GLC.

Saya menyeru supaya semua anak-anak syarikat GLC ini berdikari dan berdiri atas kaki sendiri. Mereka tidak harus terlalu bergantung kepada projek-projek PKNS tetapi seharusnya berusaha untuk menceburi sektor pembinaan swasta dan luar negara.

Selain itu, SIC sebagai sebuah subsidiari PKNS yang mempunyai modal berbayar yang begitu besar iaitu berjumlah RM35 sepatutnya mempunyai potensi perniagaan dalam nichenya yang tersendiri. Maka pembangunan core business untuk SIC perlu dilakukan dengan kadar segera.

Kerajaan harus meneliti saranan-saranan ini dan mengemukakan satu kertas putih terhadap pelaksanaan saranan-saranan ini untuk sidang-sidang Dewan yang akan datang supaya rakyat Selangor dapat mengetahui perkembangan terkini isu-isu yang dibangkitkan sebelum ini.

No comments: